![]() |
Ilustrasi dari Jesse Jeremy Joy |
Ia satu pagi yang indah. Mata celik awal
meski semalam saya tidur sekitar pukul 4 lebih tonton perlawan bolasepak antara
negara kelahiran Shakira si ratu gelek versus Adele, penyanyi yang popular
dengan lagu Rolling in the deep. Saya
tak mengantuk sama sekali, mungkin kesan kopi O cap Tupai masih aktif dalam
badan buat saya kekal segar. Cahaya matari cucuk langsir, saya selak untuk beri
laluan ia masuk, bilik ini yang kelam serta-merta terang. Barisan kaktus dan
lidah buaya di atas meja kopi sebelah katil pasti kenyang dengan cahaya begini.
Dalam samar tingkap yang dicemari
serpihan najis burung, saya lihat kawanan burung merpati mulai terbang ke
angkasa tapi ada yang bertenggek di bumbung bangunan, ada juga yang menyudu
makanan di jalan raya. Sebab selalu celik lewat, saya selalu terlepas
pemandangan pagi begini, maka saya cepat kagum lihatnya sampai lupa saya hanya
memakai santut* ketika perhati itu semua. Buah dada saya terdedah, nasib baik
tiada orang yang nampak, cuma burung yang tak mungkin bernafsu lihat saya.
Kemudian saya ke dapur, macam biasa,
saya jerang air dan bikin air kopi O dengan gula dua sudu. Sesuatu berbulu
menggesel kaki saya, ia tentu Santa, kucing betina calico milik teman serumah saya yang sudah hilangkan diri sejak setahun
tanpa tinggalkan duit sewa. Namanya Ken, bertubuh kurus dan berkulit putih
pucat. Dia punya bau badan yang kuat namun ia menyenangkan, bau semulajadi yang
entah di hidung saya tercium wangi macam bunga melur.
Paling saya ingat tentang Ken ialah gigi
siongnya, macam Ryoko Hirosue, dan rambut hitam yang tebal dipotong pendek gaya
boyish macam Cora Miao dalam filem
romantik Love in a Fallen City
(1984). Sejak kehilangannya pada pertengahan 2014, saya terpaksa tanggung sewa
sendiri sebab tidak ada penyewa yang mahu huni rumah ini. Barang-barang di
dalam biliknya masih sama seperti hari dia hilang, saya tak berani alih dan
biarkan ia macam begitu saja. Apa yang merunsingkan saya ialah tinggalan haiwan
peliharaannya; kucing, kura-kura, ikan, iguana dan kumbang tanduk. Semuanya
saya terpaksa jaga, ia sangat menyusahkan! Saya ada terfikir untuk beri pada
orang lain tapi bagaimana kalau suatu hari Ken pulang dan tuntut semua
barangnya? Ken seorang yang sangat penyayang pada haiwan, dia mungkin bunuh
saya kalau buang atau beri haiwan-haiwan ini pada orang lain.
Apartmen ini terletak agak jauh dari
semua fasiliti macam kedai serbaneka, klinik, pengangkutan awam dan restoran.
Jadi, demand sewa agak kurang
walaupun sewa sebuah apartmen 3 bilik dengan 2 bilik air cuma RM350 sebulan (tidak
termasuk bil eletrik dan air). Kadar sewa begini hanya harga sebuah bilik di
bandar berdekatan ibu kota. Bangunan bersebelahan apartmen saya tinggal ialah
sebuah bangunan lama tetapi masih nampak kukuh, digunakan sebagai asrama untuk
orang-orang tua. Untuk keluar ke jalan utama, saya perlu susuri kawasan
perkuburan, milik persatuan penjagaan orang-orang tua di sebelah apartmen saya,
ia khusus untuk si mati yang mayatnya tidak dituntut oleh ahli keluarga. Sayu
juga setiap kali saya lalu tempat itu.
Santa mengiau minta perhatian untuk
dibelai tapi saya malas pedulikannya sebab perut sedang lapar. Setelah lama
merenung isi peti ais, saya berkeputusan untuk goreng daging burger dua keping
dengan omelette. Telefon bimbit saya
berbunyi, tanda saya perlu bangun pagi, saya tahu sebab nada deringnyanya ialah
lagu Orochi dari Kitaro, dan saya juga tahu waktu sekarang ialah 8 pagi. Saya
buru-buru mencari keberadaan telefon dan dapati ia tersorok di dalam bantal.
Setelah matikan penggera, saya periksa mesej di dalam group whatsapp kerja.
Satu pesan yang bikin hari saya tambah
bahagia berbunyi begini, "Pejabat tutup sementara, ada kebakaran
semalam." kata Lina, orang paling aktif sebar berita macam-macam dalam group. Saya tahu ia berita yang
menyedihkan tapi ia bermakna saya tak perlu datang berkerja untuk beberapa hari
sehingga pejabat buka semula, dan itu menggembirakan. Untuk rai perasaan
sedemikian, saya angkat Santa dan gosok perutnya. Ia buka kuku dan cuba cakar
pipi saya namun tak berjaya. Saya buang ia kembali ke lantai dan sergah, ia
lari ke ruang lain tanpa toleh ke belakang. Saya terhibur lihat ia takut
begitu.
Memandangkan hari ini saya bangun awal
dan masih ada banyak masa untuk digunakan, saya putuskan untuk santai-santai di
rumah saja. Inilah masanya untuk sambung novel yang sudah sebulan lebih saya
bimbit ke mana-mana dengan harapan dapat habiskannya dan mula dengan novel yang
sudah lama tunggu giliran untuk dibedah. Untuk bacaan lebih sensasi, saya putar
lagu dari playlist muzik dalam novel-novel
Ridhwan Saidi*, The Strawberry Fields
Forever berkumandang, dan Imej bayangan Murshid berbaju-T putih, seluar
denim lusuh, rambut panjang, berkaca mata, galas beg sikut* sedang bersandar di
dinding konkrit apit rokok seludup di jari, muncul. Itu cuma bayangan saya yang
saya akui ada serpihan Ridhwan sendiri.
Cepat-cepat saya padam imej tadi dan
kembali teroka novel di tangan. Kira-kira sudah hampir 60% membaca, iaitu di
mukasurat 236/393, saya dikejutkan oleh benda jatuh. Apabila saya jenguk keliling,
saya lihat ada air melimpah keluar dari bilik Ken. "Ini pasti kerja Santa.
Kucing sialan!" Novel tadi saya hempas ke sofa (saya harap novel itu
maafkan sikap baran saya) dan matikan lagu saya pasang via spotify, saya buru-buru tuju bilik Ken. Di dalam bilik, Santa
menguis-guis ikan puyu yang separuh nyawa. Dengan kadar segara, saya sergah
untuk halau Santa dan ambil ikan puyu, letak ia dalam mangkuk plastik dan
tambah air. Ia berenang seperti tiada kecemasan yang berlaku sebentar tadi.
Setelah bersihkan sisa tumpahan air dari akuarium, saya masukkan kembali si
ikan puyu dalam rumahnya yang dihiasi batuan sungai dan pokok artificial.
Semenjak ketiadaan Ken, saya sering
masuk biliknya sebab perlu beri haiwan peliharannya makan. Sudahlah terpaksa
jaga, kena beli makanan pula! Dalam semua binatang peliharaannya, hanya Santa
yang bebas ke hulu ke hilir, sebab hanya dia yang tak bersangkar. Pernah sekali
saya kurungnya di balkoni tempat jemur baju tapi ia mengiau selama 2 hari tak
berhenti dan bunyi itu merimaskan. Jadi, saya biarkan saja ia bebas bergerak.
Nasiblah Ken sudah ajar ia buang najis di tempat sepatutnya, kalau tidak, tiada
alasan untuk ia tinggal di rumah saya.
Hari ketika Santa jatuhkan ikan puyu dan
hampir jadikan ia arwah, setelah mengemas, saya sambung baca novel di bilik
Ken. Entah mengapa empuk tilam di katilnya rasa lain macam dan ia buat saya
baca lebih tekun. Tapi mungkin sebab novel saya baca agak lembab plotnya, saya
berehat sejenak untuk ambil mood. Ada
sebuah radio mudah alih yang boleh pasang kaset dan cakera padat betul-betul di
atas meja tulis berhadapan tingkap. Secara jujur, sewaktu Ken masih ada, saya
jarang masuk biliknya. Lagipun Ken selalu kerja malam dan tidur pada waktu
siang. Saya tak pasti apa pekerjaan dia yang sebenar tapi dia pernah kata dia
pereka grafik secara freelance. Oleh
kerana dia tak pernah lewat bayar sewa, saya okay saja sehinggalah dia hilangkan diri secara misteri sampai
sekarang.
Penasaran, saya tinggalkan novel dan
belek radio tersebut. Ada susunan kaset dan cakera padat di bahagian atas rak,
Ken bukan seorang pembaca tegar tapi dia ada beberapa koleksi novel klasik
tempatan dan antarabangsa. Saya cuba tekan butang "open", niat mahu cuba mainkan salah satu cakera padat, tapi
bila penutup radio itu terbuka, sudah ada cakera padat di dalamnya. Tiada
gambar tercetak, hanya senarai lagu seperti ini ditulis dengan marker:
- Requiem – Mozart
- Piano Sonata No. 23 – Beethoven
- Swan Lake – Tchaivosky
- Preludes - Chopin
- Symphony No. 5 – Mahler
- La Mer – Debussy
- Liebestraum – Listz
- Caprice No. 24 – Paganini
- Symphony No. 9 – Dvorak
- string Quartet No. 14 - Schubert
Muzik klasik. Saya tak tahu Ken layan muzik
macam begini, kalau lihat dari penampilan, paling tidak mungkin dia layan genre
punk atau rock and roll, tapi klasik, so
not Ken, but who am I to judge? Butang
"play" pada radio mudah
alih tersebut saya tekan. Perlahan-lahan lagu Requiem berkumandang. Saya duduk di kerusi tenung meja seperti
dipukau, sedap lagu ni. Jantung hampir berhenti berdegup pada minit ke 1:01.
Tiba-tiba ada koir macam dalam gereja. Saya tak faham apa yang dinyanyikan tapi
lagu itu buat bulu roma saya tegak. Ia semacam magikal dan keramat.
Mengejutkan, tapi saya sukakan muzik begini - aneh.
Hanya sehingga lagu Preludes berputar, saya perasan Santa ada di atas katil Ken, tekun
dengar muzik, seperti saya. "Kau suka, Santa?" tanya saya pada kucing
bertompok yang gemuk. Santa mengiau, mungkin sebagai tanda jawapan
"ya," Saya belai kepala ia, angkat dan letak atas riba - berat macam
beras 5kg! Kali ini, ia tak cuba untuk mencakar. Saya pegang tangannya yang
berbulu dan gebu, kemudian mimik gaya
main piano. Ia tutup mata dan main seperti seorang pemain piano profesional.
Ah, mecha kawaii*!
Saya perlahakan sedikit nada lagu sebab
macam terdengar ada deringan telefon tapi tak ada pun. Santa turun dari riba
dan duduk di depan almari laci setinggi kira-kira 2 kaki, tempat di mana Ken
letak semua haiwan peliharaannya, masing-masing di dalam akuarium. Saya
terkejut ketika lihat semua haiwan itu pegun tenung saya bagai ada konsert,
kemudian mereka buat hal sendiri kembali apabila muzik perlahan-lahan hilang.
Saya putar lagu tadi kepada nada seperti mula-mula pasang. Ya, haiwan tadi
kembali pegun lihat arah radio, arah saya duduk. Santa kembali mendekat, dan
apabila saya rendahkan nada, Santa menjauh. Saya ulang perbuatan ini 3, 4 kali,
dan berasa pelik. "Mereka suka muzik klasik?" - tak mungkin, saya
jawab sendiri. Ini bukan cerita Roald Dahl.
Mungkin kebetulan saja, atau saya yang
paranoid. Saya cuba alih perhatian dengan lihat sekitar bilik Ken. Ada poster
filem Layar Lara, Great Teacher Onizuka, Kumpulan Limp Bizkit, dan beberapa
kumpulan yang saya tak tahu kewujudannya. Mata terus imbas hiasan dinding di
bilik. Di sudut belakang pintu, ada dua poster bersaiz A3. Satu, FIFA World Cup
2014 dengan slogan 'juntos num so ritmo' dan
kedua, gambar bintang pasukan Jerman; Mesut Ozil, Thomas Muller dan Philip Lahm
menghadap sebelah kanan, serta pasukan Argentina dengan bintangnya Lionel
Messi, Angel Di Maria, dan Segio Aguero, menghadap sebelah kiri. Piala dunia
berada di tengah-tengah mereka. Ia berlatarbelakangkan penonton yang saya
kurang pasti di stadium mana.
Apabila saya cuba amati poster itu
dengan jarak dekat, saya lihat ada penonton yang serupa dengan muka Ken iaitu penonton
yang sedang bersorak dengan mafla Argentina terlilit dilehernya, pipi bercalit
warna biru-putih-biru di kedua-dua belah, di barisan paling hujung. Ia tak lah
begitu jelas tapi orang itu betul sama dengan Ken. Saya kuis gambar penonton
itu, ia tak bergerak dan saya rasa seperti orang tak siuman bila bercakap dengannya
"Kau ke tu?" CD yang saya
pasang melalui radio sudah selesai sembah lagu, Santa mengiau dan cakar pintu
bilik mahu keluar, saya ralit dan tak perasan hari sudah masuk tengahari dan
saya perlu makan.
Menu tengahari saya cuma berlaukkan mi
segera kari campur telur ayam, serta beberapa potong sosej lembu. Sambil makan,
saya disaji berita-berita dunia, jenayah, politik, sukan dan hiburan melalui
televisyen, namun saya kurang peduli dan nikmati lauk tengahari sambil bersila
atas sofa, kepit mi dengan chopstick,
masukkan dalam mulut dan makan tanpa gigitnya. Saya pernah lihat satu
dokumentari tentang makan ramen tanpa putuskan mi, semakin panjang orang itu sedut
mi, semakin panjang umur dan sebaliknya. Sejak itu, saya cuba makan mi segera
dengan cara begitu, ia hasilkan bunyi hirupan yang kuat, bising tapi saya
sukakannya. Tanpa basuh mangkuk terlebih dahulu, saya berehat selepas makan dan
tertidur di atas sofa, depan televisyen, tempat berkubang kegemaran.
Telefon berdering dan saya terjaga dari
lelap, namun saya tak sempat jawab panggilan. '03-58702171' terpapar pada
skrin, pasti ejen pemasaran mahu jual produk insurans atau tawaran pinjaman
peribadi. Bosan, saya imbas kembali perlawanan bola sepak piala dunia round of 16. Teringat dekat poster yang
bertampal di bilik Ken, saya lihat sorotan pasukan Argentina bersaing sengit
dengan Perancis. Ketika Pavard jaring gol pada minit ke 58, kamera fokus pada
penonton pasukan rival yang menjerit kecewa. Menariknya, saya lihat sosok itu
lagi, sosok yang serupa dengan Ken! Masaka*!
Saya ulangtayang beberapa kali, namun
imej tersebut agak kecil dan televisyen saya tak canggih untuk zoom.
Curious, saya buka semula perlawanan FRA vs ARG yang telah berlangsung pada
4 Julai 2018 waktu tempatan. Mujur juga saya rekod semua perlawanan. Kali ini,
saya tak tumpu pada pemain, tapi penonton. Saya habiskan masa 96 minit dan
dapati cuma ada dua shot yang papar wajah penonton serupa Ken dalam perlawanan
tersebut. "Ken ada di Rusia?" gumam saya dalam hati.
Perasaan ingin tahu bertambah, saya
selongkar pula video perlawanan antara ARG vs NIG, konsum masa 1 jam 35 minit
untuk lihat kalau-kalau ada imej Ken lagi, tapi malanh – tiada. Pencarian saya
tak berakhir di situ, saya beralih pula ke perlawanan sebelum dan hasil kajian
saya adalah seperti berikut:
FIFA
World Cup 2018: Adakah itu Ken?
16/6:
ARG vs ISL - tiada
22/6:
ARG vs CRO - 1x
27/6:
ARG vs NIG: tiada
30/6:
ARG vs FRA - 2x
Tiada konklusi dapat saya simpulkan.
Mungkin, penonton itu cuma seiras dengan Ken. Itulah alasan paling logik dapat
saya fikir. Saya kembali ke bilik Ken, main semula muzik klasik. Santa berlari
ke arah saya, naik atas perut dan sondol muka saya nak bermanja. Di luar
tingkap, matari telah lama pulang dan langit malam kini dihias bulan. Bilik ini
berkeluasan 48 meter persegi dihiasi pelekat berbentuk bintang glow in the dark di atas siling. 1, 2, 3...
ada 12 buah semuanya disusun selerak. Saya bangun dan petik suis lampu kemudian
kembali belek poster FIFA 2014. Kedudukan Ken berubah! Dia memandang ke arah
saya dan cat di pipinya sudah sirna. Saya merenung lama dan masih tak percaya.
Semua ini buat saya hilang akal. Bagaimana mungkin imej di dalam poster boleh
berubah posisi? Saya periksa pula perlawanan yang saya kaji sebelum. Penonton
iras Ken berubah gaya, berbeza seperti mula-mula saya lihat. "Adakah Ken
terperangkap di suatu dimensi?" saya terduduk bila fikir benda ini. Jadi,
saya selongkar bilik Ken untuk cari apa juga kaitan yang boleh rungkai keanehan
ini.
Dalam gobok baju 2 pintu, saya lihat ada
beberapa jersi pasukan Argentina untuk home
dan away. Juga ada beberapa keratan
pamplet tentang piala dunia 2014 dan mengejutkan, saya jumpa kertas cetak
tempahan tiket penerbangan ke Brazil pada 10/6/2014 dengan nama penumpang
Shikin Solihin. Tidak silap lagi, Ken telah pergi ke Brazil untuk menyaksikan
piala dunia di sana. Memikirkan ini, mungkinkah Ken bertemu dengan Ridhwan
Saidi sewaktu dia di Rio de Janeiro sebab dia pun ada ke sana untuk siapkan
novelnya. Barangkali saya boleh tanya Ridhwan dan tunjuk gambar Ken, mana tahu
kalau-kalau mereka ada terserempak di sana, jauh di sudut hati saya berasa segan
tapi demi tunggakan duit sewa, saya ketepikan.
Beban ini terasa berat dalam kepala dan
ia buat saya lesu kerana terlalu banyak berfikir tentang kemungkinan. Saya
jatuhkan diri dan tidur di atas katil empuk Ken selepas hantar mesej pada
Ridhwan melalui twitter dengan kepilan gambar Ken. Dalam mimpi, Ken kunjung
saya dalam busana jersi pasukan La-albiceleste
dan berkata, "Sokonglah Argentina, dan aku akan pulang jika pasukan ini
menang." Lebih kurang macam mimpi Abdul Wahub, Ismit suruh dia jumpa
Suleiman Akhlaken untuk tuntut harta luar negeri, begitulah Ken muncul dengan
efek sama Cuma mimpi saya berwarna.
Nafas agak tercungap bila terjaga dari
mimpi benda pelik begini. Adakah ia petunjuk atau mainan tidur? Saya periksa
twitter namun Ridhwan masih belum balas mesej saya, barangkali dia sibuk kumpul
idea untuk teater beliau. Saya semakin gelisah memikirkan semua ini. Untuk
kurangkan tekanan dan kusut fikiran, saya capai kunci kereta dan pecut pergi
pekan. Rumah orang-orang tua nampak damai dan tenang di seberang, saya ada
terfikir nak daftar masuk bila tua nanti sebab saya tak fikir saya akan kahwin.
Logo kedai bakeri rona merah berkelip-kelip
tarik perhatiaan saya. Tiada pelanggan di dalam kedai, hanya ada juruwang yang
sibuk kilatkan kuku. Jadi saya bebas jamu mata lihat aneka kek, biskut dan
pastri. Belek punya belek, saya beli croissant
5 biji dan roti buku kismis. Kemudian saya singgah kedai serbaneka beli segelen
susu segar rendah lemak, sedozen telur ayam, mi segera perisa ayam sebungkus
dan sepaket sosej ayam. Dalam perjalanan balik, tiada apa yang menarik berlaku.
Sudah 2 hari sejak keanehan berkaitan
Ken hantui saya. Ini juga bermakna, sudah 2 hari saya tak masuk kerja. Posisi
semasa Ken di dalam poster kini berubah lagi, dia menutup mata dan tadah tangan
berdoa. Sehingga kini saya masih ingat mimpi tempoh hari. Hari ini 6/7, piala
dunia sudah masuk suku akhir dan malam ini Uruguay akan bertemu Perancis.
Kebiasaan, saya akan teruja ikuti perlawanan tak kira apa pun pasukan, tapi isu
Ken buat saya hampir lupa untuk gembira dengan benda saya biasa buat. Minit ke
40, dan Perancis mendahului 1 gol. Saya rai kemeriahaan tersebut dengan makan
sisa croissant yang saya beli semalam
– nyum masih elok.
90 minit dengan masa kecederaan 360 saat
berlalu begitu saja. Suarez pulang bersama pasukan tanpa jaringan gol. Teruja
saya tumpul kerana asyik fikirkan Ken. Notifikasi naik tanda ada mesej masuk.
Ridhwan balas mesej saya begini: “Hi.
Maaf lewat. Saya tak ada pula berjumpa dengan orang dalam gambar tu semasa di
Brazil. Flight kami tak sama, saya depart ke Brazil pada 22/6. Lagipun dah
berapa tahun, saya tak ingat.” Mesej Ridhwan hilangkan harapan saya. Saya
terlalu berharap Ken akan segera pulang.
Saya topang dagu dan hela nafas panjang.
Mungkin saya perlu ikut kata Ken dalam mimpi, sokong Argentina dan Ken akan
pulang. Ya, saya akan sokong Argentina demi duit tunggakan sewa yang saya kira
sejak Julai 2014 sehingga pertengahan tahun ini dengan jumlah anggaran RM8,400.
Memandangkan pasukan ini telah tersingkir dan tak sempat pun mara ke suku
akhir, terpaksalah saya perlu tunggu 4 tahun lagi....
“Sokonglah Argentina dan aku akan
pulang... Sokonglah Argentina dan aku akan pulang...” Bayangan Ken muncul di
mana-mana. Saya cuba kekal tenang dan tak tanya pada sesiapa akan hal ini lagi.
Risau juga kalau mereka kata saya tak betul. Kepala saya pening, dan saya telan
sebiji lagi panadol. Begitupun, saya senyum fikir duit yang saya bakal dapat
pada tahun 2022, jumlahnya pasti sekali ganda! Sebelum itu, Argentina perlu
menang supaya Ken dapat pulang dan bayar tunggakan sewa rumah. Saya mahu solat
hajat dan kalau perlu jumpa dukun untuk jampi pasukan ini jadi juara. Argentina
PERLU menang!
UNIDOS POR UNA ILUSION!
Nota:
Santut
– seluar dalam
Sikut
– galas
Mecha
kawaii – sangat comel
Masaka
– tak kan lah!
Ridhwan Saidi - penulis novel (untuk lebih lanjut, boleh kunjung web beliau di Blog Ridhwan Saidi)
Nota tambahan: Cerpen ini telah terpilih sebagai pemenang cerpen sempena Piala Dunia di Cukaria. Untuk bacaan versi tersebut, sila ikut rangkaian ini Cukaria
Ridhwan Saidi - penulis novel (untuk lebih lanjut, boleh kunjung web beliau di Blog Ridhwan Saidi)
Nota tambahan: Cerpen ini telah terpilih sebagai pemenang cerpen sempena Piala Dunia di Cukaria. Untuk bacaan versi tersebut, sila ikut rangkaian ini Cukaria
Comments
Post a Comment