jalan-tidur

Saya lihat rumah sendiri dari jarak jauh tapi cukup dekat untuk pastikan keadaan rumah itu berpenghuni atau tidak. Gelap, seperti tiada orang tapi saya tahu ada seseorang di dalam rumah itu, yang tidak sukakan cahaya waktu tidur. Selipar, sandal dan kasut disusun dengan baik di rak kasut pada luar rumah. Kawasan begitu selamat sehingga tiada kebimbangan ia akan dicuri. Seperti biasa, manga pada kekisi terkunci rapat. Saya amat pasti dia sudah tidur, setidakya, sudah tak ada aktiviti selain berehat. 
/
Televisyen yang membosankan saya tutup, seraya menghampar tilam nipis. Bantal ditindan dua menjadi tinggi, saya tak selesa tidur dengan bantal rendah. Malam terasa begitu hangat, saya berkeputusan untuk tidak memakai apa-apa, tapi oleh kerana paranoid, siapa tahu ada kebakaran pada tengah malam dan saya terpaksa berlari keluar; saya tak mahu keluar berlari dalam keadaan telanjang, saya sarung singlet nipis rona biru kelasi dan panty corak penuh buka sakura saja. Tiada sesiapa menunggu di dalam talian, dan sebaliknya. Jam dekoder astro tunjuk pukul 11.00 malam. Saya sentiasa perlukan tidur sekurangnya 7 jam, lebih lama lebih baik. Bukan saya tak suka bangun, tapi saya perlu reka satu alam sebagai eskapism dari dunia sebentar. Lagu melankolik diputar secara rawak, saya cuba tidur, oleh itu saya cuma benar-benar tidur setelah fasa itu habis.
/
Kasut, sandal dan selipar disusun dengan baik. Saya ambil kasut tapak rata warna hijau nilam dan sentuh fabrik kain. Ia sudah mulai lusuh. Tapak selipar jepun bertali merah juga sudah mulai haus. Tanpa saya sedar, seekor kucing datang mengiau dengan kuat. Isyarat angka satu saya dekatkan ke mulut sebagai amaran tanda diam. Malangnya, kucing itu tidak faham. Saya angkat kucing itu ke dalam pelukan dan cuba membelai, menenangkannya tapi saya tak berjaya. Belum pun habis saya meneletiti kawasan situ, saya terpaksa beredar lantaran ngiau kucing yang kuat, risau sesiapa sedar dengan kehadiran saya. 
/
<Rumah-rumah papan atas air saya lewati dengan berjalan kaki - saya singgah ke kedai pak cik Wawai untuk beli buah cermai, saya minta cili kicap lebih, pak cik Wawai senyum dan kata OK - Jambatan banyak reput, saya tetap berkeras mahu ke rumah entah-siapa dan saya sampai satu simpang - Saloma dengan baju jururawat naik baskal datang ke arah saya, melambai - Kami menuju rumahnya di hujung jambatan - Dia mendendang lagu, saya ikut rentaknya - Kemudian saya tanya "bukankah kamu dah mati? dan ini bukan duniamu lagi?" - Rumahnya serta merta tukar jadi usang - Saloma bertukar jadi orang tua tapi saya tidak takut, dia masih cantik - Dia suruh saya pergi walaupun saya tak mahu - Saya rayu dan Saloma (yang telah mati) katakan, jaga suami dengan baik, saya angguk dan pergi dalam tidak mahu -  Saya pulang naik kapal terbang - Bagasi saya tertinggal dan ibu memarahi saya - Sebelum naik kapal terbang, kami perlu naik feri untuk ke darat - Oleh sebab kami bergaduh pasal bagasi, kami semua tertinggal feri - Ada ikan Dolfin warna kelabu muncul dan kami tiba di suatu kawasan pantai - Saya kata pada ibu, ingin mandi, ibu setuju dan saya berenang sehingga sampai ke satu rumah api - Saya naik ke atas dan lihat laut telah kering, banyak orang mati dan jalan turun telah tiada - saya buntu, saya basah.>
/
Kucing masih mengiau ketika saya lepaskannya di hujung tangga. Saya ingin kembali ke rumah tapi ia masih mengikuti saya. Hampir 15 minit saya duduk di situ saja bersama kucing yang bising.
/
<tidur>
/
Saya buka pintu perlahan-lahan dengan bunyi yang paling minima. Saya lihat dia tidur mengiring dengan muka menghadap saya. Bantal peluk dikepit erat pada bahagian kaki. Selimut di hujung kaki bergumpal seperti sebuah busut semut. Telefonnya berdering tanpa bunyi, ada nama "H_y". cuma satu missed call saja, mungkin tak penting. Saya tak sangka dia masih kelihatan comel dalam posisi tidur begini. Di dadanya ada kesan merah, akibat digaru kuat,gatal, digigit nyamuk.
/
<kabur - Saya sedang melayang di udara kerana tak ada cara selain terbang untuk cari daratan - saya lihat sekumpulan penari sedang menari tarian tradisional (zapin? joget? inang?) entah tapi ia menarik. - Mereka semua perempuan muda lingkungan belasan tahun - Solekan mereka tebal tetapi kemas dan cantik - Saya fokus pada seorang - Dia perlahan-lahan membuka sanggul rambutnya - Tariannya kini solo - dipersembahkan untuk saya - Saya duduk di atas batu - Dia membuka pakaiannya di hadapan saya sehingga tidak ada apa yang tinggal - Saya memakai bajunya - Saya gantinya menari -Saya menari dalam gaun merah paras buku lali dan pakai stiletto hitam, baju itu mendedahkan dada saya, ia kelihatan penuh dan terhimpit, kasihan -  rambut saya panjang sampai paras pinggang, kerinting. tebal dan warna perang - kabur>
/
Saya masih meihat dia pejam mata, tak sampai hati nak kejut. Saya kunci pintu dan tidur dalam keadaan duduk dengan membungkus badan guna selimut.
/
Jam berbunyi. Pukul 7 pagi, saya dapati saya sedang tidur di atas kerusi dan kaki saya basah ada pasir laut. Seekor kucing menunggu setia di luar rumah, tunggu saya jamu makanan.

Comments