Pria-pria Ogos

lapanharibulanlapan

Tiada apa-apa pertemuan antara kami. Beberapa hari lagi dia akan rai harijadinya. Aku bercadang mahu hadiahkannya sesuatu tapi katanya dia agak rushing dan tak sempat untuk bertemu. Dia hanya akan ada di kota untuk beberapi hari saja, dan dia sendiri tak tahu bila lagi dia akan ke sini, kota ini. Aku fikir dia malu untuk bertemu kerana apa yang kami bincangkan di dalam aplikasi what's app merupakan sesuatu yang agak memeranjatkan untuk dua orang asing. Lagipun dia, ala-ala ustaz, mungkin dia mahu jaga imej nya pada umum, walaupun tidak pada aku.

empatbelasharibulanlapan

Hampir setahun aku mengenalinya, mungkin dia mendapat entri paling panjang. Dari mana harus aku mulakan? Terlalu banyak airmata dan gelak tawa kami pernah kongsi. Namun semua itu, tak dia perlukan lagi. Ogos lalu, aku membuat keputusan yang akan aku sesali seumur hidupku, dan dia sudah tak melihat aku dengan cara sama lagi, cuma aku masih melihatnya seperti pertama kali kami mengucapkan salam lewat telefon, malam April itu.

Dia tetap mahu bercakap denganku, walaupun aku tahu dia boleh saja letakkan telefon, berpura-pura sibuk sehingga tiga hari melebihi menteri, atau langsung saja tak peduli, dia boleh lakukannya. Aku sedar kedudukanku, aku tak boleh meminta lebih, sedang ini pun, sudah terlalu baik untuk aku. Aku tidak lebih dari seorang kawan, tidak, walau seinci.

Pagi itu aku bergegas bangun, aku binggung memilih pakaian dan mengenakan sedikit make-up. Aku mahu kelihatan cantik di hadapannya, tetap ia tak merubah apa-apa. Sampai di lapangan terbang, dia memberitahu aku untuk tunggu sebentar sementara dia menguruskan bagasinya masuk ke dalam kargo. Aku tunggu di kedai makanan segera dengan perasaan debar. Sangat debar.

Pakaiannya kasual saja. T-Shirt hitam hardrock cafe dipadankan dengan seluar jeans serta kasut leather hitam. Dia menggalas beg hiking saiz sederhana dan membawa beg laptop. Aku pelawa dia duduk dan tawar diri untuk membuat pesanan agar dia tak perlu bangun semula. Katanya tak mengapa, dia pesan sendiri saja. Kami makan sambil berbual, mungkin memang caranya meamandang tepat ke anak mata sewaktu bertukar cerita, aku jadi cemas tapi aku dapat mengawalnya dengan baik. Satu jam terasa begitu pantas.

   Suasana terasa indah ketika aku berjalan di sebelahnya, berada dalam ruang sama, benar-benar rasa seperti orang bercinta, tapi itu cuma perasaan aku saja, dia mungkin tak suka dan mahu ia berkahir dengan cepat. Rutin seorang perokok kebiasaanya akan menghisap sebatang rokok selepas makan, dan dia tidak terkecuali dari itu. Aku menunggu di kerusi besi sambil memeluk begnya, itu pun aku rasa indah. Setelah dia kembali, dia meminta diri untuk masuk ke ruang berlepas. Aku diam saja, menyatakan aku enggan.

Adegan airmata pun berlaku, aku tak tahu bila lagi kami akan dapat berjumpa, dan apakah pertemuan kali ketiga aku masih ada harapan, atau musnah terus. Aku tak tahu, dalam putus asa itu, aku selitkan juga sezarah harapan, di sudut paling jauh dan dalam, kamar hatiku. Puisi "Batas" oleh Aan Mansyur terngiang-ngiang di telingaku.

Pesanan terakhirnya ialah "Mardia jaga diri, jaga kesihatan dan makan minum, Okay?" Aku angguk dan pesan yang sama buatnya cuma pesanku diiring airmata yang enggan melepaskan dia pergi ke negara matahari terbit. Aku rindukan bulan April tahun lalu, tahun duaribulimabelas. Tapi sayang, aku tak boleh kembali ke masa lalu.

duapuluhduaharibulan

Pertemuan hampir tak jadi, tapi kami berjumpa juga walaupun waktu itu agak lewat, terlalu lewat untuk satu pertemuan. Dia orang pertama yang aku jumpa melalui aplikasi yang teman baikku suruh aku install. Orangnya sudah 30-an. Wajah kelihatan baik dan tak seperti suka mempermainkan wanita. Cuma, dia mungkin tak anggap aku wanita, tapi budak-budak. Jadi dia membisu saja setelah kami berjumpa, sampai hari ini, dia tidak lagi aku temui di mana-mana. Baguslah, aku juga harap tak kan bertemunya lagi.

duapuluhlimaharibulanlapan

Entah berapa kali sudah kau ajak aku untuk ketemu tapi aku menolak, sama ada secara kasar atau memang aku tak dapat berjumpa. Bukannya kau tak kacak, malahan kau terlalu "ada rupa" sehingga aku segan untuk berjumpa kau. Petang itu kau lambat dari waktu yang dijanjikan, tapi secara kebetulan warna baju kita sama, warna pikachu. Kau bertubuh tinggi serta sasa dan ada susunan gigi yang putih, mata sepet dan bercermin mata. Aku tak rasa yang kau susah untuk dapat teman wanita, mungkin kau memilih. Aku tahu benar, aku bukan dalam senarai pilihanmu, sebab mengapa kau mahu berjumpa, aku sendiri tak tahu, mungkin untuk tambah koleksi saja. Kau hantar aku pulang selepas makan, dan aku amat hargai itu. Aku sudah buat keputusan untuk jumpa kau lagi.

tigapuluhharibulanlpan

Ia sudah tak debar, sebab kau ialah orang kedua. Tapi aku tetap teruja, juga takut dalam masa sama. Aku cuma harap pertemuan ini lebih baik dari duapuluhduaharibulanlapan. Perkataan yang sering kau momokkan aku ialah "muntah" bila lihat wajah kau. Aku tak rasa ada yang memualkan tekak ketika kita saling berhadapan di restoran Thailand itu melainkan beberapa minit lepas, kesan gastrik masih terasa. Perbualan lancar dan aku lebih banyak mendengar dari bercerita. Aku lihat dalam mata kau disebalik cermin mata empat segi itu, ada sesuatu yang telah kau pendam lama. Jadi malam itu selepas aku selesai membeli air, aku mendengar saja. Aku harap kita akan berjumpa lagi, di lain waktu tapi kau mungkin sudah terlalu sibuk, tak apa lah.

tigapuluhsatuharibulanlapan

Untuk kali kedua, aku mengajak kau keluar secara tiba-tiba. Malam itu, mungkin antara malam di bulan Ogos yang indah buat aku. Kita bersiar-siar secara terjah dan rambang, tak rancang apa-apa pun. Kau bawa aku makan sushi, walaupun kegilaan aku amat tinggi terhadap Jepun, tapi aku memang tak dapat menikmati keenakan makanan itu, begitu juga dengan teh hijaunya. Aku terlalu menunjukkan diriku yang sebenar sebelum sampai waktunya. Aku tiba-tiba menjadi selesa dan seronok bila bersama kau. Kita makan, ketawa dan berlari dalam hujan. Terlalu indah untuk pertemuan kita kali kedua, bukan? Oh, mungkin pada aku saja, tidak pada kau. Setelah bulan Ogos mengundurkan diri, kau sudah tak sama. Kini, kau tidak lagi seperti di bulan lapan, kau menjadi asing kembali, mungkin sebab aku gemuk dan kau buat keputusan, aku telah disenaraihitam dalam koleksi kau. Terima kasih, sebab menutupkan bulan lapan aku dengan sesuatu yang indah, pernah indah.  

Comments