aku telah menjadi seorang pesimis

Aku masih ingat tentang kau mengatakan yang kau inginkan hanya aku. Betapa mata kecilmu terseksa tak dapat memiliku. Malam itu kau amati setiap inci tubuhku. Dengan jari runcing kau, kau menyentuh dan berkata, "Aku mahukan mata yang lebar dan coklat ini, aku mahukan hidung yang kecil ini, aku mahukan bibir nipis ini, aku mahu jemari kecil ini, aku mahu kaki yang pendek ini, aku mahu kulit yang putih ini, aku mahu rambut lurus dan hitam pekat ini, aku mahukan segala hanya tentang kamu, bukan yang lain," selepas itu kau memeluk aku erat. Bibirmu dapat aku rasa dibahu kananku tapi yang tumpah ialah air mataku. Dan saat itu aku tahu tiada kata-kata yang dapat menenangkan kau, jadi aku usap saja belakang kau.

Setelah kau lega, kau melepaskan pelukan dan bersandar pada dinding rumah. Tiada perasaan di wajah kau. Aku tak dapat teka apa perasaan yang kau rasa. Kau senyum melihat aku tetapi mata kau ada pamer sesuatu, seolah kau sudah bersedia untuk lepaskan aku tapi aku masih dalam kebinggungan selepas berada dalam dakapanmu. Jujur, aku masih menginginkan berada di situ lagi. Aku tak dapat nafikan aku punya rambut yang cantik. Sewaktu aku berdiri di hadapan cermin sambil menyikat rambut, kau memandang aku dari jauh dengan pandangan itu lagi, pandangan yang sedia untuk pergi - jauh. 

Ada sesuatu yang tak dapat di terjemah dari tindak tanduk kau. Kau tidak lagi menjawab ketika aku bertanya jika kau menyayangi aku seperti sebelum. Jawapan kau cuma sama setiap kali aku aju soalan itu, "Tak usah tanya, kau tahu jawapannya bukan?". Aku diam walaupun aku ingin bahas, kalau aku tahu tak ada lah aku tanya dan jika aku tahu, aku cuma inginkan kepastian, perempuan memang begitu sentiasa ingin diberitahu betapa dia disayangi. Pada saat-saat akhir sebelum kau pergi, aku ada mengatakan beberapa perkara yang sudah lama aku ingin lakukan ketika bersama kau, dan kau tunaikan semua, dengan terburu-buru, baru kini aku perasan yang kita luang masa untuk lakukan itu dengan tidak menggunakan masa yang betul dan sesuai. 

Ingatan tentang kau sudah makin pudar, aku tak dapat ingat dengan baik parasmu pada kali terakhir kita bersua. Sungguh, imej kau telah menjadi sangat kabur seperti melihat cahaya matahari, mata aku tidak dapat nampak apa-apa selain silaunya yang membuat aku mengecilkan mata dan menghadang mata menggunakan lengan supaya silau tidak begitu terasa. Adakah imej aku juga begitu di mata kau, aku tak tahu, aku tak pandai teka hati kau yang penuh rahsia sulit. Hanya hati kau yang tak pernah aku lihat isinya, selain itu, semua anggota kau telah aku jelajah dan aku terima tanpa apa-apa aduan. Memang aku tak pernah simpan apa-apa keraguan kerana aku yakin kau tak akan berubah. 

Ternyata aku salah akhirnya. Masih terngiang ayat-ayat kau malam itu, dan semua lagu, tempat, warna, ruang, masa, huruf, dan sekecil-kecil benda, terpampang seperti wayang di panggung. Sepertinggalan kau, aku menjadi seorang yang pesimis dan tak mahu berjuang lagi. Mungkin aku berasa seronok bermain dalam ruang ini sendiri. Aku seronok kerana sunyi yang aku alami, aku telah faham bunyi-bunyi kipas, bunyi kenderaan menderu, bunyi hujan yang seperti membunuh diri beramai-ramai, bunyi TV yang tak dapat dipastikan apa tujuan ia disampaikan dan yang setara dengan itulah. Masa lalu tak mungkin dapat dihapuskan, tapi aku berharap ia dapat digantikan dengan sesuatu yang lain, sesuatu yang lebih dari sebelumnya. Untuk berharap keadaan menjadi baik-baik saja pun aku rasa sudah seperti tak ada tenaga. Begitulah, letih benar mengingat masa lalu.

Comments