Pelawat


Seorang gadis saya kira dalam lingkungan awal 30-an memakai skirt pendek jenis pensil paras lutut dengan padanan baju jalur tegak dimasuk kemas dalam skirt. Rambutnya diwarna perang, soleknya ringkas hanya pakai gincu merah muda dan celak mata kucing. Wajahnya boleh saya kata mirip Kavitha Sidhu dalam 45.0% dengan susuan gigi yang putih dan rata. Melalui cakapannya, susah untuk saya teka bangsa wanita cantik tersebut, kefasihannya berbahasa Inggeris (berserta British accent) dan bahasa melayu (loghat utara) buat siapa pun tertanya-tanya dia orang apa? Agamanya apa? Mukanya semacam melayu, semacam india pun ada. Tapi putih merah kulitnya macam bangsa cina. Saya lihat dia sambil minum nescafe ais, yang sedang kaut nasi putih dan pilih lauk. Usai bayar makanan tengaharinya dia tegur saya dan tanya jika tempat duduk di meja saya ada orang. Saya geleng dan mempersila dia duduk. Dalam pinggannya ada nasi putih lauk ikan keli masak cili api, sayur peria goreng tepung, sambal belacan dan telur masin. Mata kami bertentang dan dia seperti memberi kebenaran untuk saya memulakan perbualan namun saya tak dapat cari kekuatan untuk cakap “helo” sekalipun. Justeru, saya gogok nescafe sekali nafas dan minta diri. Di senyum tanda okay dan saya sempat jeling nama pada kad atas mejanya, ‘PELAWAT’. Mungkin inilah dikatakan, peluang hanya datang sekali dan saya sudahpun lepaskannya tanpa cuba sedikitpun. Saya tidak bertemunya lagi, setakat saya sudah kerja di tempat ini masuk 5 tahun dan saya masih tertanya dia orang apa.

Comments