Taman Permainan


Kira-kira umur saya 8 tahun, keluarga saya berpindah ke kawasan yang agak jauh dari sekolah rendah saya. Untuk ke sekolah, ia ambil masa lebih kurang setengah jam. Ini adalah fasa saya ada kawan yang ramai. Ina, Osin, Diah, dan Natasha ialah kawan rapat dan wajib ajak main waktu petang. Kawan sampingan lain termasuk Maidin, Suya, Fattah, Afif dan beberapa orang saya sudah hilang ingatan tentang mereka. Ada tiga momen bersama kawan rapat yang berlegar indah ketika mengenang zaman lampau. Pertama, kami sekumpulan sepakat untuk berlatih tarian Bollywood untuk persembahan sempena acara keramaian anjuran ketua blok 4.

Hampir setiap petang kami berkumpul. Osin, juru reka tari entusiastik cipta langkah dan gerakan, Diah bertindak sebagai pengawal system bunyi. Tugasnya usung radio dan main kaset putar lagu Hindustan, kami yang lain sebagai penari dan hanya menurut kata. Lagu Dholna dari filem Dil To Pagal Hai jadi pilihan. Hampir semua orang gilakan Hindustan pada waktu itu, kami kanak-kanak tidak terkecuali. Shah Rukh Khan terlalu klise, jadi saya pilih untuk minat Hirtik Roshan atas alasan warna mata koko dan kaki panjangnya jadi saya boleh berangan saya akan dewasa seperti Amisha Patel yang bertubuh genit dan berdada penuh dengan mata yang bulat galak (kami boleh bercinta persis dalam Kaho Naa Pyaar Hai). Hirtik meski lembut badan menari, tetap tak dapat tandingi karisma Shah Rukh Khan, itu saya tidak sangkal. Saya mengaku saya pernah tertipu yakin Shah Rukh Khan ada suara merdu sebelum tahu ia suara Udit Narayan.

Dalam gigih berlatih, semuanya sia-sia bila ketua blok batalkan slot persembahan dan gantikan dengan acara sukaneka. Kami hampa tapi tetap berseronok lari dalam guni, usung bola ping pong guna sudu, tiup belon hingga pecah dan rebut kerusi. Habis sukaneka, saya dan rakan pergi ke sudut bawah tangga makan lauk pesta. Peristiwa kedua ialah ketika kami sepakat untuk cuba main permainan spirit of the coin. Kebetulan ada satu rumah tinggal di tingkat paling atas selang beberapa unit dari rumah Ina dan ia tak berkunci. Dinding rumah itu terdapat beberapa lukisan lucah yang saya tak tahu terjemah, saya hanya setuju bila kawan kata ia begitu tanpa selidik lebih lanjut, juga banyak kata-kata makian dan beberapa bait lirik lagu saya biasa dengar, hidup ini bagai pentas opera, misalnya.

Kali ini tugas saya penting, iaitu sediakan papan untuk berkomunkasi dengan roh. Setelah rujuk beberapa rakan di sekolah, saya keluar dengan idea sekeping kertas lukisan dibahagi pada dua bahagian tak sama besar. (Kiri lebih 70.0% dari kanan). Kiri saya lukis satu bulatan kandung 26 huruf A hingga Z. Bahagian bawah bulatan ada nombor 0 hingga 9. Kanan, saya lukis dua kotak segi empat terkandung perkataan yes dan no. Ina sedia duit siling 20 sen. Cubaan berhubung dari alam kematian bermula sejam selepas waktu zohor. Papan (kertas lukisan saya bikin) diletak di atas lantai ruang tamu. Semua ahli nampak sedia meski takut terpancar dalam mata dan dari jari telunjuk yang ketar. “spirit, spirit come to me, spirit, spirit come to me,” hanya itu kata jampi kami ulang sehingga jari telunjuk kami berjalan dari huruf ke huruf yang saya tak dapat pastikan ia bawa maksud apa. (saya tak tahu jika salah seorang dari kami khianat dan sengaja gerakkan jari).
Natasha tanya roh dia mahu apa. Jari telunjuk kami atas siling bergerak dan mula eja sesuatu, D-I-A-H. Baik papan mahu pun siling (meski siling 20 sen sangat berharga) tidak kami peduli. Saya tidak naik ke tingkat atas untuk tempoh sebulan dua, Diah terutamanya. Pasca cubaan hubung roh yang kami sangka berjaya itu, kawan cadang untuk buat tangkal supaya hantu tak ganggu. Saya tidak ingat siapa yang arah tapi untuk lakukan itu, perlu tisu. Dengan rendahkan malu, saya minta tisu di gerai soto jawa beroperasi depan blok. Cara buat tangkal itu ialah koyakkan tisu pada beberapa bahagian secara memanjang. Enam jalur sudah cukup. Setiap helaian tadi digulung seperti tali yarn yang tebal. Kawan genggam tali tisu guna tangan.  6 utas tali terjulur di bahagain atas juga bawah Kami perlu jadikan 6 utas tali jadi 3 utas dengan simpulkan ia secara berpasang, pada kedua belah bahagian.

Saya tak tahu kalau ia ada teknik untuk jadiakan tali tisu itu jadi seutas lantai leher dan anggap ia lebih pada nasib. Kawan kata, kalau ia terbentuk seperti satu gelung rantai, saya hanya perlu pakai 3 hari tanpa basahkannya. Kalau sebaliknya, saya perlu pakai selama seminggu supaya hantu tak ikut pulang dan tak boleh kena air. Mungkin Tuhan dengar doa saya yang ketakutan, simpulan saya bikin membentuk satu rantai leher tisu yang kemas. Pergelangan tangan yang kurus bolehkan saya pakai tali itu seperti rantai tangan dengan simpul ia dua kali. Saya ikut peraturan untuk tak basahkannya selama tiga hari. Bagaimanapun, malam pasca main panggil roh, saya celik waktu malam dan terasa panas lain macam. Saya ketuk pintu bilik ibu bapa dan selit di dengan harapan hantu tak ikut sama.

Momen terakhir jatuh pada bulan puasa sewaktu kami berjinak-jinak untuk sembahyang sunat terawih. Surau terdekat terletak agak jauh di seberang jalan. Jika ia bukan bulan puasa dan bukan untuk terawih, saya jamin ibu bapa kami tak akan izin kami jalan sejauh itu meski berkumpulan. Kami jalan berjemaah dengan barisan orang tua, yang wanita pakai telekung dan lelaki pakai baju melayu dipadan kain pelekat, rata-rata pegang lampu suluh. Ingatan dalam surau hampir tiada dan ketika pulang, jalan yang sama kami lalui ternyata lebih gelap kerana hanya ada beberapa lampu jalan yang menyala. Halangan yang perlu kami tempuh ialah menyusuri jalan balik di tepi kubur. Ya, jalan tunggal untuk ke kawasan rumah kami didahului dengan tanah perkuburan orang islam. Walaupun dikatakan jin atau syaitan atau hantu, mana-mana satu, dirantai tangan dan kaki, kami kanak-kanak tetap takut ia muncul lebih-lebih lagi di kawasan keramat begitu. Seorang kawan pecut tiba-tiba dan jerit “Pocong!” Tiada istilah tunggu kawan, saya pecut sekuat hati tinggalkan mereka tanpa toleh belakang. Esoknya kami mengesahkan tentang hal mistik itu. Kawan kata dia betul-betul nampak benda berbungkus di sebelah pondok bas. Ia pegun hadap kami yang berbahas siapa karakter dalam Sailormoon paling hebat. Dia bersumpah demi Tuhan dia tidak berbohong atau dia akan masuk ke neraka jahanam. Tiada di antara kami pergi sembahyang terawih selepas itu. Tapi saya rasa dia ialah dalang yang gerakkan jari ketika main spirit of the coin dan tentang pocong, sengaja dia adakan.

Selepas dua tahun menetap di sana, keluarga berpindah lagi. Kali ini, rumah saya duduki berdekatan dengan sekolah rendah. Saya tidak berhubung langsung dengan mereka selepas itu – waktu itu tiada telefon atau internet untuk terus berkawan walaupun saya masih ingat nombor telefon rumah Ina sehingga kini, 088-269958, saya tidak pernah cuba untuk dail. Di kawasan baru, saya tiada niat untuk berkawan.
Saya tidak tahu kenapa saya lebih suka main sendirian atau cari kucing sebagai teman. Saya ada beberapa orang rakan sekolah tinggal di kawasan sama. Pun begitu, saya tidak begitu rapat. Hanya dua kali saya luangkan petang iaitu ketika kami ajak saya ke rumahnya hanya untuk saksikan dia main permaian video PS one tanpa benar saya sentuh konsol dan panjat kondominum mewah demi berenang dalam kolam. Kami dihalau pengawal keselamatan kerana berendam dengan baju T dan seluar track, ia melanggar kod etika pakaian semasa renang. Kami lari dan panjat pagar semula dengan tubuh lenjun meninggalkan kesan tapak kaki yang basah kepada pengawal yang tidak bersungguh mengejar. Saya putuskan untuk tidak lagi keluar bersama mereka selepas itu.

Sejak itu, saya sering ke taman permainan tanpa kawan semata untuk main buai. Gelongsor perlu pergerakan repetitif, naik tangga-duduk-sedia-gelongsor-ulang dan beratur jika sesak. Jongkang-jongket perlu dua orang paling kurang. Monkey bar perlu teknik pautan yang cekap. Meski saya tak takut tinggi, saya rasa ia mainan yang bosan kerana tidak boleh rileks.  Kerana itu, saya paling suka buaian. Untuk sampai ke taman permainan, saya perlu pusing lewati rumah teres dua tingkat, ia terasa jauh untuk saya susuri. Jadi saya guna jalan pintas dengan lalui kubur. Usia ini, saya tidak begitu takut lagi. Mungkin kerana saya bertolak siang jadi tiada bayang-bayang yang saya cenderung salah terjemah. Nenek dan datuk saya dikubur disini lagipun, tiada apa untuk ditakutkan. Pagar dikeliling kubur ditumbuhi bunga seri pagi. Kudupnya serupa payung tertutup sering saya petik dan main tembak-tembak. Sehingga kini, saya masih suka petiknya waktu ziarah kubur.

Saya selalu sampai awal untuk pastikan saya dapat main atas buaian saya suka, selalunya saya pilih di hujung. Untuk permulaan, saya pastikan buai kukuh. Tali besi saya goncang dan beri tekanan kuat waktu letak punggung pada papan buai. Setelah puas hati, saya lonjakkan buai ke belakang dengan kaki saya di depan menahan berat beban.  Buaian pertama cukup indah apa lagi jika taman permainan tidak ada orang. Untuk dapat kelajuan serta tinggi maksimum saya berdiri atas papan buaian dan hayun badan ke depan dan belakang laksana pendulum. Berapa lama pun, saya tidak akan bosan untuk berbuai. Tetapi selaku murid sekolah dan anak kepda ibu dan bapa, saya harus pulang tinggalkannya kala senja.
Dua tahun atau kurang, keluarga saya berpindah lagi. Dan saya, di manapun masih dengan keinginan yang sama terhadap buai di taman permainan. Satu senja, saya dengan rutin sama, bertentang mata dengan seorang budak perempuan lebih kurang sama baya. Namanya tiada dalam memori, hanya bentuk wajah bulat serta subang emas di telinga yang dapat saya imbas. Dia mendekat pada saya yang seronok berbuai, ingin berkawan. Dia sua tangan, saya sahut salam sebagai tanda hormat. Esoknya, dia tiba lebih awal. Saya cuba adaptasi momentum baru – untuk ada kawan sepermainan. Hari-hari seterusnya kami habiskan masa main bersama. Sehingga seminggu selepas itu, dia bawa adik-adiknya sekali yang masih kecil, bertatih. Tuhan saja tahu betapa saya tidak selesa pada perubahan ini, pertama waktu sendiri saya dikongsi dengan budak perempuan tadi, kedua dia bawa lagi ahli untuk berkongsi, macam perniagaan milikan tunggal menjadi milikan bersama. Siapa pun nama budak perempuan itu, moga Tuhan rahmati atas kebajikannya pada adik-adik yang masih kecil.

Saya elak untuk bertemu mereka. Seperti pencuri, saya berjalan dengan bunyi minima dan intai dari jauh – untuk pastikan saya boleh bermain sendiri – paling tidak, mereka tidak ada. Ia tak jadi amsalah jika ada kanak-kanak lain asalkan saya tidak kenal mereka. Saya boleh pisahkan diri saya dari mereka dengan baik. Tapi hari itu, budak itu ada di taman bermain dengan adik-adiknya. Saya patah balik dan waktu riadah saya diisi dengan melukis. Saya keluarkan kertas A4 yang ibu bawa balik fari pejabat. Ibu tahu sekeping kertas lukisan dan pensel di tangan boleh buat saya kekal statik di satu tempat untuk tempoh masa lama ketika bawa saya ke pejabat. Tangan menconteng guna pensil mekanikal dengan dakwat pensil Buncho 2B 0.5mm. Ia suatu perkara yang saya kekal buat hingga kini iaitu lukis imej seorang perempuan. Saya tak reti lukis lelaki, sedaya mungkin saya cuba, ia tetap feminin. Hari berlalu, saya masih elak keluar ke taman permainan hingga suatu hari pada Ahad petang ketika ibu sedang di ruang tamu tonton televisyen dan saya di ruang antara dapur dan laman belakang, seseorang datang beri salam. “Assalamualaikum,” kami tersentak dengan teguran yang tidak di sangka.

Ibu jenguk dari tingkap dan lihat budak perempuan dengan adik-adiknya sudah ada dalam kawasan rumah, pagar utama tidak berkunci, saya cemas hanya intai dari dapur, tak tahu bagaimana di dapat info saya tinggal di sini. Ibu beri signal angkat kening tanya siapa di luar. Saya respon dengan isyarat angkat bahu tanda tak tahu. Iby jawab salam seraya buka pintu. “Kamu cari siapa, nak?” tanya ibu lembut di sebalik kekisi pintu utama rumah yang memisahkan jarak antara mereka. “Saya cari Emi. Dia ada tak?” mukanya penuh harapan untuk bertemu. Saya tidak tahu untuk respon apa terhadap dia yang benar-benar mahu berkawan, juga terhadap adiknya yang diangkut bersama. Saya kasihan lihat dia yang bersungguh tapi saya tak berdaya kompromi dengan sikap kesendirian saya yang kelihatan sombong di mata sesiapa pun. Ibu tahu anaknya sedang sembunyi di balik dinding dapur dari seorang budak perempuan. “Emi tidur di atas, tak sihat. Esok cuba datang lagi, ya?” nada ibu memujuk, berbohong untuk anaknya.

Budak tadi terima jawapan ibu yang nampak meyakinkan tetapi ada hampa dalam seretan seliparnya dan dari daya dia tolak dan kunci selak pagar hadapan. Ibu tutup pintu dan hampiri saya. “Tadi tu siapa? Kenapa tak mahu jumpa? Ada masalah apa ni?” pertanyaan ibu seperti menembak dada saya. “Jumpa dekat taman. Entah, tiba-tiba rasa tak mahu kawan. Dia baik tapi tak tahu kenapa.” saya kelu cari penjelasan yang saya sendiri tak faham. Ibu hela nafas panjang. Luahannya seperti ‘pandai-pandailah’ dan kembali ke ruang tamu tempat dia baring sebelum dan sambung tonton televisyen. Saya kembali ke laman belakang untuk bermain dengan anjing jiran sebelah yang tertambat jauh di sudut sebelah pokok betik. Ia jelir lidah tunggu saya baling biskut.

Mungkin budak perempuan bersama adik-adiknya yang kecil itu maklum dengan saya yang pilih untuk asingkan diri. Sejak hari dia kunjung tanya keberadaan saya, saya tak nampak lagi dia di mana-mana walaupun di taman permainan dengan waktu dia selalu muncul. Agaknya dia merajuk atau marah atau benci. Mana-mana satu pun, saya terima akibatnya atas saya yang menolak niatnya berkawan. Apa pun, saya kembali bebas main buai.
Pasca sesi belajar habis, saya ke taman lagi pada waktu petang kira-kira pukul 3. Langit mendung tetapi saya abai demi bermain buai. Tiada sesiapa di taman permainan dan saya terus loncat naik buai selaju mungkin. Seperti pendulum yang dilepas dari jarak tinggi, saya berhayun tinggi Menara KLCC. Bintik-bintik kecil menghiasi tanah botak, tanda gerimis telah turun. Saya jeda buat pilihan untuk bermain beberapa minit lagi sementara hujan belum lebat, atau pulang sementara hujan masih gerimis. Sebelum sempat buat keputusan, tanpa sedar, genggaman pada tali buat terlepas. Dahi sembah lantai dan mulut kucup tanah. Serpihan kaca belah dahi dan batu kerikil patahkan gigi kacip. Saya pulang selepas mula rasa sakit. Tiada kawan untuk papah, saya bantu diri sendiri.

Beberapa awam melintasi lorong pejalan kaki dengan langkah cepat. Beberapa wanita dari dalam rumah bergegas dapatkan kain di jemuran. Anjing di laman dan tempat letak kereta di bawa masuk ke dalam. Saya lihat semuanya sebelum bertemu dengan seekor kucing jantan yang sedang merenung ulat bulu pada pokok renek – tak peduli pada hujan semakin garang. Seekor kucing oren meloncat keluar dari tingkap rumah entah siapa, ia berjalan menuruni bumbung. Saya tegurnya, ia mungkin tak dengar atas bunyi hujan dominasi ruang. Ia cepat berjalan seperti telat pulang rumah.
Di tingkap sama, saya nampak seorang lelaki tak berbaju, berkaca mata empat segi bingkai tebal warna hitam serta berambut ikal, panjangnya melebihi telinga, sedang jengah kepala ke luar lihat kiri dan kanan. Seperti dia memanggil sesuatu, “cuk, cuk, cuk” imitasi bunyi cicak, saya tahu dia cari kucing sebab saya juga panggil kucing begitu, mungkin bunyi ini hanya diterima di asia tenggara saja. Dalam filem Hollywood mereka panggil dengan “kitty, kitty atau meow, meow.” Dari rambutnya yang kusut, saya agak dia baru celik tidur. Ketika dia perasan saya sedang perhatikannya, dia tutup tingkap sembunyi diri. Saya tak ambil hati sebab tahu perhatian begitu ibarat ceroboh peribadi.

Seseorang berjalan laju melintasi saya. Rambut panjang buat saya fikir dia wanita sekali pandang. Tangan kiri kemas pegang payung, di payung tergantung plastik kandung ikan bakar dan sebelah lagi cermat pegang telefon pintar. Lagu Kokoro no tomo dipasang melalui telefon pintar rona putihnya. Dia terpijak lopak dan memaki air yang mengotori selipar jepun. Saya ingin tegur betisnya terkena lumpur, tapi langkahnya begitu cepat, dia mengecil dan menghilang. Saya sampai di depan rumah dan dapati ia gelap. “Ibu!” saya laung seraya pecat kasut dan buka kekisi pintu. Ruang tamu senyap begitu juga ruang dapur. Saya ketik suis lampu dan kipas, capai alat kawalan jauh dan baring atas sofa tempat ibu selalu rehat. Tiada apa yang menarik minat saya. Satu, dua, tiga, empat. saya tertidur dengan televisyen tonton saya tanpa basuh luka dahulu kerana terlalu letih.


Saya masih tidur di atas sofa. Seluar sedikit terangkat dedah lutut lebam dan berdarah. Saya betulkannya dengan tarik ke bawah. Kipas dengan kelajuan 5 saya perlahankan pada 3, saya tahu saya cepat rasa sejuk kalau tidak ada selimut atau sarung kaki. Ibu masih belum pulang walaupun muazzin sudah laung azan maghrib. Saya tidur dengan posisi janin. Hujan belum berhenti, saya ikut mengantuk dek cuaca sejuk dan tanpa sedar saya yang duduk di sofa bertentangan duduk tertidur. Bunyi kekisi ditarik mengejutkan tidur yang lena. Apabila celikkan mata, saya lihat tiada sesiapa di rumah melainkan saya yang dewasa serta ibu dan ayah yang tua baru balik kenduri kahwin sepupu. Tidur petang buat saya kenang zaman kecil yang sebenarnya lebih banyak habiskan masa dalam bilik sendirian, atau berdua dengan kucing dari taman permainan. Entahlah, mana-mana satu, saya amat letih untuk berfikir apa yang telah saya ceritakan sebentar. Mungkin saja ia tak benar. 

Comments