Merah, ringan dan nipis.

Ceritanya macam ni. Satu hari, aku rasa terlalu sunyi sejak berpisah dengan kekasih aku yang sudah hampir 8 tahun bersama. Lepas dia tinggalkan aku, aku rasa terlalu banyak masa sampai tak habis pakai. Aku mula melawat gedung beli-belah, taman rekreasi, stesen bas, stesen keretapi dan di mana-mana saja tempat orang ramai, berharap sesak orang ramai tu boleh kurangkan rasa sunyi dalam hati aku. Tapi aku semakin rasa sunyi pula.

Suatu hari aku ternampak kedai buku yang suam-suam kuku, yang cuma ada beberapa orang pelanggan di dalamnya. Aku masuk dan tiada siapa peduli, jurujual pun tak bontot aku jadi senang aku menjamah kulit-kulit buku yang mereka pamer di rak. Tiba-tiba sebuah buku jatuh dan berkata "argh, sakit." Aku tersentak dan lihat ia terbuka luas. Seksi. Aku tolong dia bangkit dan letak dalam rak semula. Buku itu malu, isi dalamnya kemerahan. Dia berkata "terima kaseh, tuan."

Dalam beribu-ribu buku di dalam kedai itu, hanya dia saja yang bersuara. Buku lain senyap dan tidur dengan lena. Mungkin waktu aku datang tu, waktu mereka tengah tidur. Aku keluar selepas setengah jam pusing-pusing di dalam kedai tanpa membeli apa-apa. Esoknya, aku datang lagi. Jenguk buku yang kelmarin jatuh ke bumi.

Dia masih di posisi tempat aku letak semalam. Aku berdehem dan dia menjeling, kami perasan hadir masing-masing. Mujurlah sudut dia terletak tu tak ramai sangat orang lalu-lalang, jadi aku dengan dia senang lah berbual-bual dan saling cuba kenal-kenal. Secara ringkas, dia kata dia sudah hampir 1 tahun di situ. Kawan di sebelah dan lain rak kerap silih ganti, hanya dia setia di situ, tak ditegur mahu pun sekali. Pada hari aku lalu tempoh hari, katanya, dari belakang aku seperti penulisnya, mungkin sebab dia entah kecetakan ke berapa dia tak pernah berbual secara langsung dengan penulisnya. Paling pun cuma lihat dari jauh, itu pun cuma nampak imej belakang sebelum dia dimasukkan ke dalam kotak dan dikirim langsung ke kedai buku suam-suam kuku tu.

Selepas itu, kami menjadi semakin intim. Boleh kata hampir setiap hari aku akan pergi kedai buku tu dan luang masa dengan buku itu. Dia pun nampak senang dengan hadir aku. Sekarang 24 jam aku rasa sudah tak cukup. Hati aku sudah terpikat pada buku itu, buku berwarna merah setebal 152 muka surat. Katanya lagi, dia termasuk dalam kategori novela. Jadi aku namakan dia, Bella sebagai nama manja.

Tak lama, cuma 2 minggu, aku beranikan diri tanya Bella jika dia sudi untuk bersama aku. Seperti biasa, dia kemerahan tahan malu. Dia diam dan sorokkan dirinya dalam rak. Bella tanya, sudikah aku belinya? Aku seluk poket dan dapati cuma ada RM5, itu pun untuk makan malam nanti. Aku janji pada Bella, hujung bulan aku akan bawanya balik dan bawa jumpa orang tua aku. Bella setuju dan hanya mampu menunggu.

Jadi hujung bulan tu, aku pun kembali ke kedai buku membawa duit RM25.00, persis seperti yang tertera pada barcode bahagian punggung Bella. Namun, pada hari aku kunjung dia, dia tiada di rak. Aku cemas dan tanya jurujual. "Buku merah yang nipis tu mana? Baru minggu lepas saya nampak ia dekat sini." Jurujual yang aku agak baru habis SPM tu kehairanan sebab dia baru saja mula kerja seminggu. Dia suruh aku tunggu dan panggil senior dia. 5 minit aku rasa macam 5 tahun.

Senior jurujual tadi datang, orangnya kecil dan kurus. Aku tak tahu kenapa soalan pertama aku tanya dia ialah "Berapa berat awak?" Dia tersipu malu dan teragak-agak hendak jawab. Aku maklum ia soalan sensitif bagi perempuan. Dia balas juga tapi bukan dalam bentuk nombor, "saya ringan saja." Lepas itu aku tanya buku merah yang selalu ada di rak hujung tu. Katanya buku begitu tak pernah ada. Aku cuba jelaskan perinci buku itu satu persatu, tentang kulitnya yang merah, jisimnya yang ringin serta nipis helaiannya. "Merah, ringan dan nipis. Ia macam saya." sambil tunjuk baju seragam yang juga berwarna merah, kata senior jurujual tu lantas beri saya nombor telefonnya dan kata, "saya sedia ikut awak balik jumpa orang tua awak."

Begitulah aku jumpa jodoh aku di kedai buku. Boring kan? Macamlah cerita cinta kau power sangat. 

Comments