Tilikan Bintang




Anis sedang cuba selesaikan teka silang kata yang masih berbaki tiga baris kosong di suratkhabar. Otaknya ligat mencuba macam-macam jawapan, habuk pemadam bertambah tapi masih juga dia tak jumpa penyelesaiannya. Dia berhenti seketika dan belek muka sebelah. Matanya ditakdirkan membaca ruang horoskop dan dengan niat suka-suka, dia pun bacalah ramalannya. “Biarkan mata tetap terbuka kerana kemungkinan kamu akan bertemu dengan seseorang yang istimewa semakin dekat.” Anis ketawa kecil memikirkan siapalah jodohnya yang di katakana dalam ramalan itu.
Ruang ramalan itu terlalu pendek dan Anis tak puas baca. Dia kini beralih mencari seperti apakah ramalan nasibnya hari ini di carian Google pula. Teruja di matanya nampak bersinar-sinar ketika menaip. Dia berhati-hati agar tak dinampak oleh rakan kerja yang lain, bimbang dilabel khurafat.
Cariannya menemukannya dengan satu laman sesawang rambang dan dalam huraian itu ada tiga kategori.
Umum: Ada kejutan menanti anda, terimalah dengan hati terbuka.
Cinta: Anda akan mendapat kenalan baru yang mempunyai kegemaran yang sama, perhatikan sekeliling dan jangan terlepas.
Wang: Bagus untuk menghadiahkan diri sendiri balasan tetapi berhati-hatilah agar tidak boros.
Warna: kuning atau jingga.
Nombor: 1, 3, 10 dan 19.
Pasangan Ideal: Aquarius dan Gemini.
Anis berdekah dengan ramalan ini – betapa mengarut semua ini, kutuknya di dalam hati.
Dalam denial untuk percaya, Anis pakai juga kerudung warna kuning tumeric dan kasut tumit tinggi rona sama dengan ton sedikit gelap. Ayat akhir ramalan semalam ada meyebutkan kalau tak ikut seperti yang dituliskan, akan ada musibah menimpa dan Anis takut akan itu.
Jazilah, jiran di sebelah kubikel mengusik tentang penampilannya hari ini yang jelas berbeza dengan hari-hari yang lepas. Anis selalu tampil dengan warna-warna gelap sesuai dengan umurnya yang semakin meningkat. Mereka berbual dan Jazilah kata ada seorang staf lelaki baru masuk. “Dengar-dengar dia pandai main muzik. Namanya dicalonkan untuk persembahan Annual Dinner akan datang ni.” Anis perasan, pernyataan Jazilah seiring dengan tilikan semalam tapi dia masih cuba nafi dan bersikeras ia sekadar kebetulan.
Waktu makan tengahari di medan selera kompleks membeli-belah, Jazilah minta Anis temankan dia ke kedai elektrik. Di sana, seorang pembantu jualan sedang buat promosi, setiap pelanggan dibenarkan pilih satu nombor untuk memenangi hadiah misteri. “Leng lui, pilihlah satu nombor, saya rasa kamu boleh menang ini hari.” Pujuk juru promosi gendut sambil tunjuk hadiah utama berupa telefon pintar.
Tak mengapa rasanya kalau dicuba, gumam Anis dalam hati, jadi dia pilih nombor 10, sementara Jazilah pilih nombor 2. Sewaktu promoter itu periksa jika nombor mereka tersenarai dalam nombor pilihan untuk permainan lucky number. Hadiah utama jatuh ke tangan Anis. Sepanjang jalan pulang ke pejabat, Jazilah tak habis kagum dengan nasib baik Anis kerana berjaya menang hadiah utama. Anis mulai takjub dengan ramalan bintang.
Kuat rasa hatinya mahu melihat ramalan lagi untuk esok. Ramalan hari esok menyaran dia untuk berjaga-jaga dengan teman rapat, jangan diceritakan perihal peribadi terlalu mudah. Membaca ini, Anis jadi skeptikal apa pun yang Jazilah bikin sebab hanya Jazilah teman rapatnya di pejabat. Tentu saja penasarannya tak henti di carian laman sesawang, kini Anis mulai masuk ke kedai buku mencari buku tilikan nasib tapi semuanya dalam bahasa Cina, Anis merasa hampa.
Seorang lelaki lewat 40-an memerhatikannya dan perlahan-lahan hampirinya, “Amoi, you cari buku tilik kah? I ada satu, you mahu?” Lelaki itu tunjuk buku seraya berikannya pada Anis untuk dia lihat-lihat dulu. Menarik juga buku ini fikirnya, dalam bahasa Melayu pula. “Berapa harganya, uncle?” niatnya mahu menawar, tapi bila dia angkat kepala, pak cik itu sudah tiada. Dijenguknya lorong sebelah, kemudian tawaf satu kedai tetap juga tak bertemu pakcik itu. Anis bingung sama ada hendak tinggalkan buku itu atau bawa pulang, dia jeda dan akhirnya pilih opsyen kedua.
Anis merasakan setiap ramalan yang ditulis begitu kena dengan keadaan dirinya. Dalam buku itu ada meramal yang Anis bakal jumpa bangsa asing, ini juga ternyata benar bila dia terserempak dengan sepasang turis, si lelaki mirip betul dengan watak Mario dan di sampingnya seorang jelita yang sedang mengira wang, tak kelihatan begitu sepadan dengan si pemuda.
Obses Anis makin menjadi apabila dia hanya mahu berkawan dengan mereka yang berelemen api dan udara, sebab ikut ramalan, zodiak dengan elemen air dan tanah tak serasi dengan Leo dan ia hanya akan memalapkan sinar si Singa. Kerana itu Anis, tak mahu lagi rapat dengan Jazilah sebab dia tahu, Jazilah ialah Taurus. Lembu dengan singa tidaklah sesuai bergandingan sebagai rakan, pikirnya.
Melihat keadaan Anis yang berubah jadi dingin dengannya, Jazilah mulai curiga. Diam-diam diselongkar kubikel Anis waktu dia tiada. Ketika itulah Jazilah menemui buku yang selalu dibimbit Anis. Ia tak bertajuk, hanya ada symbol 12 zodiak namun tak sempat dibaca setelah tuan punya buku tiba-tiba jelma di depannya.
You tak boleh percaya ramalan begini, Nis!” nasihat Jazilah pada Anis yang baru selesai membuang isi pundi kencing. “Percaya apa?” tanya Anis sambil pura-pura sibuk membelek fail di atas meja seraya sembunyikan buku ramalannya. “Buku itu, buku ramalan, kan?” Jazilah meluahkan rasa tidak puas hatinya. “It’s nonsense, Nis!”
No! it’s not. You tahu semalam dalam ramalan, I akan bertengkar dengan someone today. See, today we’re arguing.” Anis teguh dengan pendiriannya. “Kan kebetulan je tu,” tampak si Jazilah tak mahu mengalah. “Ya, you’re really a bull. Stubborn! Kalau you tak percaya, you tengok esok. Akan ada orang melamar I. Dalam buku ini ada tertulis macam tu.” Marah betul Anis dan sepanjang hari mereka tak bercakap langsung.
Anis tak datang kerja pada hari berikutnya dan tentulah Jazilah fikir perempuan zodiak singa itu termakan kata-katanya sendiri. Perihal jodoh itu kan ketentuan Tuhan, orang bodoh saja yang percaya pada ramalan. Begitu pun, Jazilah merasa sunyi kerana tiada teman di sebelahnya yang selalu pasang lagu klasik sambil buat kerja.
Sangkaan Jazilah meleset bila dapat tahu Anis sudah bertunang ketika dia lewati susur perkongsian gambar di Instagram. Kini, tinggal dia seorang saja yang belum ada pasangan di jabatannya dan itu buat dia rasa tak senang duduk. Pertengkarannya tempoh hari adalah hari terakhir dia bertemu Anis, sebab selepas itu dia dapat tahu Anis berhenti kerja kerana mahu tumpukan pada rumahtangga yang bakal dibina. Peristiwa itu buat dia geram sampai demam dan terpaksa ambil cuti sakit.
Setelah panas badannya kebah, Jazilah kembali ke pejabat dan dapati barang-barang Anis telah tiada. “Bila Anis angkat barang-barangnya?” Jazilah bertanya pada Dani, juga rakan kerjanya yang duduk di kubikel jauh sedikit dari tempat dia dan Anis. “Waktu you MC hari tu. Tapi dia ada tinggalkan ini, untuk you.” Kata Dani, memberi sebuah bungkusan berbalut kertas hadiah.
Di rumah, setelah habis makan malam, barulah Jazilah buka bungkusan yang Anis beri. Inilah bulu ramalan yang buat mereka bergaduh tempoh hari. Kulitnya bermotif 12 zodiak. Tertulis di mukasurat pertama ialah buku ini kepunyaan entah, tulisan itu dalam bahasa Cina dan Jazilah tak tahu baca. Jazilah belek mukasurat kedua dan hanya menemukan halaman yang diconteng doodles dengan pena mata bulat, begitulah sampai halaman tengah.
Rupanya ia hanya buku nota biasa. Tangannya menghempas buku kecil itu ke sofa dan selepas itu draf mesej pada Anis, “I rasa ini bukan buku tilikan hari tu. Berilah I buku tilikan tu, I pun nak kahwin juga macam you,” kemudian tekan butang hantar pada Anis.
Tapi saya tak tahu kalau Anis ada balas sebab nampaknya Anis, si bintang Leo, tak begitu suka dengan rivalnya, si Taurus.

Comments