Itinerary Kembara ke Yogyakarta


Hari 1: Khamis, 2 Mac 2017 – Menjejak Kaki di Tanah Jogja

·         Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 – Lapangan Terbang Adisugipto
Lapangan terbang ini kecil sahaja dan tidak ada perkhidmatan wifi percuma. Kami tiba pada pukul 11.15 waktu tempatan dan mendapatkan supir (pemandu) di ruang ketibaan. Kami kemudian ke kereta dan menuju ke tempat makan kerana perut sudah lapar minta diisi.

·         Satria Restro
Ini adalah restoran pertama kami singgah sesamapi di Kota Jogja. Restoran ini cantik dengan konsep buluh dan duduk bersila. Makanan juga sedap Cuma sedikit mahal dari restoran lain. Saya memesan nasi ayam penyet dan teh ais (di sebut es the dalam dialek tempatan) bernilai Rp56.000 (RM18). Di sini terdapat kemudahan surau untuk menunaikan solat. Tiket masuk untuk ke Candi Prambanan, Candi Ratu Boko dan Candi Borobudur boleh dibeli di kaunter restoran ini dengan harga diskaun (rasa saya ia adalah aturan dengan supir itu sendiri, kawtim lah sebab itu sedikit murah).

·         Candi Prambanan
Usai makan tengahari, kami langsung ke Candi Prambanan yang terletak tidak jauh dari restoran tadi. Bayaran masuk seorang ialah Rp234.000 (RM78). Candi ini adalah kuil terbesar di Indonesia. Seni aristekturnya sangat cantik dan unik, tapi jangan lupa sapu losen pelindung matahari, dan bawa payung, topi atau kaca mata hitam kerana cuaca sangat panas pada waktu tengahari. Selain itu, cenderamata di sini juga murah dan berbaloi untuk dibawa pulang sebagai oleh-oleh.

·         Candi Ratu Boko
Sekitar pukul 4 petang, kami berangkat ke Candi Ratu Boko yang terletak di atas kawasan gunung. Cuaca di kawasan ini agak sejuk dan berkabus. Kami terpaksa mendaki ke puncak untuk ke Candi Ratu Boko. Penat, tapi pemandangan matahari terbenam menyirnakan kelelahan kami. Bayaran masuk ke sini ialah Rp169.000 (RM56). Ini adalah wisata di mana Cinta dan Rangga bertemu dalam filem Ada Apa dengan Cinta 2 (AADC2).

·         Bukit Bintang
Kami singgah di Bukit Bintang untuk makan malam. Ia adalah deretan warung di tebing bukit dengan pemandangan cahaya lampu neon dari kejauhan. Tidak banyak menu makanan tersedia, kami cuma pesan Indo Mie Goreng berharga Rp10.000 (RM3) dan es teh, sekadar isi perut. Saya tidak mengambil gambar apa-apa di tempat ini.

·         Green Leaf Guesthouse
Hotel ini terletak kira-kira 10 minit dari Lapangan Terbang Adisugipto. Selesa, itu satu kata yang saya berikan pada hotel ini. Kemudahan seperti wifi, seterika, ampaian, dapur (ada di kawasan belakang kaunter untuk anda membuat kopi atau masak mee segera cawan), air panas (di kamar mandi) dan kolam mandi (di luar). Ia sebuah rumah yang direnovasi menjadi hotel. Biliknya luas untuk kami berempat, ada televisyen dan penghawa dingin. Bayarannya untuk satu malam sekitar Rp350.000 (RM115).


Hari 2: Jumaat, 3 Mac 2017 – Kembara ke pelusuk Jogja

·         Kebun Buah Mangunan
Pagi-pagi lagi kami sudah berangkat menuju Kebun Buah Mangunan. Ia bukan kebun tempat menanam buah-buahan, tetapi merupakan wisata untuk melihat kabus pagi dan terbit fajar matahari. Ada bayaran dikenakan (untuk tempat meletak kenderaan kalau saya tidak silap), bayaran juga saya tidak ingat berapa tetapi murah sahaja sekitar Rp.5000 barangkali. Sebenarnya ini bukanlah wisata yang kami ingin tuju, jadi kami di sini sekejap saja.

·         Jurang Tembelan Kanigoro
Gambar yang kami lihat di instagram ternyata bukan di Kebun Buah Mangunan tetapi di Jurang Tembelan Kanigoro, terletak di kawasan sama dan oleh itu, ramai pengunjung tersilap. Bayaran di sini adalah gratis! Pemandangan pagi di sini sangat cantik dan sejuk.

·         Hutan Pinus
Hanya Rp2.000 (60 sen) diperlukan untuk memasuki hutan cantik ini. Terdapat banyak buaian di sekitar hutan yang dihiasi oleh pokok tinggi jenis Pinus Merkusii. Datang pada waktu pagi dan anda bisa mendapatkan banyak foto cantik! Usai melawat Hutan Pinus, kami singgah di warung Mie Ayam Bakso untuk makan tengahari. Harganya murah, cuma Rp10.000 (RM3 lebih) sahaja.

·         Goa Pindul & Sungai Oyo
Ini adalah aktivit air kami jalani di sini. Terdapat banyak pakej ditawarkan tetapi kami cuma ambil pakej paling minima iaitu tubing di Goa Pindul dan seterusnya ke Sungai Oyo, keduanya berharga Rp150.000 (RM50) seorang selepas diskaun. Pakej asal ialah Rp100.000 per aktiviti, kami dapat diskaun sebanyak Rp50.000. Mereka akan sertakan pemandu arah sepanjang aktiviti. Perkhidmatan fotografi juga disediakan dan anda perlu membayar sebanyak Rp100.000 (RM33) untuk satu tempat, kami cuma menggunakan perkhidmatan fotografi di Sungai Oyo, anda boleh meminta mereka menggambar sebanyak mana anda mahu.  Kamera persendirian boleh dibawa masuk tetapi sebarang kecuaian tidak akan ditanggung oleh pihak mereka. Oleh kerana ia aktiviti melibatkan air, kami semua membawa baju sendiri untuk aktiviti ini.

·         Pulau Timang
Bayaran masuk ke kawasan ini ialah Rp10.000 (RM3) seorang. Pulau ini terletak jauh di atas bukit, dan untuk ke sana, kami harus menaiki ojek (motorsikal) yang dibawa oleh penduduk tempatan. Perkhidmatan ojek berharga Rp50.000 (RM6). Keadaan tanah yang tidak rata dan berbatu membuat anda terasa terlambung-lambung semasa membonceng motor. Tidak sah kalau anda tidak menaiki gondola sesudah sampai di atas, bayaran gondola dikenakan ialah Rp200.000 (RM66). Ia suatu pengalaman yang tak mungkin anda lupakan seumur hidup.

·         Baron Techno Park
Terdapat jam matahari besar di kawasan ini. Pemandangan juga cantik dan anda dapat melihat kincir angin untuk sumber tenaga semula jadi. Malangnya kawasan ini sedang ditutup untuk renovasi. Walaubagaimanapun, kami dapat masuk atas ihsan dari pihak penjaga kawasan situ.

·         SS Sambal
Hari kedua diakhiri dengan makan di restoran yang direkomendasi oleh salah seorang penjaga Baron Techno Park, iaitu SS Sambal. Terdapat pelbagai jenis sambal dan lauk boleh dipesan. Seperti biasa, saya hanya pesan menu selamat iaitu nasi putih, ayam bakar, tempe goreng, dan terung goreng. Sambal di sini agak pedas bagi yang tidak tahan pedas seperti saya. Harga makanan sangat berpatutan. Tak sempat ambil gambar, terlalu lapar.

Hari 3: Sabtu, 5 Mac 2017 – Aku mencari Rangga

·         Candi Borobudur
Kembara hari ketiga dimulakan di Candi Borobudur. Bayaran masuk seorang ialah Rp246.000 (RM82) selepas diskaun (kami beli tiket masuk ketika makan di Satria Restro). Seperti biasa, cuaca sangat panas dan ramai pengunjung datang melawat lantaran hari kami lawati ialah hari sabtu. Pada saya, ia adalah kuil tercantik antara semua kuil yang saya lawati. Usai melawat candi, kami membeli-belah di kawasan cenderamata terletak di perkarangan luar candi. Terdapat banyak penjual yang seolah-olah memaksa anda untuk membeli dagangan mereka, Jika anda benar-benar mahu barang tersebut, cuba tawar dan jika masih tidak puas hati, berlalu saja, mereka pasti akan memanggil anda kembali dan tawar harga lebih rendah.

·         Gereja Ayam
Selain candi Ratu Boko, ini salah satu wisata dalam AADC2 di mana Rangga membawa Cinta untuk menikmati terbit matahari di rumah ibadata ini. Bayaran masuk satu kepala adalah Rp10.000 (RM3) untuk turis dan Rp5.000 (RM1.50) untuk lokal. Terdapat perkhidmatan Jeep untuk ke Gereja berharga Rp7.000 (RM2.50) seorang jika anda keletihan untuk menyusuri bukit ke arena Gereja.

·         Bandar Jogja
Salah satu makanan terkenal di Jogja ialah kuih Bakpia. Supir membawa kami ke kilang Bakpia dna seterusnya ke Rumah Batik untuk membeli-belah di sana. Harga batik tidaklah semurah di sangka tapi kualiti kain dan corak memuaskan. Harga batik jawa paling murah saya dapati di kedai ini ialah Rp60.000 (RM20) dan corakknya juga boleh tahan cantik serta unik. Lain-lain corak berharga di atas Rp100.000.

·         Kedai Buku Togamas Suroto
Saya merupakan seorang yang meminati sastera Indonesia. Setelah membuat carian di google dan atas rekomendasi orang lain, saya meminta supir untuk singgah di kedai buku Togamas di Jalan Suroto. Terdapat banyak lagi kedai buku lain (mungkin lebih baik) tapi ini juga sudah memuaskan untuk saya. Kedai ini mengadakan promosi mengikut hari. Pada hari saya ke kedai ini, mereka mengadakan diskaun sebanyak 30% untuk novel fiksyen. Saya rambang mata dan tidak sedar telah menghabiskan masa selama 1 jam membelek buku sehingga kawan saya terlelap di dalam kereta menunggu. Sudahnya, saya membeli 9 buah buku novel fiksyen dan puisi dan semua itu bernilai sekitar Rp300.000 lebih (RM100 lebih) sahaja!

Hari 4: Ahad, 6 Mac 2017 – Lambaian akhir Kota Jogja

·         Gunung Merapi
Ini merupakan ekpedisi terhebat bagi saya sepanjang berada di Kota Jogja. Pagi masih gelap dan kami sudah pun keluar menuju Gunung Merapi yang mengambil masa kira-kira 1 jam lebih dari hotel kami duduki. Azan Subuh berkumandang apabila kami sampai di kawasan masuk wisata ini. Untuk ke kawasan Gunung Merapi, kami perlu membayar Rp500.000 (RM160) untuk satu jeep, satu jeep boleh muat 3 – 5 orang penumpang. Keadaan jalan tidak rata, batu kerikil serta serpihan lava yang sudah mengeras membuat perjalanan kami sangat mencabar, sama seperti menaiki ojek ke Pulau Timang. Kami menunggu fajar terbit di kaki gunung Merapi. Selepas itu, kami dibawa melawat ke kawasan Batu Alien, sebongkah batu besar yang menyerupai alien dan muzium Gunung Merapi. Muzium ini merupakan rumah penduduk asli yang sudah dijilat lava dek letusan gunung pada tahun 2010. Di dalam rumah ini ada tinggalan barang sisa pasca letusan. Kedua kawasan Batu Alien dan Muzium adalah gratis. Bagi yang minat minum kopi, anda boleh cuba kopi merapi di sini. Sebagai kenang-kenangan, anda boleh membeli serbuk kopi merapi untuk bawa pulang.

·         Candi Ijo
Ini adalah candi terakhir kami lawati dan ia adalah candi paling kecil antara semua. Bayaran masuk ke candi ini ialah Rp10.000 (RM3) untuk pelancong dan Rp.5.000 (RM1.50) untuk lokal. Saya tidak tahu bagaimana saya dan kawan-kawan mendapat harga lokal walaupun jelas kami bukan penduduk lokal, mungkin kerana serumpun, wajah dan penampilan ternampak seakan lebih kurang, kami mendapat harga begitu. Jadi, anda bias berpura-pura ngomong untuk dapat tiket masuk dengan harga murah.

·         Tebing Breksi
Lokasi terakhir sebelum pulang ke Malaysia. Tidak ada bayaran dikenakan cuma ada bayaran untuk meletak kenderaan dan tidak pula ditentukan kadarnya, bayar seikhlas hati. Mungkin kerana sudah terlalu keletihan dari kembara Jeep, kami tidak naik ke puncak tebing Breksi dan sekadar melewati perkarangan bawah tebing sahaja.

·         Lapangan Terbang Adisugipto
Kami tiba awal di lapangan terbang untuk mengelakkan kejadian seperti terlewat atau tersekat di dalam trafik. Kami pulang dengan membawa kenangan kami di Kota Cinta Yogyakarta. Ini adalah kembara saya dan kawan-kawan saya yang bakal melangsungkan perkahwinan masing-masing dalam masa terdekat. Hanya saya yang belum ketemu “Rangga” saya. #jomblohappy

Nota:
1.       Total perbelanjaan supir selama 4 hari = Rp1.500.000 (RM350) @ Rp375.000/ hari (RM125/ hari)

2.       Total perbelanjaan hotel selama 3 hari = Rp1.050.000 (RM350) @ Rp350.000/ hari (RM116/ hari)

3.       Supir boleh dihubungi melalui instagram @putra_jogja_atmaja atau Facebook Putra Jogja Atmaja

4.       Hotel Green Leaf Jogja boleh dihubungi melalui nombor +62 274 484752.

5.       Keseluruhan bayaran masuk sepanjang di Jogja tidak melebihi RM1,000 (tidak termasuk cenderamata dan makan minum dan juga tiket penerbangan)

Gambar-gambar wisata boleh diakses melalui https://www.instagram.com/matabundar/

Comments