cuma sekejap saja

Ia bukan lagi tentang kamu yang seratusperatus kamu. Aku sudah tidak tahu bagaimana meletak perasaan dalam puisi, dalam babak jalan ceritaku, yang sebelum ini selalu kedengaran sunyi dan melankoli. Biarlah aku marah kau sekejap, cuma sekejap saja. Marilah kita berbicara sebentar saja.

I: (Tidak bersuara)
II: (Melihat saja)
I: Kau, apa khabar?
II: Lebih sihat dari bulan-bulan lepas. Aku agak kau pun begitu.
I: Iya.
II: (Tidak cuba untuk menyambung dengan pertanyaan)
I: Apa khabar bapa? Apa khabar mak? Apa khabar semua?
II: Semua sihat.
I: Kenapa kau nak jumpa aku?
II: Aku tak mahu bertemu kamu.
I: Lalu mengapa jumpa aku?
II: Aku bukan mahu jumpa kamu, aku mahu jumpa dia.
I: Dia itu siapa? Jangan babitkan dia dalam ini, sudah-sudahlah.
II: Di ruang ini hanya ada kita berdua. Dia yang kau maksudkan 0.1% pun tak terlintas untuk aku calit dalam ruang ini. Kau juga tahu, bukan.
I: Lalu siapa "dia" kau maksud kan?
II: "Kau."
I: Katakanlah, ada apa.
II: Kenapa kau bohong banyak perkara pada aku.
I: Aku bohong apa?
II: Kau diam. Aku tak tanya kau, aku tanya dia.
I: (Mengerut dahi dan menyandar di kerusi, dia sudah tunjuk tanda mahu pergi)
II: Kau tahu, aku sudah tak ada apa nak beri lagi, pada orang lain bernama lelaki. Biarlah aku katakan ini, kau renggut segala warasku, kau cabut segala kasihku, kau buat aku jadi murung dan membenci banyak perkara. Kau cederakan batinku, kau dera segala rasaku. Kau buat aku jadi ini, jadi aku yang sekarang. Kau suka akan aku yang kau terbitkan dari perbuatanmu?
I: Tid...
II: Biarkan aku bicara, kau dengar saja. Kau ingat lagi waktu kita lari berteduh dari hujan lebat? Kau ingat lagi kita kongsi makan sepinggan? Kau ingat lagi waktu aku lukiskan kau figura dirimu? Kau ingat lagi lagu-lagu kita dendang di atas lebuhraya? Kau ingat lagi cincin yang kita pilih untuk pernikahan kita? Kau ingat lagi betapa kurusnya kita kerana kurang makan? Kau ingat lagi bagaimana aku berlari padamu ketika kau rebah di atas jalan raya? Kau ingat lagi waktu kita ambil gambar sama-sama? Kau ingat lagi waktu kau minta aku ajarkan kau tentang suatu aplikasi di komputer riba? Kau ingat lagi kita pergi kompleks perniagaan tapi tak beli apa-apa? Kau ingat lagi betapa buruknya tulisan aku ketika ingin cepat? Kau ingat lagi kain pelikat yang kau pakai?  Kau ingat lagi...tak, saudara?
I: YA. Aku ingat semuanya.
II: Kau ingat lagi, bukan? Tapi kau tak endah.
I: Kau tahu aku tak mahu semua ini berlaku.
II: Ya, kau tak mahu, cakap saja kau sudah tak mahu aku, bukan tak mahu ini berlaku. Kenapa masih tegas menindakkannya?
I: Maafkan aku, aku terpaksa.
II: Tidak, I. Kau tak terpaksa. Kau telah buat pilihan. Dan aku bukan pilihan kau, Semua yang dikatakan itu tadi, bukan lagi kenangan yang kau pilih. Kau pilih untuk cipta kenangan baru.
I: Aku benar-benar sayangkan kau, kau tahu itu.
II: Tidak. Aku tak faham itu. Kau kata kau sayang, tapi kau diam ketika aku cuba bunuh diri. Kau tak pernah pertahan aku walau sedetik. Kau kata kau sayang, tapi setiap malam kau biar aku menangis. Kau kata kau sayang, tapi kau tinggalkan aku di Kuala Lumpur sendirian. Kau kata kau sayang, tapi kau buang aku macam sampah, tidak campak dari atas ke bawah, ibarat kau tinggal sampah di tepi koridor dan kucing-kucing liar merobek plastik dan isi sampah terbuarai, ia jijik, mereka pandang aku jijik. Kau kata kau sayang, tapi kau bina dinding untuk tidak melihat sesama sendiri lagi. Sayang benar kau pada aku.
I; Aku tahu aku salah, maafkan aku.
II: Di mana harus aku maafkan? Aku tak dapat jumpa di mana perkataan aku boleh padam.
I: Maafkan aku, II.
II: Kita sudah buang masa begitu lama, kita sudah beri terlalu banyak, kita sudah biasa sesama sendiri, kita melihat parut di kulit masing-masing, kita menerima seluruhnya dengan rela, dan ia, tetap bukan pilihanmu. Kau buat aku percaya, wanita itu perlu ada sesuatu yang lelaki itu ingini barulah ia tidak ditinggalkan. Kau buat aku berjaga-jaga tentang seseorang lelaki dengan muka naifnya bertutur yang baik-baik saja. Kau buat aku takut untuk selami bahagia kerana dalam bahagia terselit dusta kata-kata. Kau akhirnya mengambil dia menajdi bakal ibu pada anak-anakmu di kemudian masa nanti. Aku kau tinggal sendiri. Kau biar aku di kota besar ini.
I: Maafkanlah aku..
II: Terima kasih, I. Terima kasih atas lebih 60 purnama lalu. Aku harap kau akan jaga dia, seperti mana kau pernah berjanji kau akan jaga aku seperti seorang bayi baru lahir, kerana kau cukup suka pada budak-budak, dan aku hanya suka anak kucing. Kau telah hilang dalam masa depanku, bayangmu juga kelam di masa lalu, kau tahu ia begitu sukar untuk bentuk diri baru bersendirian tanpa bantuan manusia nyata, aku hanya perlu Tuhan untuk bangkit semula. Aku tidak berusaha untuk mencari penggantimu dan kau tak perlu susah mendoakannya. Cukuplah aku menyoal masa lalu tentang mengapa dan bagaimana. Ia tidak pernah beri jawapan pada aku mahupun sesiapa.
I: (I menghabiskan sisa air dari penyedut minuman)
II: Aku akan bayar air aku sendiri. Selepas itu aku akan pergi.
I: (Cuba menolak dan pelawa untuk hantar)
II: (Dengan tidak menoleh, aku pergi, meningglkan dia bersama-sama kenangan kami yang lalu)

Comments