kembara malam



Adik-adik masih tidur sewaktu aku terjaga, mama juga. Langit malam masih pekat hitam dan bintang-bintang bertaburan seperti manik di Tudung Mak Cik Ani, penjual pisang goreng di warung sebelah stesen kereta api. Bibirnya tebal dioles gincu merah, kulitnya putih tetapi kemerahan dek haba minyak panas, serta sanggul tinggi dalam tudung singkatnya. Mak Cik Ani memang seorang wanita yang banyak mulut, ada saja benda dia ceritakan pada Pak Yob, penjual keropok lekor dan Mbak Inah, penjual nasi lemak dan nasi ayam penyet. Walaupun bermulut pedas dan tajam kata-kata, Mak Cik Ani selalu memberi aku dan adik-adik makan, hatinya baik walaupun aku tak berapa senang lihat mulutnya yang merah itu selalu tak berhenti bercakap.

Aku kembali ke tempat tidur bersama mama dan adik-adik. Badan kupusing ke kiri dan kanan. Aku mengubah posisi tidur mengiring ke tidur secara terlentang. Kemudian aku cuba menyelit di bawah badan mama, namun aku masih tak dapat lelapkan mata yang celik membulat. Dengkuran mereka terasa begitu kuat dan aku putus asa untuk sambung tidur. Sebelum aku meninggalkan tempat tidur, aku perasan Dek Cah membuat bunyi aneh. Aku patah balik untuk lihat, rupanya dia mengigau saja.

Terasa dingin sekali cuaca pada jam sebegitu. Sejuknya meresap ke dalam tulang kecilku. “Tak naklah!” sayup-sayup bunyi itu aku dengar dari belakang blok tempat aku berada. Aku cuba menjejak bunyi itu, mungkin ada orang dalam kesusahan, aku perlu lihat. Sekali lagi bunyi dari tempat sama kudengar tetapi kali ini suara itu garau dan kasar, “sikit saja, OK?” seperti nada memujuk. Aku mendekat perlahan. Ada dua bayang pada lantai simen. Bunyi itu, semakin lama semakin pelik aku dengar. Suara halus manja perempuan diselangi garau dan keras suara lelaki. Aku membayangkan makhluk aneh berwarna hijau dengan mata hitam hidung tidak berbatang (hidungnya cuma ada dua lubang seperti pengasah pensil) tanpa jantina dan sedang terapung. Begitupun, aku masih beranikan diri untuk menyaksikan sendiri peristiwa pelik itu.

Langkah kuatur perlahan, cuba untuk meminimakan bunyi. Aku jengukkan kepala ke arah tangga itu. Kelam tapi aku pasti ada dua orang berlainan jantina di situ. Ada seorang perempuan berkulit putih kemerahan, rambutnya diwarna perang paras telinga dengan potongan bob. Dia memakai seluar pendek jenis denim dan spagetthi singlet rona hijau askar. Lengan baju panas yang dikait rona krim pula diikat ketat di pinggangya. Gelang kaki corak pua kumbu pada pergelangan kaki kirinya terletak cantik, perempuan itu memakai selipur jepun dengan tapak tinggi. Si lelaki pula tinggi lampai, kakinya panjang dan berbulu, dia memakai baju-T corak band entah apa (seperti band metal kerana ada bintang Daud dalam bulatan serta beberapa lelaki berambut panjang memakai celak hitam berlebihan) dipadankan dengan seluar pendek paras lutut yang mempunyai banyak poket. Seluar itu berwarna hitam, begitu juga selipar jepunnya.

Tangan lelaki itu berada dalam baju perempuan berkulit putih tersebut sewaktu aku sampai di hadapan mereka berdua. Dengan pantas lelaki itu keluarkan tangannya dan si perempuan pula membetulkan tali coli yang terlondeh sambil menundukkan muka. Bila mereka melihat aku, mereka menyumpah dengan perkataan kesat kemudian ketawa dan menghela nafas lega. “Kurang ajar, aku ingat apa tadi. Sial betul, kacau daun saja!” Kata lelaki itu pada perempuan comel di sebelahnya seraya tunjuk jari tengah dan memberi isyarat menghalau aku pergi. “I pun terkejut juga, hehe” si perempuan bernada manja dan menekup mukanya pada dada lelaki tersebut. Mereka kembali membuat bunyi pelik itu. Aku tercegat kehairanan kerana si perempuan tidak menepis lelaki tersebut ketika cuba mengigit lehernya, aku lihat ia suatu perbuatan yang kelihatan sakit tetapi perempuan itu tampak seronok pula. Aku berlalu pergi dalam kehairanan.

Berjalan pada waktu begini bukanlah waktu yang selamat untuk tubuh kecil seperti aku tetapi aku terlalu celik untuk tidur semula. Mama pasti marah jika tahu aku keluar sendirian. Aku tercium bau harum kuih ketika aku sedang risau memikirkan marahnya mama jika tahu aku keluar tanpa izin, aku langsung lupa hal itu lantaran perut yang sedang lapar mula berkeroncong. Aku tahu perut aku berkeroncong kerana getaran dalam perut aku menyerupai nada lagu yang aku dengar dari rumah Cik Siti, seorang janda berhias beranak dua. Dia juga selalu menjemput aku, mama dan adik-adik ke rumah untuk makan, bermain dan bersantai-santai. Walaupun tinggal dalam rumah pangsa, isi rumahnya agak mewah, itu aku lihat dari perabot jati dan kemudahan alatan mekanikal lain seperti mesin basuh, ketuhar, mesin pengisar dan segala yang ada di rumah itu punya jenama yang terkenal. Dia tinggal tidak jauh dari tempat kami.

Cik Siti gemar putarkan lagu-lagu lama di rumahnya melalui tivi, radio atau lewat telefon pintar. Pemain rekod piring hitam ada di rumahnya tapi ia sudah tidak berfungsi, cuma sebagai hiasan saja.  Dia masih muda lagi, belum pun mencecah umur 30 tapi sudah janda lantaran suaminya mati kemalangan jalan raya. Anaknya masih kecil, seorang lelaki dan perempuan, mungkin beza selang setahun dua. Petang sabtu lalu, ketika aku bermain kejar-kejar dengan adik-adik, Cik Siti ternampak kami adik-beradik lantas dia melambai memanggil kami untuk pelawa masuk ke rumahnya. Cik Siti beri kami makanan dan air sedap, kami semua nikmatinya dan dengar lagu klasik dendangan Sundari Soekotjo, begitulah yang Cik Siti katakan ketika bersembang dengan kami sewaktu bersantai usai makan.

Adik-adikku yang kekenyangan tertidur sebentar di ruang tamu, manakala aku teman Cik Siti tonton tivi. Ia sebuah siaran yang hanya paparkan lagu-lagu yang tiada suara, hanya melodi instrumental, tapi ada sesetengah lagu berserta suara seperti orang menjerit-jerit kuat perlahan kuat dan perlahan kembali dalam bahasa asing dan aku tak satu pun perkataan yang disebut. Cik Siti kata itulah lagu opera. Di rumah, Cik Siti hanya mengenakan kain batik dan Kebaya fabrik kapas bercorak bunga kemboja tabur. Kebaya itu longgar dan menutupi punggungnya yang lebar. Dia nampak ayu dalam busana klasik itu, diserikan lagi dengan rambut hitam yang sanggul kemas, seperti seniwati zaman P. Ramlee era 50-an. Sewaktu Cik Siti mengambil alat kawalan jauh yang terjatuh ke lantai, aku terlihat ada tahi lalat pada bahagian kanan dadanya yang montok serta rantai emas loket bujur. Sayang sekali dia sudah janda pada usia muda begini.

Pancaran jingga merah mulai kelam, hanya ketika itu baru kami tiga beradik pulang. Sekembali ke rumah, mama tanya kami ke mana, dan aku menjawab ke rumah Cik Siti. Mama tidak marah kerana sudah maklum Cik Siti memang baik orangnya. Bau harum kuih tadi semakin kuat dan aku dapati aku berada di depan sebuah rumah kecil beratap dan berdinding merah dan terdapat 3 biji limau mandarin, 3 biji kuih apam di atas pinggan, 2 gelas berisi air warna merah hati, 2 piring makanan yang aku tak pasti makanan apa dan juga beberapa batang colok yang sudah terbakar setengah. Aku tergoda dengan bau kuih apam yang gebu itu tapi oleh kerana aku khuatir dimarahi oleh tuan empunya makanan tersebut (Dek Cah pernah dijerit ketika cuba hendak mengambil makanan dari tempat itu), aku lupakan hasrat tersebut. Aku pandang ke belakang, 2 susuk orang berkelakuan pelik itu masih di sana.

Perasaan laparku teralih apabila melihat seekor lipas merayap di dinding blok rumah pangsa sebelah hujung. Ia bergerak dengan pantas dan membuat aku teruja untuk mengejar. Aku mengekor ke bahagian hujung blok untuk melihat lipas itu dengan lebih dekat. Sesampai aku di sana, aku lihat ada 2 ekor lipas lagi dengan saiz sama. Aku menjadi teruja melihat mereka merayap mencari makanan dan rasa ingin tangkap seekor. Aku melihat mereka dari bawah dan kepala aku tergeleng-geleng kiri, kanan, atas dan bawah mengikut arah lipas-lipas itu berterbangan. Salah seekor lipas itu terbang dan melalui mentol lampu yang panas, lalu terjatuh ke bawah. Ia mendarat dengan kakinya di atas. Ia seperti meronta-ronta minta tolong untuk diterbalikkan badan semula ke posisi normal tapi 2 kawannya tidak memperdulikan rintihannya. Aku memegang badan lipas itu mengunakan hujung jari. Ia diam tidak bergerak, berpura-pura mati. Apabila aku cuba sekali lagi untuk memegangnya, secara tidak sengaja, aku terlastik ia jatuh ke longkang yang kering dan penuh dengan sampah-sarap.

Kali ini dia berjaya membalikkan badannya tapi tidak dapat terbang lantaran sayapnya yang patah sebelah. “Kasihan,” aku ucapkan pada dia. Lipas itu seolah-olah menoleh dan menjeling dengan simpatiku. Ia berusaha bersungguh-sungguh untuk keluar dari longkang berisi timbunan sampah. Aku terlalu ralit mengikuti perjalanan lipas itu sehingga tidak sedar ia bawa aku ke suatu tempat yang asing, suatu tempat aku tidak pernah sampai sebelum. Ia sebuah kawasan perumahan sesebuah yang cantik dan sunyi. Sewaktu aku mengagumi keindahan landskap kawasan situ, lipas tadi sudah hilangkan diri entah ke mana. Sungguh pantas ia berlari, seperti lipas kudung. “Ia seekor lipas kudung sayap.”  Gumamku dan tertawa sendirian.

Aku meneruskan kembara dengan melewati setiap rumah besar di situ. Kepekatan malam mulai beransur cair menandakan hari semakin mulai pagi. Sedang leka berjalan, aku dikejutkan dengan salakan anjing baka Rottweiler. Liurnya meleleh dan berjatuhan mengenai besi pagar rumah, ia memandangku dengan garang sekali memberi amaran aku tidak sepatutnya masuk ke kawasan aku sedang lalui. Aku tidak lari walaupun aku takut. Kami berpandangan dan menunjukkan berani masing-masing. Aku tahu, aku bukan lawannya tapi aku sebagai anak lelaki sulung perlu berani hadapi bahaya, itu memang menjadi tanggungjawab aku dan merupakan naluri yang semula jadi ada dalam diri sejak dilahirkan.

Bunyi gonggongan anjing hitam itu mengejutkan seorang pemuda dari rumah bertentangan. Ia keluar dari rumah tergesa-gesa dengan seluar pendek atas lutut, tidak berbaju, berkaca mata empat segi bingkai tebal warna hitam serta berambut ikal, panjangnya melebihi telinga. Dia datang dengan membawa kayu besbol sebagai pertahanan dan boleh dijadikan senjata untuk melawan musuh. Apabila dia melihat aku dan anjing hitam itu seperti mahu berlaga, dia cuba menangkap aku dan mengheret masuk ke dalam rumahnya. Dalam keadaan itu, aku tidak tahu kenapa aku yang harus ditenangkan sedangkan aku tidak berbuat salah apa-apa. Percubaan aku untuk lari gagal, tangannya terlalu pantas menangkap tubuh kecilku. Aku meronta-ronta minta dilepaskan. Tiada senjata dapat aku capai, oleh itu aku menggunakan gigiku yang tajam untuk mengigit tangannya yang menerkam perutku, tapi aku tak berjaya loloskan diri. Dia tahan tukul, kulitnya tebal.

Isi dalam rumahnya dipenuhi perabot-perabot mahal (aku rasa). Dia meletakkan aku di atas sofa bercorak bunga ros penuh. Aku ditinggalkan di situ sementara dia bergegas mengunci pintu dan kemudian ke dapur. Sekeliling gelap saja, aku memikirkan nasibku dan perkara yang bakal dia lakukan pada aku. Mungkinkah aku akan dibunuh dan dipotong kecil-kecil untuk diberi makan pada buaya atau ikan jerung? Atau organ dalamanku dicungkil keluar untuk dijual di pasar gelap? Atau dia akan menjual aku untuk menjadi hamba seumur hidup? Tidak! Airmata mulai jatuh setelah sekian lama tidak tumpah. Aku mahu mama pada saat ini, aku meraung menangis teringat adik-adikku yang masih kecil.

Lelaki rambut ikal itu muncul semula dari arah dapur. Aku pejamkan mata kerana takut dia membawa pisau dapur untuk mengelar leherku atau mana-mana bahagian tubuhku. Badanku menggigil dan berkeringat kerana takut mati. Aku seperti seekor tenggiling menggulung diri dari musuh yang ketakutan. Mulut terkumat-kamit menyebut nama Tuhan, meminta perlindungan. Kepalaku disentuh, tapi aneh, sentuhan itu tidak seperti sedang mengancam. Perlahan-lahan aku intip dia dengan membuka sebelah mata. Di tangannya, ada segelas air. “Jangan takut, abang tak akan cederakan adik, minum dulu, kejap lagi abang sediakan makanan.” Kepalaku diusap lembut dan dia mengesat air mata dan air hidung yang bercampur di pipi dan daguku. Kepercayaanku pada lelaki itu belum benar-benar kuat walaupun dia telah tunjuk niat ikhlasnya padaku, aku masih cuba mencari akses untuk keluar. Orang sekarang bukan senang-senang boleh percaya, muka polos boleh jadi yang paling setan. Otak ligat mencari jalan keluar, mungkin di dapur ada jalan keluar kerana ia menghubungkan lorong belakang, aku cadangkan pada diri sendiri.

Dengan penuh hati-hati aku menyelinap ke bahagian dapur. Lelaki berambut ikal itu sedang menyiapkan entah apa dalam keadaan gelap dibantu dengan cahaya natural bulan. Aku lihat pintu ke arah halaman belakang terbuka sedikit, ini peluangku! Aku pecut lari menghala ke pintu tersebut tetapi oleh kerana lantai marmar yang licin, aku tergelincir dan kepalaku terhantuk kerusi kayu yang disusun kemas pada meja makan. Lelaki berambut ikal itu tersentak, dengan pantas dia mendapatkan aku yang masih pening-pening lalat di hadapan pintu dapur. Aku menangis kesakitan dalam kegagalan. Betapa aku rasa akulah yang paling malang di dunia hari ini.

Kepalaku diusap lembut, selembut sentuhan mama, atau lebih pada prihatain seorang ayah. “kan abang dah cakap, jangan takut. Abang tak akan cederakan adik. Jangan lari, ya?” sekuntum senyuman manis dia berikan untuk menenangkan hatiku yang bimbang. Ketika ini, aku merasai keikhlasannya dan mulai longgarkan pertahanan. Di meja, hidangan untukku (aku agak, untuk siapa lagi? Aku saja tetamu pada waktu begini) telah tersedia. Serta-merta imej jahat lelaki tadi lesap. Perut yang masih kosong bergetar dengan lebih kuat kerana terhidu bau harum hidangan itu. Lapar membuatkan aku gelap mata. Kali ini getaran di perut bukan lagi nada keroncong, tetapi nada opera. Dengan rakus, aku habiskan semuanya seorang diri tanpa berkata apa-apa sehingga tiada sisa pun aku tinggalkan ke atas pinggan itu, seolah ia belum digunakan.

Perut kelihatan buncit sedikit akibat kekenyangan tapi masih belum menyamai perut lelaki berambut ikal itu. “kenyang?” dia bertanya, matanya yang sepet dibesarkan, keningnya terikut naik ke atas melengkung seperti bentuk pelangi, terlihat susunan gigi kecilnya yang putih. Bibir nipis kehitaman itu mengetip sebatang rokok. Aroma bancuhan air kopi instan jenama nescafe bercampur dengan asap rokok yang dihelanya. Seperti dia sangat menyukai kehadiranku yang tiba-tiba, dia tak henti-henti membelai belakang dan kepalaku.

Grandfather’s clock di ruang tamu berketinggian 1.8 meter itu berbunyi, menunjukkan sudah pukul 4 pagi. Pendulumnya bergerak kiri dan kanan membuat pukulan sebanyak 4 kali. Bunyi yang terhasil itu agak menyeramkan, seperti dalam filem horror di mana hantu akan keluar pada bila-bila masa. Lelaki berambut ikal itu mendukung aku naik ke bahagian atas rumahnya, lebih tepat ke kamar tidur. Oleh kerana kekenyangan, aku terasa tak berdaya untuk menolak. Terdapat banyak gambar di dinding ketika aku melalui tangga. Potret keluarga memakai baju melayu sedondon, budak kecil duduk menunggang kuda, gambar konvokesyen, gambar lama seorang pemuda tampan, juga seorang wanita freehair bergincu merah jambu, serta beberapa lagi gambar lain. Wajah lelaki berambut ikal ini seiras dengan budak yang menunggang kuda tadi.

Selimut di tempat tidurnya bergumpal bersama bantal kepala dan bantal peluk. Di atas gumpalan itu ada sebuah buku Jepun terjemahan Inggeris. Tingkap di biliknya menghadap rumah tempat si anjing hitam Rottweiler, ia terbuka luas dan udara dingin keluar masuk melalui tingkap itu. Anjing hitam itu sudah tidak kelihatan di situ lagi. Mata terasa berat, perut sudah penuh dan apa yang aku perlukan ialah berehat dan tidur. Lelaki berambut ikal itu baring di ranjangnya dengan wajah sugul, seperti memikirkan suatu masalah yang berat. Atas dasar kasihan, aku mendekatinya.

Dia melihat gambar seorang perempuan yang bertudung membuat gaya “peace” atau angka 2, di dalam dompet kulitnya. Latar gambar itu seperti dalam restoran makanan segera. Perempuan itu mempunyai raut wajah yang manis, matanya bulat bersinar seperti bulan mengambang, badannya kurus, tinggi. Berdiri di sebelah perempuan itu ialah seorang lelaki bertubuh tinggi lebih sedikit darinya. Lelaki itu memakai kaca mata, ada janggut halus di dagunya, barbaju kemeja kotak-kotak dan lengan baju diselinsing sampai siku. Dia membuat gaya “cool” dengan kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar denim. Bila aku amati, ia menyerupai lelaki berambut ikal itu, tetapi lebih kurus berbanding dia yang sekarang.

Dalam situasi begini, aku tak tahu apa kata-kata yang dapat menenangkan kebimbangan hatinya, lalu aku letak tanganku di atas tangannya. Dia tersenyum seraya menarik aku dekat pada tubuhnya dan mengusap-usap belakangku. Belaiannya itu membuat aku semakin mengantuk. Entah bila, aku tertidur bersamanya dengan posisi menggulungkan badan ke dalam, lebih kurang seperti foetus dalam perut seorang ibu, dan lelaki rambut ikal tidur terlentang seperti tapak Sulaiman, wajahnya menghadap siling putih vanila. Bunyi dengkurannya yang kuat membuat aku terjaga dan tak sempat pun untuk bermimpi. Baru kira-kira 5 minit lelap, aku terjaga tapi lelaki rambut ikal sudah pun mati, mungkin sedang bersiar-siar di dalam alam mimpi. Aku tak patut ada di sini lebih lama, aku patut pulang. Tingkap bilik masih terkuak luas, ini adalah jalan keluar paling dekat untuk aku lolos.

Matahari mulai mengintai bumi dan cuaca dingin beransur pergi tetapi masih tidak ada sesiapa di luar kecuali seekor cicak betina gemuk berwarna koko pucat di dinding biliknya. Aku melihat dengan penuh konsentrasi. Cicak betina itu bergerak ke arah lampu kalimantang dan merayap ke arah tingkap, mahu keluar. Aku kekal dalam posisi sama, memerhatikan gerak-gerinya. siapa tahu cicak betina ini ada rancangan jahat ke atas lelaki rambut ikal, aku tak mungkin akan membiarkan ia berbuat begitu pada lelaki yang berjasa baik terhadapku (walaupun aku sangsi pada lelaki rambut ikal pada awal pertemuan).  Dari dinding rumah sebelah, kedengaran cicak jantan berbunyi untuk menarik perhatian cicak betina dihadapanku, mahu bercinta. Hasrat mereka untuk mengawan punah ketika aku berjaya merentap cicak betina tersebut dan ia serta-merta mati terkejut. Cicak jantan itu lari menyelamatkan diri. Sungguh, ia cuma mahu mengawan dan tak ada niat untuk bertanggungjawab pun. Aku persembahkan cicak ini pada lelaki rambut ikal di tepi bantalnya, sebagai tanda terima kasih. Melalui tingkap biliknya, aku melompat keluar dan mencari jalan pulang.

Bumbung-bumbung warna jingga aku lewati. Jalan itu sangat asing. Aku tahu aku sedang sesat tapi aku terus berjalan menjauhi kawasan tadi, itu lebih baik dari duduk berdiam diri saja. Aku tak akan berpatah balik kerana takut untuk kembali berjumpa anjing hitam Rottweiler tadi. Curam bumbung mebuat aku hampir jatuh tergelincir, kakiku terluka sedikit abkibat bergeser dengan zink yang berkarat. Sewaktu sampai di rumah paling hujung, aku lompat turun dengan berhati-hati agar tidak cedera. Aku terserempak dengan Abang Joe kenalan dari kawasan perumahan aku tinggal – entah apa dia buat di sini, jumpa teman wanita barangkali. Aku berlari mendapatkan dia yang sedang duduk di bawah pokok bunga kertas memerhatikan ulat beluncas dengan daya fokus yang tinggi. Fikirku sedang mengintai anak dara, rupanya dia perhati ulat gemuk itu memakan daun.

Joe menyedari kehadiranku tetapi dia meletakkan tangan pada mulut, sebagai tanda jangan bising. Aku diam sebentar tapi oleh kerana bimbang pagi akan kesiangan, dan mama akan risau atas ketiadaanku di tempat tidur, aku mendesaknya memberitahu jalan pulang ke rumah. Dia paling ke arahku, riaknya jelas terganggu. “Aku sesat, boleh kau beritahu aku jalan balik tak?” aku senyum seperti kerang busuk. Joe menerangkan jalan pulang dengan terperinci, aku mendengar dengan teliti. Sebelum aku beredar, aku ulang semula kata-katanya, untuk kepastian. Joe angguk kepala, aku ucap terima kasih dan berlalu dari situ. Dia masih lagi memerhatikan ulat beluncas di daun pokok bunga kertas itu mengensot. Aku kegelian bila teringat cara makhluk itu bergerak.


Melalui lorong-lorong asing dan belukar liar, aku akhirnya sampai ke kawasan perumahan tempat mama dan adik-adikku berada. Orang sudah mulai sibuk hendak keluar ke tempat kerja dan ke sekolah atau ke mana pun destinasi mereka, aku tak kisah. mereka tidak mempedulikan kehadiran anak kecil sepertiku yang comot dan selekeh, urusan mereka lebih penting dari segalanya. Sama-sama amal sifat aku-aku; kau-kau, begitulah di kota. Aku lewati kembali longkang tempat lipas bersayap satu merayap juga tempat sepasang kekasih ber-entah-apa di tangga tingkat paling bawah. Mereka semua sudah tak ada di situ lagi. Aku mengintai tempat mama dan adik-adik tidur, mereka semua masih lena di dalam kotak empat segi yang gelap. Badanku letih kerana banyak hal yang berlaku semalam, aku turut serta adik-adikku yang masih nyenyak tidur dan menyusu pada badan mama. Di fikiranku, imej lelaki rambut ikal masih berlegar, dia pandai membelai, laksana seorang ayah. Esok, aku bercadang mahu lawat dia lagi. Aku pasti aku tidak akan sesat kerana aku sudah tanda jalan ke rumahnya dengan air kencing.

20/2/2017 - Bukit Kiara

Pertama kali serta sayembara cerpen circa April 2017 dan terpilih untuk cerpen Cukaria, boleh baca versi terbitan melalui link ini http://www.cukaria.com/kembara-malam 

Comments