Tsuki


Perkongsiannya tentang bunga, serangga dan haiwan buat saya cepat tertarik untuk tekan butang follow di instagram. Hampir semua gambar di akaunnya saya beri suka, dan mengejutkan dia juga lakukan hal sama. Saya jadi teruja bila dia komen "Cantik bunga ini," pada gambar bunga matahari yang saya sendiri gubah. Di situlah titik permulaan kami berkenalan lebih rapat secara virtual.

Pun begitu, tak banyak dapat saya tahu tentang latar belakangnya. Kebanyakan bualan kami hanya berkisah tentang jenis dan indah bunga, keanehan dan kebolehan pelbagai spesis serangga serta kecomelan binatang mamalia berbulu seperti anjing, kucing dan arnab. Kesukaannya pada tiga perkara ini buat saya diam-diam jatuh hati, meski tak pernah melihat wajahnya lagi.

Pemegang akaun nstagram dengan nama Tsuki ini hanya aktif pada waktu malam. Saya tidak tahu apa kerjanya, nama betulnya, atau bagaimanakah wajahnya. Jadi, setelah hampir 2 minggu berbalas-balas mesej di ruangan direct mesej dalam instagram, saya beranikan diri untuk bertanya soal yang bersifat peribadi. Dia katakan namanya secara am dipanggil Bulan, tapi dia lebih suka Tsuki, maksudnya bulan juga dalam bahasa Jepun. "Apakah kau laki-laki atau perempuan, bulan?" pertanyaan saya yang kedua. "Saya dilahirkan dengan tiada jantan atau betina, nona manis." 

Mungkin dia sedang berselindung tetapi saya tak mahu memaksa. Nampaknya dia belum selesa dengan saya, tak mengapalah, saya mengalah. Kami teruskan bual tentang perkara-perkara lain. Tsuki tak pernah lelah berbual dan hampir setiap kali saya yang minta izin untuk hentikan sembang dan masuk tidur. Tsuki kata, "Bulan mana mungkin tidur. Beradulah dan sampaikan salam saya kepada Matahari." Kata-kata beginilah yang buat saya jatuh hati kepada Tsuki.

Malam itu saya bermimpi sedikit aneh. Seorang pemuda tanpa wajah memerhati saya dari tingkap. Wajahnya besar dan seakan tersenyum memanggil, tapi saya pasti ia tiada mulut. Begitupun saya ingin kucup wajah nihil itu. Cuaca tidak siang dan tidak juga malam di dalam mimpi, ia suatu ruang dimensi yang gelap tetapi penuh dengan cahaya. Entahlah bagaimana dapat saya deskripsikan, ia tertlalu magikal untuk saya lukis di atas kertas. Wajah nihil itu terapung di luar jendela, dan saya dengan longlai bawa kaki ke arah itu. Kelihatan diri saya seperti Amy Lee di dalam musik video Bring me to life dengan gaun tidur tali halus. Kami berkucupan dan kemudian jatuh ke ruang yang tiada dasar. 

Apabila saya bangun, saya dapati buah dada saya sedikit tegang. Saya tepuk dahi dan kata diri sendiri, "baka atashi*!" Saya bersandar di kepala katil cuba ulang tayang perca mimpi tadi; erotis - ia buat saya seram sejuk dan ketawa sendirian. Dering jam berbunyi tanda masuk pukul 8.00 pagi. Seperti biasa, saya hanya basuh muka dan berus gigi, kemudian sediakan sarapan. Mandi pagi bukan rutin saya.

Hujan turun lebat malam ini, saya beritahu pada Tsuki. Tsuki berkata saya beruntung kerana dapat lihat dan alami banyak benda. Dapat menyentuh haiwan comel dan menggubah bunga, dapat merasa hangat Matahari, dapat merasa basah dalam hujan, dapat hidup berpasangan dan beranak-pinak. Jatuh kasihan saya terhadap Tsuki. Meski awak tak berpeluang itu semua, awak telah pun menyentuh sesuatu yang lebih dari itu, balas saya. Bertanya lagi Tsuki apakah itu. "Hati saya," malu-malu saya menaip jawapan itu. Tsuki hanya mampu membalas dengan emoji senyum.

Hati saya benar-benar telah terpikat dengan Tsuki. Maka, saya meminta kesempatan kalau perasaan ini dibalas dengan suka juga. Tsuki katakan, dia memang sungguh adalah Bulan dan tak mungkin bulan akan bercinta dengan manusia. Mungkin saya sudah mabuk cinta, saya katakan jika dia memang sungguh adalah bulan pun tak mengapalah, saya ajak juga dia bercinta. Tsuki berkali-kali menolak tetapi akhirnya setuju juga untuk mencuba. "Kita cuba sajalah, dulu ya, nona manis. Hal kemudian hari kita serahkan pada yang berkuasa." 

Tanggal 20 haribulan Jun adalah hari pertama saya menjadi kekasih sang bulan. Setiap malam merupakan syurga bagi saya kerana akan ada teman yang sentiasa menemani dan berkasih-kasihan dengan saya. Dari luar tingkap. saya lihat ribuan bintang menghiasi angkasa. Terbit cemburu bila melihat bintang di keliling bulan. Saya merajuk cemburu dan Tsuki katakan, bintang itu terlalu jauh dengannya. "Wahai kekasihku yang manis, tunjukkanlah dirimu di jendela, biar aku kagumi wajahmu yang sedang marah." Malam itu saya begitu cemburu dan tak balas mesej Tsuki.

Sudah sebulan kami berkasih-kasihan. Tsuki memberi khabar gembira pada saya, dia ingin bertemu dengan saya. Katanya, gerhana bulan dijangka akan berlaku pada Julai 28. Dapatlah saya menyambut monthsary saya dengan Tsuki. "Tapi di manakah kita akan berjumpa?" tanya saya. "Di jendelamu, nona manis." 

Tarikh 28 semakin hampir. Saya tidak tidur kerana Tsuki kata dia hanya akan kelihatan pada pukul 1.00 - 7.00 pagi saja. Kamar saya dihiasi dengan bunga-bunga indah dan bauan harum. Ada juga saya bawa binatang peliharaan saya untuk Tsuki bermain-main. Oh, ini akan menjadi hari paling indah. Makanan istimewa juga saya hidang, tak memikirkan pula jika Tsuki akan makan atau tidak.

Sedang saya membaiki solekan di wajah, ada sinar dari luar tingkap. "Tsuki." gumam saya. Apabila saya buka, saya tak dapat melihat wajahnya dengan jelas lantaran cahaya yang begitu silau. Tsuki tak berwajah, maksud saya dia tidak ada hidung, mata dan mulut macam manusia. Wajahnya kosong, macam bulan betul. "Saya datang, nona manis." suara Tsuki kedengaran tapi tak tahu keluar dari mana. Mujur saya ada kaca mata hitam, dapatlah kami berbual sepanjang tempoh itu. 

"Kau sungguh cantik, nona manis." Tsuki mengelus wajah saya dan buat saya bagai terbang di angkasa. Entah bila, saya dan Tsuki sudah di atas ranjang. Saya membiarkan saya dia menjelajah apa yang dia kehendakkan. Malam ini biarlah menjadi malam yang liar. Sajak Diciknson menari-nari dalam benak saya.

Wild nights - Wild nights!
Were I with thee
Wild nights should be
Our luxury!


Saya terjaga mendengar alarm telefon berdering - pukul 8.00 pagi. Tsuki tak ada di sisi saya lagi. Siang bermakna Matahari sudah ambil alih tugas bulan. Melihat tubuh sendiri yang tidak berpakaian, tahulah saya apa yang jadi semalam, saya sudah tak perawan lagi. Malam itu, saya tunggu Tsuki lagi, ingin bercerita dan mengagumi keluarbiasaan semalam. Malangnya, akaun instagram Tsuki sudah tak wujud. Saya naik berang, geram dan bercampur sedih. Sialan kau Tsuki, sudah perawan saya kau ambil, kini kau menghilang, kutuk saya dalam hati. 

Bulan demi bulan berganti. Tiada juga khabar dari Tsuki. Keadaan diri yang pening dan selera makan mendadak buat saya curiga kalau saya mengandung. Garis dua pada alat petunjuk kehamilan buat saya tambah runsing. Saya kini mengandung dan Tsuki masih belum dapat saya cari. Ada juga saya terfikir untuk naik ke bulan, tapi mana mungkin, saya bukan angkasawan. Nampaknya saya perlu menunggu gerhana seterusnya. Di mana patut saya mengadu nasib? Siapa yang akan percayakan saya mengandung anak bulan? Saya menangisi nasib sendiri di jendela tempat saya selalu merenung Tsuki.

Tsuki sentiasa ada sebagai bulan di langit malam tapi saya tiada cara untuk memanggilnya. Tentang anak bulan yang saya kandung ini, entahlah saya mahu simpan atau gugurkan. Mungkin bukan saya seorang mangsanya. Jika anda menjumpai isntagram misteri yang penuh dengan gambar bunga dan binatang beritahulah pada saya.

Saya mengandung anak bulan. 



Nota:
Baka atashi - bodohnya saya


Comments