Transit

Aku buka mata yang berat melihat jam pada telefon pintar. 6.50 pagi. Azan subuh sudah berkumandang dan dengan langkah malas aku ke bilik mandi mahu menyucikan diri. Hujan begitu lebat di luar, bunyi guntur bertalu-talu, suatu perasaan damai berselitkan malas menyelubungi aku pagi itu, memeluk tubuh sendiri dan menikmati kelembutan fabrik selimut panas berwarna oren dan aku  ambil keputusan untuk melelapkan mata setengah jam lagi, sebelum benar-benar bangun seluruhnya.

Bercakap pasal tidur, aku punya banyak fasa. Ia boleh jadi dua fasa, tiga atau empat atau lima fasa, bergantung pada energi aku. Kebanyakan hari, aku ada dua atau tiga fasa saja. Fasa pertama, aku akan celik dengan mata berat melaksanakan apa yang patut dan kemudian aku akan tidur kembali walaupun banyak kali aku dengar ia tak bagus. Fasa kedua, aku akan bangun dalam 6.30 pagi - 6.40 pagi, mandi dan bersiap untuk ke tempat kerja, dasa ini aku bangun secara keseluruhan. Fasa ketiga, ada 30% kemungkinan aku akan tidur dalam keretapi, samada duduk atau berdiri, cukup setengah jam, aku akan jaga secara otomatik. Fasa keempat, aku akan tidur pukul 1.00 petang di surau dalam pejabat. Tidak banyak orang waktu itu dan aku dapat tidur dengan selesa dengan penghawa dingin. Fasa kelima, aku akan tidur di dalam keretapi sewaktu pulang dari kerja, ini berkemungkinan 10% saja sebab keretapi akan menjadi sesak pada waktu puncak, dan dalam keadaan begitu, tak mungkin aku mahu tidur.

Waktu sudah menunjukkan pukul 7.07 pagi, hujan sudah beransur reda, aku fikir aku tak perlu payung. Hujan renyai saja. Aku lihat dari atas, budak-budak sekolah dan beberapa yang lain semua membawa payung, terfikir untuk bawa tapi aku tak endahkan yang aku lihat. Setelah aku sarung kaki telanjang dengan kasut, aku turun dari flat tingkat dua dengan yakin untuk redah saja hujan. Dan aku rasa sedikit bengap bila tak ikut kata hati bahawa aku harus bawa payung. Diiringi rasa marah dan kecewa, aku naik semula ke atas dan ambil payung.

Kelihatan stesen lebih penuh dari semalam. Awam beratur panjang dan aku tahu aku akan lambat ke tempat kerja. Di sebalik keyakinan itu, aku tetap beratur seperti yang lain, entah mengapa. Satu jam aku menunggu dan LRT masih juga tak kelihatan. Pengumuman ku dengar bahawa penumpang yang mahu ke arah bandar Kuala Lumpur harus menaiki laluan bertentangan, bersama penumpang lain, kami berlari-lari anak ke laluan sebelah. Malangnya, setiba di stesen berikutnya, aku dengar lagi pengumuman bahawa LRT itu akan berpatah balik ke stesen sebelum. Seorang gadis cina berbaju koprat menyumpah seranah sistem LRT pagi itu, aku lihat saja sambil dengar lagu melalui fon telinga.

Cuaca sejuk kian hangat dek hujan yang telah berhenti dan Sang Mentari kelihatan sudah sedia ambil alih. Aku mula berkeringat sedikit kerana aku memang suka mengenakan shawl jenis cotton yang tebal, ia agak ketinggalan dari trend terkini, tapi aku tak kisah sedikit pun, itulah gaya yang aku pilih dan aku amat selesa memakainya. Aku keluar dari stesen LRT dan ambil keputusan untuk naik bas. Ini keputusan yang baik untuk aku alami pemandangan berlainan waktu pagi ke tempat kerja. 

Bas berwarna kuning cair aku naiki. Terpampang di skrin hadapan kepala bas dengan tulisan berwarna merah T203, entah aku pun tak tahu ke mana destinasi akhir bas itu tapi aku naik saja. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk sampai ke destinasi kedua, iaitu setesen bas Medan Idaman, Gombak. Turun dari bas, aku terpandang seorang pakcik berketurunan india sedang menghisap rokok sambil tersenyum pada aku, nampaknya kami menunggu bas yang sama, ke Chow Kit. Fizik bas berwarna sama menuju ke arah kami di hentian bas, cuma kali ini skrin hadapan kepala bas menunjukkan label "Lebuh Ampang". 

Kesesakan jalanraya bukanlah asing di Kuala Lumpur dan aku lupa akan itu sewaktu aku ambil keputusan untuk menaiki bas. Mahu atau tidak, aku sudah hampir sejam dalam perut bas. Tidak sia-sia aku bawa buku bersama, setidaknya aku tak perlu habiskan bateri telefon pintar untuk membunuh masa sampai ke destinasi. Aku bersandar di tingkap bas, payung yang mulanya aku tak mahu bawa, aku sangkutkan ke atas tiang mendatar di siling bas kerana aku tak sampai untuk berpaut pada hand grip yang disediakan, berguna juga payung tersebut. Ada wanita lingkungan lewat 30-an berbual dalam telefon di sebelah kiriku, menyatakan dia lambat untuk temu janji, suaranya begitu lantang sehingga aku rasa, mungkin dia lupa dia dalam bas dan bukan di ruang tamu rumahnya. Di hadapan ku ialah seorang pakcik berbaju kemeja putih, memakai bandana dan kaca mata hitam. Mungkin jika dia ada misai, aku akan tersilap mengatakan dia A. Galak, sarjan misai dalam cerita Gerak khas di TV2. 

Seorang pemuda, mungkin lebih kurang umurku juga, berada di kananku. Kulitnya cerah, bibirnya merah jambu dan jarinya runcing, ada tahi lalat di jari manis. Kacak juga orangnya, mengingatkan aku pada teman lama sewaktu di Universiti dulu. Aku punya seorang rakan lelaki yang pandai bermain gitar, kami ada dalam kelas muzik, fizik mereka sama, cuma lelaki di hadapan ku ada tahi lalat di atas bibir kirinya dan tidak berjanggut. Aku ambil peluang untuk curi-curi ketik gambarnya dan hantar pada teman lamaku. 

"Weh macam muka kau", caption gambar yang dihantar padanya.
"Haha kau sdiri ke ambik gmbr ni?" laju pula dia respon.
"Dia xsedar aku amik gmbr dia", laju juga aku balas.
"Tapi mne lg cute?haha", tanyanya dengan nada angkuh dan dengan angkuh juga aku menjawab "Mestilah aku."

Perbualan kami dalam teks berhenti di situ. Dan aku cuba menahan bibirkan dari mengukir senyuman bila aku pandang lelaki itu. Bibir terketar-ketar menahan dan gigi kuketip rapat agar wajah garang ku tetap terlihat. Aku gagal. Aku berpura-pura membaca buku walaupun tiada yang melucukan, aku gelak seperti membodohkan dir sendiri hanya untuk mengelak dari tangkapan mata yang sudah hidu aku tersenyum lihat wajahnya. Buku ku tekup ke wajah, dan aku gelak disebalik itu, dalam hati aku berbisik "baka, atashi!". Dia tidak lagi menghadap ke arahku, mungkin dia mahu tidur sebentar jadi aku renung dia saja. Jarinya runcing, kuku tangannya berbentuk gelas tampak licin, dan aku lihat, kuku jari kakinya juga bersih, sebersih kulit putihnya, aku pun tak begitu. 

Tak lama ku dapat lihat dia dengan wajah tidur, aku sampai di Chow Kit dan harus turun. Pun begitu, dia bangun seolah mahu ucap selamat tinggal. Sewaktu aku hendak turun dari bas, seorang lelaki menegur, "awak ada bawa payung, kan?" Ya, aku rasa dia ada perhatikan aku berpaut pada payung kerana tak sampai untuk pegang hand grip. Aku ambil payung yang bersangkut serta lempar senyuman pada pemuda tadi. Kemudian aku turun. Ke stetsen Monorail. Tidak ada apa yang menarik selepas itu.




Comments