ahad yang hambar serta seekor kucing tua

Saya bukanlah boleh dikategorikan sebagai "early bird", tapi kebelakangan, saya sering celik awal dan buatkan diri sendiri air minuman panas. Pagi ini, selepas saya membikin secawan air kopi, mata terlalu degil untuk lelap semula, tak mungkin efek kafien sebab saya rasa ia sudah sebati dengan saya. Kira-kira pukul 8 lebih, saya buat keputusan untuk keluar dan beli nasi lemak dan kemudian terus balik tanpa bersembang dengan siapa siapa pun. Masa terlalu pantas dan ketika melihat jam di dinding, jarum pendek telah menunjukkan ke arah nombor 1 dan jarum panjang ke arah nombor dua.

Masih tiada apa yang berlaku dan rumah gelap saja tanpa sebarang perkara yang menarik sehingga pukul 3.30 petang. Hujan turun dengan lebat dan saya serta merta teruja. Seekor kucing tua yang kesejukan mengiau minta belas kasihan untuk masuk ke dalam rumah. Saya tidak dapat menolak permintaannya, dan membiarkan ia baring di atas tilam nipis di ruang tamu. Lebat hujan terasa damai dan saya, kalau tidak memikirkan betapa malas mahu memakai penutup kepala (tudung) tentu saja turun dan main dalam hujan. Memang itu yang saya berkehendakkan selama ini tetapi dewasa telah menghalang dan saya teragak-agak melakukan itu.

Sudahnya, saya hanya duduk di muka pintu dengan seekor kucing tua yang sakit flu serta secawan teh o panas melihat hujan terjun pantas dari langit kelabu yang begitu luas. Tiada anak-anak kecil bermain di koridor rumah masing-masing, tiada pakcik dan makcik tua duduk di kerusi depan rumah mereka. Keadaan keliling rasa suram saja tetapi hujan telah membuat ia hidup. Sambil saya hirup teh, saya terfikir alangkah indah jika dapat saya bersandar di bahumu waktu hujan lebat begini. Selepas hujan berhenti melihatkan dirinya, tiada lagi yang menarik perhatian saya selain memikirkan saya akan kembali ke rutin biasa saya, isnin hingga jumaat.

Comments