Kepada ( )

Kepada ( ),

Semoga anda sedang dalam sihat sejahtera. Surat ini tiada lain ingin saya katakan melainkan hanya menyampaikan perasaan saya yang tersimpan. Terlebih dulu, izinkanlah saya memohon maaf hujung rambut sampai hujung kaki atas silap kata dan salah laku jikalau ada yang megguris hati tuan. Kepada keluarga tuan, saya panjat doa semoga senantiasa dalam lindungan Tuhan.

Sudah kira-kira 3 purnama kita bersama-sama. Dalam tempoh itu, pelbagai perkara pahit manis telah kita tempuh. Seperti mengedip mata, masa sangat pantas berlalu, bukan? Hingga kini kita sampai di sini, di suatu masa yang kurang enak pada rasa saya. Sebelum, kita pernah tersenyum melihat bulan sabit, kita pernah berteduh di bawah bumbung ketika matahari garang memancar cahaya dan kita pernah basah dek hujan yang turun tiba-tiba. Namun, siang kini kurasa sangat suram, tiada apa yang lebih dikesali melainkan perasaanku sendiri yang berubah.

Entah di mana, hari ini, sayang itu telah hilang. Mungkin kecurigaan dan ketidakpercayaan telah memakan semua rasa sehingga tiada apa yang mampu kutawar lagi, walau sekelumit sayang. Sepuluh jari ini kususun, mohon ampun, atas perasaan yang sudah pudar dan semakin hilang. Warna-warni telah kembali menjadi kelabu putih. Janji dan sumpah tak mungkin dapat kutunai lagi. Bencilah jika itu yang paling pantas kaurasa. Walau pergiku terasa perit, tapi inilah yang terbaik dari meneruskan perjalanan yang terasa seperti berenang di dalam perigi, tak mungkin ke mana.

Semoga kita berjalan terus maju ke depan dan tak bertemu lagi demi hati-hati yang telah patah. Sekalung doa kuhadiahkan di setiap langkahmu. Semoga kau berjumpa dengan insan yang lebih kau cintai dan tanpa ragu untuk kaupilih.

Pamit,
Ombak senja.

Comments