tak tenteram

Adakah rumah ini terlalu bising? Atau terlalu sunyi?

Radio (melalui tivi) dendang lagu mendayu, sekejap aku semak dulu apa tajuknya. (Kembali 2 minit kemudian) Ia sebuah lagu klasik: lecon de tenebres, Francois Couperin. Syahdu tetapi tak dapat tenangkan aku yang gelisah. Hidung terlalu gatal sejak pukul 3 setengah, aku tak larat garu. Resdung mungkin.

Skrin hitam, langsir bunga tertutup disepit clothespin. Pintu tak mengalukan kedatangan sesiapa mahu pun kucing yang tagih simpati untuk makan. Mata pejam. Aku sedang terbang dengan keliru di fikiran. Mata buka, kaki bersilang, seluar denim pendek (dipotong kerana terlalu bosan lihat ia panjang/ ia perlu dilipat jika disarungkan ke kaki pendek) dan baju-T yang salah cetak, aku agak, kerana corak dakwat lebih pekat di bahagian dalam berbanding di luar, atau ia fesyen? Aku tak reti fesyen.

Vibrasi dari dapur. Dari mesin basuh yang berusaha membasuh baju tanpa persetujuan apa dia sanggup atau tidak. Aku paksa dia kerja, mungkin vibrasi itu protesnya kerana hendak cuti hari Ahad. Aku tak peduli, aku cuba larut dalam muzik, entah lagu apa yang tengah putar sekarang. Sebentar, aku semak lagi. Agnus Dei Mass Bm, Johann Sebastian Bach.

Menyelak prosa dan puisi Azriq dan Emily secara berbaring pada kerusi kayu. Huruf seolah mentertawakan lebam di kaki yang mitos kata Jin hisap sebab dedah kaki waktu tidur - Jin tak tahan tengok perempuan tidur berseorangan, mungkin itu cara dia teman. Oh! Tak apalah, lagi seminggu hilanglah kesan.

Sekejap lagi Tuhan panggil, aku belum bersiap sedia untuk jumpa. Mesin masih protes, tivi menyanyi sedih, melankolik sekali. Sekumpulan buku duduk senyap di rak, tak mahu dipegang untuk ditutup kembali. Aku lihat mereka menjeling dan memalingkin diri. "Jangan benci aku dulu, aku belum sedia tanggalkan misterimu. Tunggu aku." Rayuku pada mereka. Mereka di rak secara jemaah berkata, "take your time!" Tapi masih ada nada sinis sayup-sayup kedengaran dalam tak-apa mereka.

"Kau tahu? Aku menyesal gunting rambut. Sekarang ia tak cantik sebab sanggul sudah tak tebal macam selalu." Adu aku pada dinding merah jambu. Dia beri respon padan-muka dan apa-aku-kisah. Dinding tak guna, sebab tu kau kena conteng dengan penyewa dulu! Kau tak pandai senangkan hati sesiapa! (Dinding masih respon sama)

TUHAN! TUHAN!

Dengarkan aku berdoa dalam baring. Ada wayar hitam kusut tak dapat aku rungkaikan. Seperti tak sengaja tersimpul benang, ia tak dapat aku luruskan. Tuhan! Tumpahkan airmataku atas dosa yang tak terlihatkan, aku tahu Kau murka, kerana itu aku tak tenteram. Tuhan! Untuk seketika, hilangkan bunyi tivi, hilangkan bunyi mesin, hiklngkan bunyi buku menyindir, aku menunggu laungan Azan. Tak tahan, aku ingin jumpa kau, Tuhan!

Comments

  1. Tiada terfikir
    Terlintas
    Engkau akan tiba
    Membawa perangsang

    Tiada terfikir
    Terlintas
    Engkaukan membuka
    Sempadan perasaan

    Bunga kembang bertali hati
    Bunga kembang di puncak akli

    Duri
    Penjajahan cinta mu
    Di atas bumi raga ku
    Duri
    Penjajahan cinta mu
    Di bawah awan setuju
    Adalah suatu pengalaman

    Engkaulah yang kini mekar
    Dalam diri ku yang melankolia
    Akulah simpang tersasar
    Karam janji ku yang melankolia

    ReplyDelete

Post a Comment