Perigi Hikmat


Enam bulan lepas, hidup Soleh tak begini. Sebelum, hidupnya damai saja meski hanya berkerja sebagai penghantar surat di kompeni swasta. Gajinya cukup untuk adakan lauk setiap hari di meja makan, walau sekadar nasi kosong dan telur dadar. Soleh bersyukur asal bini dan anak-anaknya tak berlapar. Tapi apa dayanya ketika tiba-tiba disuruh berhenti sebab kompeni itu tak perlukan penghantar surat lagi. Sejak itu, Soleh selalu meminjam duit kawan-kawannya, untuk belanja harian. Dia juga pinjam duit untuk bayar duit yang dia pinjam, gali lubang tutup lubang.

Satu petang, di restoran mamak, Soleh bertemu Dahlan, kawan sekolah menengah dulu cuma berlainan kelas tapi mereka selalu berganding main bola sepak petang-petang di sekolah. “Jadi, kau nak pinjam duit sebab kau baru diberhentikan kerja? Begitu?” Dahlan straight to the point. Dengan malu, Soleh menunduk dan angguk kepalanya. “Tentu boleh, kawan. Tapi kejap lagi kau kena ikut aku.” Dahlan memberi syarat dan Soleh setuju serta-merta. Seorang wanita membawa buku ramalan duduk di sebelah mereka dan bercakap sendirian. Dahlan menegur dan minta ditilik nasibnya.

Sebelum wanita itu setuju, dia minta bayaran sebanyak RM20. Dahlan menawar makan tengahari percuma dan wanita itu tidak menolak. “Ramalan kamu mengatakan kematian sedang menghampiri dan jangan mudah percaya pada orang walaupun kawan sendiri.” Dahlan hampir membatalkan makan tengahari percuma tapi wanita itu sudah pesan terlebih dahulu. Ramalan itu sedikit pun tak menggembirakannya.

Selepas mereka makan, Dahlan bawa Soleh menaiki van lewat jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur. Dahlan parkir van di deretan kedai di Jalan Leboh Pasar. Sebelum keluar, Dahlan pakai penutup hidung dan mulut serta sarung tangan, kemudian dia arahkan Soleh untuk buat benda sama. “Apa kita nak buat pakai begini ni, Lan?” sambil menyarung tangan Soleh bertanya. “Mari ikut aku, kita tangkap kucing jalanan.”
Soleh fikir, mungkin Dahlan mahu bela nasib kucing jalanan dengan beri mereka tempat tinggal sempurna dan makan yang cukup, sempat dia memuji Dahlan dalam hati. Di tempat penumpang, ada beberapa sangkar dengan saiz berbeza. Tak susah untuk mereka menemui kucing di sana, dan hanya dalam masa beberapa jam, sepuluh ekor kucing berjaya mereka tangkap.

“Apa kau nak buat dengan kucing-kucing ni?” Soleh masukkan jarinya dalam sangkar dan gosok dagu kucing betina bunting. “Aku nak makan, buat masak kicap.” Seloroh Dahlan sambil ketawa besar. Soleh ikut ketawa walaupun dia tak rasa gurauan itu lucu. “Kau tahu, Soleh, selalu aku boleh tangkap satu-dua ekor saja. Kucing tak suka dan takut dengan aku.” Dahlan mengadu sambil memandu. “Kucing makhluk istimewa, mereka tahu kalau orang yang dekat dengan mereka ada niat baik atau sebaliknya. Diaorang tahu kau nak masak kicap, mana nak dekat!” giliran Soleh bercanda. “Patutlah mereka suka kau,” Dahlan buka radio dan lagu mengambil giliran untuk penuhi ruang van.
Lama Dahlan memandu, tapi dia masih tak beritahu ke mana destinasi mereka tuju. Soleh ketiduran melihat pemandangan kelapa sawit dari luar tingkap van. Bila Soleh bangun, mereka ada di satu kawasan yang sunyi, sepertinya di kebun terbiar. Ada sebuah rumah usang di hadapannya. Dahlan minta tolong Soleh untuk keluarkan sangkar kucing dan letak berhampiran dengan tangga. Pintu utama rumah usang itu dikunci dengan kendadu besar.

Sejurus masuk, mata Soleh terpana dengan jumlah kucing di dalam rumah itu. Najis kucing beronggok di atas pasir, ada yang sudah keras dan ada yang baru. Soleh diminta untuk lepaskan kucing yang mereka tangkap tadi, kemudian Dahlan sendiri yang memberi mereka makan. “Soleh, kau pilih seekor kucing yang kau paling suka,” Dahlan membelai-belai belakang kucing sehingga punggungnya menaik menahan geli suka.

“Yang ini,” Soleh cukup berkenan dengan kucing tuksedo bunting dia tangkap di Leboh Pasar. Kucing itu pun nampaknya suka dengan Soleh, ia kenakan hidungnya yang basah ke pipi Soleh. “Comel betul kau ini, gemuk, serupa bini aku,” bisik Soleh pada telinga kucing. “Meow,” balasnya.
Selepas selesai beri makan pada kucing-kucing tadi, Dahlan minta Soleh tunggu saja di kereta sebab dia nak beri beberapa ekor kucing makan ubat. Mulanya Soleh berkeras nak membantu, tapi Dahlan kata, dia boleh buat sendiri, dan Soleh pun menurut saja. Setelah hampir 15 minit, Dahlan keluar dan katup pintu, kunci dengan mangga dan pecut balik ke Kuala Lumpur. Waktu itu, Soleh tertidur lagi menunggu Dahlan dalam van.

Mereka kembali ke kedai tempat mereka jumpa mula-mula. Dahlan beri not 50 ringgit 2 keping, dan tawarkan dia berkerja tangkap kucing dan bersihkan rumah tempat kucing-kucing itu tinggal. Tentang gaji, Dahlan tak dapat beri banyak, ia bergantung pada bisnesnya, kalau banyak untung, banyaklah untuk Soleh. Memandangkan dia sekarang menganggur saja, Soleh tiada ragu untuk terima tawaran tersebut. “Esok, kau tunggu aku di sini pukul 11 pagi, kita pergi tempat tadi bagi kucing makan,” Soleh angguk tanda faham dan maklum dengan pernyataan itu. Sebelum balik rumah, dia singgah restoran KFC dan beli set ayam goreng untuk anak-anaknya.

Soleh suka dengan kerja yang dia lakukan sekarang. Hampir 3 bulan bekerja dengan Dahlan, Soleh dapat langsaikan hutangnya secara ansur. Pun begitu, masih ada yang mengganggu fikirannya, mengapa Dahlan bela kucing sebanyak ini. Lamunan Soleh sirna bila Dahlan suruh dia tunggu di van sementara dia beri kucing makan ubat. Ini pun menjadi tanda tanya, mengapa harus beri kucing makan ubat secara sorok-sorok.

Enjin dihidupkan, Soleh pasang radio tapi kemudian perlahan-lahan naik semula ke perkarangan rumah, mahu mengintip. Dari celah lubang kayu, Soleh dapat lihat Dahlan sedang cekak pinggang dan matanya menjalar melihat kucing-kucing yang mengiau. Dia angkat seekor kucing yang paling gemuk berwarna oren. Kepala kucing itu dielus lembut, kemudian perlahan-lahan dia masukkan picagari dalam mulut kucing dan tembak cecair melaluinya.

Beberapa saat kemudian, kucing itu tertidur. Mata Soleh tak penat mengekor kelibat Dahlan. Kucing itu digendong dan dibawa keluar ikut pintu belakang. Soleh harus beredar dan mengintip lebih dekat, dia menyelinap perlahan-lahan macam pencuri. Di bahagian belakang rumah usang, ada sebuah perigi. Ia ditutup dengan atap zink dan beberapa helai daun pisang, digunakan untuk mengaburi wujud perigi. Dahlan letak kucing yang tak sedarkan diri di atas tanah dan alihkan atap serta daun sebelum kucing itu dimasukkan dalam timba dan diterjunkan jauh ke dalam perigi.

Hampir saja Soleh menjerit melihat itu. Dahlan pandang keliling, memastikan tiada orang melihatnya. Tak lama selepas itu, dia menarik naik timba. Kucing oren tadi sudah tiada, yang ada cuma tumpukan wang ringgit. Dahlan tersenyum ria, Soleh bagai tak percaya. Sementara Dahlan mengira duit, Soleh kembali ke van dan cuba berlakon tenang.

Soleh telah memerhatikan ini beberapa kali dan dapatlah dia sahkan perigi itu boleh tukar kucing jadi duit. Soleh melihat berapa banyak wang yang Dahlan boleh dapat setiap hari, barulah dia tahu, gajinya menangkap, memberi kucing makan dan membersihkan najis mereka tidak setimpal dengan apa yang Dahlan dapat. Terbit iri dalam sanubarinya.

Jadi satu malam, tanpa pengetahuan Dahlan, Soleh ke perigi hikmat itu membawa seekor kucing jalanan. Dingin embun meresap dalam tulangnya, namun sedikit pun tak menghalang dia untuk mencuba sendiri keajaiban itu. Kucing itu mengiau-giau bila dimasukkan dalam timba dan cuba untuk lepaskan diri beberapa kali. Soleh tak putus asa, dicubanya lagi dan lagi. Kucing berjaya dijunam dalam perigi, Soleh tunggu beberapa tika selepas itu dia tarik timba.

Betapa gembiranya Soleh melihat di dalam timba itu ada berkeping-keping duit kertas. Hari-demi hari, Soleh semakin malas mahu bantu Dahlan cari kucing lagi, sebab duit yang Dahlan beri tidak setimpal dengan apa yang dia dapat kalau cari kucing sendiri. Dahlan mulai perasan perubahan ini dan jadi curiga.
Kini giliran Dahlan mengintip Soleh. Tahulah dia rahsia perigi hikmat telah bocor ke pengetahuan Soleh. Soleh keluar lagi malam itu, membawa dua ekor kucing yang masih kecil, itu saja yang dia jumpa. Ketika sampai di perigi, Soleh dikejutkan dengan susuk Dahlan yang duduk mencangkung hisap rokok.
“Jadi, kau mahu kacau bisnes aku, ya?” Dahlan menyedut rokok perlahan-lahan dan hembus ke muka Soleh.
Tanpa basa-basi, mereka bergelut dan cuba cederakan sesama sendiri. Soleh cuba capai apa pun yang boleh dibikin senjata. Dahlan tanpa henti menyerang namun berhenti bila satu tumbukan deras kena pada hidungnya yang pesek. Soleh menghentam Dahlan macam dirasuk Setan sebelum dia sendiri menjunamkan badan gemuk itu dalam perigi. Bunyi air berkocak mencemar hening kebun terbiar, disusuli bunyi-bunyi kucing mengiau dari dalam rumah.
Bulan sedang penuh malam itu, Soleh mengelap keringat dan membetulkan baju. Timba diturunkan, wang-wang kertas memenuhinya ketika ditarik naik, “Umpan besar, hasilnya tentulah besar!” Ilainya bergema-gema sehingga beberapa ekor anjing kampung menyalak.
Sekarang, tentulah Soleh tiada masalah duit lagi, tapi sungguh dia sedih, kucing seperti tak suka dekat padanya lagi. Dia merenung anjing kampung yang kurus dan berkudis, menyimpan niat untuk menukar korban yang lebih besar dari kucing. Soleh riang ketawa dengan duit yang bakal diraih.

Comments