Pertama kali pakai coli

Petang itu aku pulang ke kampung bersama ibu dan ayah. Aku mengenakan T-shirt, seluar panjang dan tudung square kapas warna hitam Aku sudah diasuh ayah untuk pakai tudung sejak aku masuk tadika, tapi waktu itu aku masih belum betul-betul faham hukum dan tak kisah, aku masih anak-anak. Sewenangnya aku buka saja ketika aku bermain di kampung.

Bubut-bubut* adalah permainan yang paling aku suka dan aku antara yang laju berlari. Aku amat suka jika aku yang perlu mengejar, aku suka lihat ketakutan dan rasa cemas mereka yang terpapar di wajah mereka yang dikejar. Tapi petang itu hujan, aku dan sepupu lain terpaksa di rumah saja. Mereka tidak mencadangkan sebarang aktiviti, semuanya tidur berteman bunyi hujan. Syahdu, tapi aku bosan.

TV ditutup kerana semua orang di rumah itu tidak membenarkan TV dibuka sewaktu hujan, takut disambar kilat! Setelah 10 minit termanggu di ruang tamu, aku naik ke tingkat atas untuk mencari majalah supaya dapat membunuh masa sementara tunggu hujan letih bermain di bumi, meninggalkan sepupu-sepupu yang tidur bergelimpangan atas lantai berbantalkan cushion sofa. Aku mengeledah kabinet tivi, tiada apa selain buku teks sekolah dan majalah Wanita. Kedengaran bunyi tapak kaki menaiki tangga. Muncul di depanku ialah Mak Cu. Dia merenungku lama, dari atas kebawah dan ke atas lagi.

"Ish! Dah nampak tu, pergilah pakai coli!" Lantang dia menegurku. Aku gamam dan pegun di depan kabinet tivi dan bertanya dalam hati, "apa yang nampak?". Aku masih berdiri dan tidak tahu nak buat apa. Aku masuk ke bilik sepupu dan lihat pada cermin. Mak Cu kemudian muncul dari belakang dan duduk atas katil. "Yaya, kamu dah besar. Kena pakai coli. Dah ketara tu, nanti orang lelaki nampak, malu." Begitu keterangannya tapi aku diam saja kerana aku tak pernah fikir aku akan pakai coli pada usia 12 tahun!

Selama dua hari di kampung, aku lapis T-shirt dengan sehelai singlet. Masih ada kesan "wanita", ia tampak tajam.Apa boleh buat aku tak ada coli. Begitu sajalah selama dua hari sebelum aku kembali ke kota, rumahku. Sekembalinya ke rumah, aku minta ibu belikan coli dan tunjuk dada pada ibu. Ibu lihat dan angguk, ibu tak banyak soal, mungkin ibu sudah maklum aku akan alami fasa itu. Ibu mengajak aku ke kedai pakaian pada waktu petang. Kedai pakaian Tong's Departmental Store di Wisma Merdeka.

Ibu bawa aku ke bahagian pakaian dalam kanak-kanak dan scan guna mata pada coli-coli yang terdapat atas rak pakaian. Berwarna-warni dan banyak corak bunga-bunga, polka dot, cartoons dan corak kosong. Kemudian, Ibu pilih coli desain penuh bertali besar dan tebal fabrik kapas dengan warna asas putih dan bercorak kosong. Ibu suruh aku pusing belakang dan kancingkan coli pada tubuh aku. Kekok benar seperti dijerut aku rasa. "Miss, kasi yang besar sedikit dari saiz ini, besar satu saiz saja, coli tadi ketatlah." Promoter berkulit putih dan mata sepet itu laju saja memilih dan beri pada ibu. Akhirnya, 2 helai coli berada dalam beg plastik di tanganku. Aku telah risau membayangkan ketidakselesaan yang akan aku alami untuk hari seterusnya.

Esoknya, untuk pertama kali aku pakai coli ke sekolah. Aku sangat tidak selesa dan rasa tubuh bagai diikat dengan getah! Walau bagaimana pun, aku bertahan saja sehingga sesi persekolahan selesai. Aku masih seperti biasa, bergaul, bermain, bersembang dan belajar seperti biasa walaupun jelas di wajah aku, ada sesuatu yang tak selesa. "Yaya, kau kenapa ni asyik tarik-tarik baju?" tegur Leya, kawan rapat aku. "Haha." itu saja aku jawab tapi Leya makin penasaran. "Hoi, gelak pula. Kau kenapa ni?" sambil di menepuk belakang aku, kuat juga dia tepuk sehingga aku hampir terjatuh.

Aku dan Leya dikenali sebagai budak perempuan yang agak kasar, aku walaupun bertudung dan Leya, berambut panjang paras bahu, kurang sekali ciri-ciri lemah lembut yang sepatutnya ada pada seorang budak perempuan. Kami ketawa dengan volume besar, memanjat pagar belakang untuk beli jambu di rumah pangsa, bertumbuk dengan budak lelaki yang cari pasal, berebut beli makanan di kantin sekolah, dan selalu lumba lari dengan budak lelaki. Aku bisik pada Leya, "Aku tak selesa, aku pakai coli ni!" Mata Leya membesar dan seraya berkata "Apa? ha ha ha!"

Leya selak tudung aku dan lihat coli aku di sebalik baju kurung putih dan memberi senyuman kambing. "Cepat gila kau start pakai. Aku rata lagi, beb. Kau mesti dah datang bulan ni, kan? Tak lama mesti kau dah tak main benda-benda tu lagi. (merujuk pada aktiviti kami yang selalunya)" Leya mengusik. "Ish, belum lah. Ibu suruh pakai, aku pakai jelah. Padahal bukan nampak apa pun, sama macam kau ja. Rata macam ajlaan raya." Aku merungut, mengadu. "Permulaan macam tu lah, time aku nanti mungkin macam kau juga, kita perempuan, memang akan lalui benda begini. Mana nak lari, lambat laun benda tu tumbuh juga membesar, tak boleh buang. Sudahlah, mari pergi kantin, aku lapar." Begitu Leya kata, kedengaran matang.

Selepas berebut beli makanan di kantin, aku dan Leya pergi ke kawasan kami (tangki air lama kosong yang terletak di blok sebelah, sederet dengan bilik darjah untuk kelas pendidikan agama Islam dan kedai alat tulis). Tangki air kecil itu kami panjat dan bersantai-santai di atasnya. Aku makan nugget ayam 3 ketul berharga RM1.00 dan Leya makan nasi lemak sambal bilis harga 50sen.

Hanya kami berdua saja di situ. "Kau tahu tak, orang cakap ada ular tinggal dalam tangki ni. Dia makan semua sampah yang orang buang dalam tangki ni," Leya beritahu. "Ye ke ada ular dalam ni?" balasku walaupun mulut masih penuh kunyah nugget, sambil jari telunjuk tunjuk arah tangki. "Ntah. Diorang kata ada, dia makan sampah yang orang buang dalam ni." sambung Leya. "Kesiannya ular tu makan sampah ja." Aku dekatkan muka dan lekapkan telinga ke dinding tangki, "Encik ular, oh encik ular, tak bosan ke di dalam marilah keluar. Tak payahlah makan sampah dan tinggal dalam gelap, makan saja kawan aku, dia gemuk, daging dia sedap!" aku cuba berinteraksi dengan ular yang dikatakan ada dalam tangki.

"Bongoklah kau, Yaya. Kalau dia keluar betul-betul macam mana?" Leya sedikit ketakutan. "Kau percaya kah ada ular dalam ni?" Aku balas dengan nada senda. "Takdelah, aku risau ja. Kalau tak ada, tak apa lah kau nak cakap macam tu. Macam mana kalau betul-betul ada, mati aku di telan!" Leya menyambung. Aku dekati tangki dan interaksi lagi. "Encik ular, oh Encik ular, kau di dalam kami di luar, Kalau betul engkau wujud di dalam, jangan kami kau baham. OK?" aku pujuk ular dan tunjuk simbol thumbs up pada Leya. Sedang kami bergelak ketawa dan habiskan makanan, terdengar bunyi plastik dari dalam tangki. Leya berhenti ketawa, aku juga. Bunyi itu hilang, dan keadaan senyap seketika. Aku dan Leya berpandangan sesama sendiri. Bunyi itu datang kembali dan semakin bising. Serta-merta aku dan Leya melompat terjun ke tanah dan lari sambil jerit "Ular!"

Waktu sudah pukul 12.30 tengah hari dan sesi persekolahan pagi telah tamat. Aku dan kawan-kawan tidak pulang terus kerana ada kelas tambahan kerana pada hujung tahun nanti kami akan menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Kelas tambahan kami diadakan dalam bilik makmal. Aku suka sebab makmal adalah tempat yang jarang-jarang boleh masuk. Ada skeleton replika manusia berdekatan pintu sebelah papan putih. Ada peralatan makmal seperti penunu bunsen, beaker, penyukat silinder dan pelbagai yang aku sendiri kurang pasti namanya.

Kelas tambahan akan mula pada pukul 2.00 petang hingga 4.00 petang untuk satu subjek sahaja iaitu Bahasa Melayu. Sebelum kelas bermula aku dan kawan-kawan akan berkumpul. Hari itu, hari Jumaat dan semua kaum lelaki pergi ke Masjid. Aku dan kawan-kawan tidak bermain bubut-bubut seperti selalunya. Aimi, salah seorang rakan kelas aku, mencadangkan untuk pergi ke rumahnya di kampung berdekatan. Aku, Leya, Aimi, dan Chi pergi ke kampung Aimi jalan kaki.

Gereja Katolik Stella Maris berhadapan sekolah juga kelihatan ramai orang, aku tak pasti jika mereka pun ada upacara solat Jumaat. Aku terlalu teruja untuk ke rumah Aimi. Kami melewati taman perumahan sesebuah dan teres sebelum berjumpa kampung Aimi. Kampung Tanjung Aru. Rumah Aimi adalah sebuah perkampungan peribumi di atas air laut. Untuk ke rumahnya, kami berjalan atas jambatan kayu. Aimi masuk rumah untuk letak beg sekolah.

Aku, Chi dan Leya turun ke permukaan air. Kelihatan anak-anak ikan Ketang berenang-renang bebas tanpa sekatan. Aku selak kain sampai atas lutut dan Aimi melopongkan mulut, "Woah! Yaya Seksi!" Aku jeling dan kata "Diamlah, aku nak main dengan ikan." Leya dan Chi, juga menyelak kain sampai paras atas lutut, dan lengan baju diselinsing sampai paras atas siku. Mereka cuba menangkap anak ikan dengan tangan tapi tak berjaya. Aimi yang tidak turut serta melihat saja dari atas jambatan. Setelah puas berendam kaki (walaupun tidak puas sebenarnya), kami bertiga naik semula ke atas.

Aimi pelawa kami minum air sirap. Selepas itu, kami berempat berjalan kaki semula ke sekolah. Kain berwarna biru gelap agak basah, tapi kami seolah tak kisah malah gelak sepanjang perjalanan. 15 minit, dan kami sampai di perkarangan sekolah. Kami ikut jalan belakang, panjat pagar besi dan menuju ke bilik makmal. 2 jam belajar, dan aku kurang ingat situasi dalam makmal. Mungkin saja aku banyak tertidur, jadi aku tak ingat apa. Aku terlalu gembira bermain dalam air sebentar tadi sehingga lupa perihal coli yang tidak selesa.

*bubut-bubut - kejar-kejar


Comments

  1. Andainya dapat ku ulang semula
    Suatu zaman yang bernama remaja
    Akan terpelihara segala milik ku
    Hanya buat mu

    Lautan mana yang tidak bergelombang
    Bumi yang mana tidak ditimpa hujan
    Aku seperti mu ada waktu diburu
    Oleh dosa-dosa masa yang lalu

    ReplyDelete

Post a Comment