Ara


Met hirup sup tom yam dengan bunyi yang menyelerakan. Ini sudah mangkuk yang ketiga. Kebiasaan, Met tak makan banyak. Saya agak hairan malam itu dia berselera betul, lagi pula macam tak percaya badannya yang kurus itu boleh makan kuantiti banyak. Usai makan, Met basuh pinggan mangkuknya, itu saya tak perlu ingatkan. Ibunya asuh dia dengan baik tentang membasuh pinggan sesudah makan. Berita sudah sampai ke segmen sukan, segmen yang saya kurang peduli, tapi ia segmen kegemaran Met. Dia menjerit suka bila pasukan bola kegemaran berjersi merah dengan tagline "Awak tidak pernah berjalan sendiri," itu menang pertandingan semalam dengan jaringan gol 2-1. Saya senyum tanda sokong dan tumpang gembira, Met cium dahi saya kerana terlalu suka berita tersebut. Saya sedikit tersipu dan sempat jeling Met guna ekor mata. Saya kata pada dia, “mochiro! Kimi wa hitori jyanai, watashi ga iru kara.” Met tak faham tapi dia senyum.
Malam kian kelam, sesuai dengan hukum alam. Saya masih belum boleh lelapkan mata, begitu juga Met. Saya salahkan diri sendiri atas kehilangan Ara, kucing kesayangan kami berdua. Sudah hampir 2 minggu dia hilang. Ara berbulu kelabu dan bermata kuning, keliling matanya bercelak bagai mata Nefertiti, ekornya agak kontot, sekitar 3 inci saja dan ia bengkok ke kanan iras imej cermin nombor 7. Kami jumpa Ara sewaktu melawat ibu saya di Ara Damansara, ia basah dek tempias hujan dan mengiau seperti minta tolong (setidaknya, saya terjemah ngiauannya sedemikian). Met tidak teragak untuk ambil Ara dan putuskan belanya tanpa persetujuan saya sebab Met tahu saya juga ailurophile sepertinya. Nama Ara diambil sempena tempat kami jumpanya. Ia kucing betina dan Met ingin namakannya Sarah. Saya tidak setuju kerana nama itu agak mirip dengan bekas kekasih Met, saya cemburu.
Kami bela Ara seawal umurnya 3 bulan dan layannya seperti anak kami sendiri. Dia kini sudah masuk 1 tahun kami pelihara. Saya dan Met belum ada rezeki cahaya mata, jadi kami anggap Ara ialah kurniaan Tuhan sebagai pengikat kasih kami. Ara seekor kucing yang riang dan aktif. Ia pintar dan cepat belajar. Hanya beberapa kali saja ia terbabas salah buang air besar dan kecil di atas karpet dan lantai dapur, selepas Met marahnya, ia tak lagi berbuat demikian. Ara meski lincah dalam rumah, tidak suka keluar bersiar-siar, saya sendiri hairan lihat Ara yang seperti anti-sosial pada hidupan bebas di luar. Bagaimanapun, saya tidak banyak fikir sebab ia secara tak langsung mudahkan urusan saya untuk tinggalkan Ara di rumah seharian sementara saya dan Met berkerja pagi sampai petang, kadang-kadang membawa ke malam.
Met pegang bahu dan tenangkan saya yang gelisah. Kerinduan terhadap Ara benar-benar menyeksa saya. “Sudahlah, usah menangis. Nanti Ara baliklah tu,” pujuk Met sambil mengusap belakang saya. Mata saya berkaca, hidung berair, saya menangis teresak-esak sambil laung nama Ara. Met dakap tubuh saya, tapi tangis saya malah jadi tambah deras. Badan saya lesu pasca menangis. Saya percaya tekanan keluar ikut salur airmata, badan mulai letih dan mata pun memberat. Seperti biasa Met biarkan saya tidur di atas dadanya sehingga pagi. Saya tidak pasti pukul berapa saya lelap tetapi saya seperti dengar ngiauan Ara sebelum itu cuma saya pilih tak endahkannya sebab saya risau saya sekadar berimaginasi lantaran kerinduan melampau.
Pagi jelma dan saya lihat Met masih tidur di posisi sama. Saya amati wajah tidurnya, kedut di sudut mata dan bibirnya sudah semakin ketara. Rambutnya mulai rontok dan ada sudah ada banyak helai rambut putih. Begitupun, saya tetap berikan Met kucupan pagi di bibir tanda kejut tidur seperti biasa. Usai mandi pagi, Met minta saya panaskan sup tom yam semalam, juga suruh saya bungkuskan (jika ada baki) untuk dia makan waktu merarau. Saya jadi aneh dengan tingkahnya. Met memang suka makanan siam tetapi ini sudah 2 hari berturut-turut Met makan tom yam. Saya sendiri tak lalu jamah lauk sama. Met nikmati sarapan dengan selera, buat saya turut jadi lapar. Mujur hari itu Met pakai kemeja rona biru polis, percikan tom yam tidak begitu ketara di bahagian dada dan kolar sebab dia makan agak kelam kabut.
Sebelum tutup pintu utama rumah, saya seakan terlihat kelibat Ara di sofa dan cepat-cepat kuak daun pintu semula. Bila jenguk, saya dapati cuma ada bantal kusyen Pusheen kelabu seperti Ara. Hampa, saya tidak berlengah beredar dan tak menoleh belakang langsung. Lagu Kucing Hitam berkumandang sewaktu saya masuk dalam kereta. Met sedang ketuk dram angin pada stereng kereta sambil angguk kepala dan miming suara. Ia tak buat saya senyum seperti selalu, malah sedih bila terdengar perkataan ‘kucing’. Gambar saya, Met dan Ara yang saya frame jadikan perhiasan gantungan cermin kereta berputar-putar ketika kereta mulai bergerak. Saya buang pandang melalui tingkap sehingga sampai destinasi tanpa bersembang dengan Met. Sebagai seorang isteri solehah, saya tetap salam dan cium tangan Met sebelum buru-buru ke pejabat.
Beberapa rakan kerja sedang berbual di tepi mesin cetak tentang isu yang kurang signifikan bagi kerjaya saya, produk kecantikan tempatan yang boleh putihkan kulit secara segara misalnya. Gambar Ara terpapar di skrin monitor desktop apabila saya tekan punat ‘hidup’ pada Central Processing Unit (CPU) komputer. Saya renungnya lama sambil gigit jari telunjuk sebelah kiri. Tak tahan rindu, saya tukar kertas dinding komputer dengan gambar bunga orkid. Oh Ara, kehilanganmu begitu mengusarkan! Lamunan saya tersentak apabila telefon berdering. Saya tunggu ia bunyi 3 kali, barulah saya capai dan angkat ganggang. “Morning <jeda> Yes, speaking <jeda> I have already received them <jeda> I need to review your reply first, and will only revert to you if I have any further comment <jeda> Okay, sureBye bye.” Saya mematikan perbualan dengan bersandar pada badan kerusi. Kerja berjalan seperti biasa. Keadaan sibuk berjaya alih risau saya terhadap Ara yang masih hilang.
Dinding kubikel saya diketuk oleh rakan kerja yang duduk berhadapan saya. Nuri, itu nama panggilan saya beri, baru masuk kerja kira-kira 4 bulan. Seperti saya, dia selalu bawa bekal dari rumah, jadi kami sering makan tengahari bersama. Mungkin sebab kami sekampung (maksud saya dari negeri sama walau berlainan daerah) kami serasi dengan cepat dan sebab itulah kami agak rapat. “Kak, jam 1 sudah. Jom makan.” Matanya tersenyum menegur saya dari balik dinding. “Bah.” Sahut saya seraya kunci komputer dan ambil plastik kertas berisi bekal. Menu saya bawa sekadar telur hancur campur kacang pis dan kacang panggang (saya beli dalam tin). Saya tidak selera untuk makan berat. Sesi merarau disekalikan dengan tonton filpen tempatan melalui aplikasi Youtube bertajuk Broga Rendezvous. Disebabkan semalam saya tidur agak lewat, saya guna baki waktu makan tengahari dengan tidur di dalam surau.
Penggera telefon berbunyi tanda waktu rehat telah tamat. Saya raba telefon bimbit dengan niat untuk tangguh ia barang 5 atau 10 minit lagi tapi saya tak dapat kesan telefon dengan mata tertutup. Saya buka mata perlahan-lahan, dalam kabur, saya amati keliling yang agak gelita dan ragu-ragu jika ia adalah tempat saya saya berehat sebentar tadi. Setelah kerut kening untuk tajamkan pandangan sekaligus pastikan posisi perabot, takwim waktu solat dan rak besi tempat gantung telekung di tempat sama, saya yakinkan perasaan saya masih di surau dan saya perlu bangkit sambung kerja. Kedengaran girang ngiauan anak-anak kucing dari jauh. Ingin tahu, saya jenguk luar dan lihat ada tiga ekor anak kucing sedang berkejaran antara satu sama lain. Mereka tersentak apabila sedar saya sedang intip tetapi tak lari malah seolah-olah ajak saya untuk turut-serta. Selepas saya selesai baiki sanggul rambut, saya sarung flat shoes dan jejak anak-anak kucing tadi. Mereka laju turun berlari ketika saya hampir dekat kerana tak mahu disentuh - ah, malu-malu kucing! Salah satu daripada mereka ada wajah Ara iaitu mereka punya celak mata dan bentuk muka sama meski warna bulu lebih cair dari kelabu, saya mungkin lebih-lebih saja sebab rindu. Saya cepat suka pada mereka lantas ikut tanpa banyak fikir.
Secara tidak sedar, saya telah ikut kucing-kucing tadi melalui pintu belakang pejabat jauh kira-kira sudah 800 meter dari bangunan pejabat. Telefon bimbit saya berdering tanda mesej masuk. Saya intai notifikasi tanpa buka pesanan terlebih dahulu. Nama Nuri terpapar, “Kakak di mana?” ada bunyi risau dalam mesejnya. Bimbang kucing tadi hilang jejak, saya balas mesej Nuri dengan pesanan suara, “Kakak ada dekat klinik, kena serang gastrik. Tolong inform the rest, thanks Nuri!” saya berbohong. Setelah dapat balasan “OK” dari Nuri, saya tukar telefon bimbit kepada airplane mode supaya tak diganggu.
Di depan saya terdapat satu gudang atau rumah tinggal atau pondok usang, saya tak dapat sahkannya. Ia dihias dengan semak tumbuhan liar serta beberapa graffiti amatur berbaur lucah dan makian. Pintu masuk sudah reput, fizikal begitu saya rasa tak patut saya ketuk, bimbang ia malah runtuh jadi saya terus saja masuk. "Hello!" saya sapa keliling. Saya rasa seram, mungkin Setan turut serta masuk bersama sebab saya lupa sebut nama Tuhan tadi. Tiada balasan saya terima melainkan suara saya sendiri yang bergema.
keadaan di dalam kelam dan berbau kurang enak. Mujur saya bawa telefon bimbit dan guna ia sebagai lampu suluh. Anak kucing tiga ekor tadi ada di sudut salah satu bilik. Mereka semua berteduh di dalam kotak kadbod beralas kain batik. Ada bekas-bekas polisterin dan plastik lutsinar berisi makanan kucing dan air. Saya jenguk ke dalam kotak dan dapati Ara sedang limpang-limpang di dalam. Ya, saya pasti itu Ara melalui kolar lehernya yang saya sendiri jahit. Anak-anak kucing itu bersembunyi di bawah badan Ara, mencuri haba. Saya angkat Ara, ternyata dia sudah susut berat sebab badannya sudah ringan. Air mata saya tumpah ketika memeluk Ara seraya mencium seluruh badannya. Baunya busuk tapi saya tak kisah.
"Saya minta maaf sebab buru-buru keluar rumah tanpa beritahu apa-apa. Siang hari tu, waktu saya cuba-cuba keluar rumah, saya bertemu Tiara yang sedang dalam kecemasan. Kaki kirinya putus digilis tayar motorsikal dan dia minta saya tolong jagakan anak-anaknya. Dia sesat ke kawasan kita semasa dikejar dengan budak-budak sekolah yang cuba cucuh badannya guna rokok dan bakar bulunya. Anak-anak dia ada di kilang sesebuah yang usang, dia beri saya alamat dan saya tahu ia jauh. Saya tak sempat pulang semula ke rumah untuk beritahu sebab budak-budak nakal itu nampak kami berdua dan mulai kejar lagi. Saya lari dan lupa jalan pulang, sehingga itu saya di sini, menjaga anak-anak Tiara dengan sisa makanan saya cari di tong sampah berdekatan. Kasihan mereka." Ara sebak sewaktu cerita, dia menjilat-jilat kepala anak-anak Tiara.
Saya juga turut simpati dan menangis dengan ceritanya. Lalu saya tawar Ara untuk pulang ke rumah bersama-sama anak Tiara. Saya tidak tahu sekarang sudah pukul berapa sebab telefon bimbit sudah kehabisan bateri. Matari sudah menguning tanda senja telah berlabuh, saya dukung kotak berisi kucing keluar dari tempat tersebut dan kembali menyusur jalan ke pejabat. Saya tidak sabar untuk bawa Ara pulang jumpa Met dan kenalkan anak-anak Tiara sekali. Saya jalan sambil dendang nyanyi lagu Seruling Bambu. Grafitti buruk tadi terasa indah kerana saya sedang senang hati.
Pejabat sunyi waktu saya sampai dan cuma ada beberapa saja lagi orang atasan sedang diskusi dalam bilik mesyuarat. Saya usung kotak sebesar 365mm x 475mm x 335mm ke dalam pejabat untuk ambil tas tangan dan cas sedikit telefon bimbit. Saya cuba buat panggilan kepada Met tetapi tak dapat tembus. Peratus bateri papar 15%, saya tarik wayar penyambung dan bersiap untuk keluar. Malas fikir, saya naik teksi saja balik rumah. Pemandu teksi tak kata apa-apa tentang kucing dalam kotak melainkan tutup hidung, mungkin tak biasa dengan bau najis kucing.
Mungkin kerana pemandu teksi buka radio klasik, saya jadi terlelap sepanjang perjalanan dibuai lagu jadul dan apabila saya sedar saya tidak lagi memangku kotak berisi Ara dan anak-anak Tiara dan saya tidak berada di dalam teksi. Pandangan saya kabur dan apa yang saya lihat cuma sebuah bilik lapang dan dapati saya sedang berbaring di atas katil bercadar rona serba putih. Di luar bilik, Met sedang berbual-bual dengan seorang wanita yang saya kurang kenal. Saya cuba panggilnya namun tak mampu untuk bersuara.

Ada semangkuk tom yam di dalam bekas kaca tertutup yang masih panas. Saya cuba berdiri dan ketika itu baru saya perasan, kaki kiri saya telah hilang. Wanita itu kemudian memanggil 2 budak perempuan dan seorang budak laki-laki. Met bawa wanita bersama anak-anaknya itu masuk jumpa saya. Perempuan itu kata dia jumpa saya tidur di bawah rumahnya dengan keadaan yang memilukan. Saya dijumpai tidak berbaju, badan dicucuh rokok, kaki kiri saya reput dan rambut saya ada kesan bakar. Met tanya jika saya okay, saya cuma mampu balasnya dengan tangisan berbunyi, "meow, meow, meow!"

Comments