malam itu, kami..

Gambar sekadar hiasan, tiada kaitan dengan cerita dan apa-apa


Ia agak awkward tapi kami cuba kekal bertenang. Mungkin ini lah hari paling "lain" kami pernah jalani setelah semua hampir 30 tahun hidup. Saya tidak pasti di antara kami yang terbitkan idea ini dan tiada sebab untuk tuding jari salahkan siapa sebab kami sudah pun di sini, di luar kelab malam Himawari Bukit Bintang. Bagaimanapun, kami masih tiada keberanian untuk masuk. 

Atun pandang saya, saya pandang Kay dan Kay pandang Atun. "Jadi kita masuk ke tak ni?" Saya pecah sunyi antara kami sambil keluarkan rokok dari dalam tas tangan. Kay tepis dan kata tak perlu nak sampai hisap nikotin tu untuk nampak "liar", cukuplah kita seksi-seksi saja tapi saya kata saya nak cuba sebatang untuk pertama kali. Atun angguk tak membantah mahu saya. Pemetik api saya nyalakan dan bakar kepala rokok. Mata kami semua tumpu batang rokok yang diapit jari telunjuk dan tengah sebelah kiri saya. Saya sedut dan hela asap kemudian batuk. Kay tepuk-tepuk belakang dan urut dada saya, "Kan aku cakap tak payah." 

Saya beri rokok tadi pada Atun dan dia teragak-agak hendak hisap atau buang. Belum sempat dia buat keputusan, Kay ambil rokok tersebut dan buang atas lantai, lalu pijaknya guna heels. Pakaian kami biasa-biasa saja sebab kami cuma pakai apa yang ada di dalam almari. Atun pakai singlet tali halus dengan jeans skinny paras paha, rambutnya yang kerinting asli diurai begitu saja. Kay pakai baby T menampakkan pusat dipadan jeans skinny koyak-koyak rambut diikat ekor kuda dan dia pakai subang bulat besar macam Alicia Keys, dan saya pakai cropped top dipadan skirt jeans paras lutut, rambut disanggul messy dan pakai choker berloket bunga matahari.

Jam sudah dekat 12 tengah malam, kami bertiga masih di situ di depan kelab malam dan masih tak tahu hendak buat apa. Nak masuk, kami tak cukup duit. Rupanya untuk masuk bukan murah, bawa RM50 saja tak cukup. Kay cadang untuk lepak saja di McDonalds tapi Atun tak mahu, dia paranoid kalau-kalau ada sesiapa nampaknya macam itu walaupun kami ini asal jauh-jauh dan peratus berjumpa orang yang kenal kami adalah sebanyak kira-kira 28.9% saja. Pintu kelab malam itu dijaga seorang pengawal berbadan sasa. Ramai yang keluar dan masuk kelab itu dan rata-rata menuntun orang mabuk.

"Apa agaknya rasa air tu?" saya duduk di tepi tembok sambil buka heels dan urut kaki yang sakit. "Mana aku tahu, aku tak pernah minum!" Kay cekak pinggang dan garu-garu ketiaknya yang baru cukur. "Jadi sampai bila kita nak tercongok dekat sini?" Saya menyambung lagi. Kami semua berpandangan dan angkat bahu serentak. "Jom lah kita balik, aku takutlah orang nampak kita macam ni nanti." Atun tiba-tiba merengek dan tarik tangan kami berdua.

Perkhidmatan LRT telah pun tamat, jadi kami ambil Grab saja. Sepanjang dalam kereta, Grab driver diam saja dan jeling pakaian kami. Sampai di destinasi saya bayar tambang dan Grab driver tu kata, "Moga kamu semua diberi hidayah." Lepas masuk dalam rumah kami gilir-gilir mandi tukar baju kelawar. Atun macam biasa sebagai yang paling tua jadi imam dan kami solat isya berjemaah. Usai solat, kami duduk dalam bulatan dan cerita perasaan masing-masing sampai pukul 2 lebih. Dan setelah itu pula, Kay baca al-Quran sebab nak kejar Atun yang sudah juzuk 10. 

Saya termenung di kaki katil dan lihat gambar kertas dinding telefon pintar saya, ia gambar saya, Atun dan Kay pakai purdah serba hitam ketika pergi umrah 3 tahun lepas. Terlintas saja di hati saya, tidak mudah untuk berubah drastik dalam satu malam seperti saya bertudung litup membuka pakaian menampakkan anggota, dan adakah mereka pun begitu juga; terbiasa buka dan kekok menutup? Mungkin untuk saya hidup hedonis begitu juga perlu masa untuk perlahan-lahan berubah. Kenapa bila seseorang berhijrah dan masih berpakaian seksi tapi dikecam lagi? bukankah mereka lebih perlukan masa lebih banyak? Saya tidak nilai siapa-siapa, saya pun manusia dan baru sebentar tadi lakukan dosa juga. Tanpa sedar saya tidur dalam persoalan, terlena dibuai lunak suara mengaji Kay.

Comments