Tukang Paip dan Puteri Momo

Ibu selalu marah kakak sebab tak buang sisa makanan dulu sebelum basuh pinggan. Perangai kakak yang ignorant begini sudah bikin singki kami tersumbat, jadi ibu suruh saya cari tukang paip. Walaupun saya ada ramai kawan di sos-med, satu pun tiada yang respon bila saya kongsi status, “Ada siapa-siapa tahu plumber area Ipoh? Please let me know a.s.a.p. (berserta emoji paip)”. Rata-rata cuma tekan butang suka dan itu sama sekali tak membantu.
Air di singki mulai membusuk dan ia buat kakak loya. Dalam situasi begini, saya cuba untuk praktik kemahiran hidup yang saya belajar di sekolah menengah dulu. Saya seluk tangan dan tekup di permukaan singki, lepas itu pam berberapa kali, namun tiada tanda-tanda air bakal surut. Memandangkan singki rosak, ibu tak mahu masak.
Malam itu, kami sekeluarga makan nasi bungkus saja di ruang tamu sambil tengok berita. Waktu itulah kakak beritahu saya yang kawannya ada beri nombor plumber dan dia suruh saya yang telefon sebab dia tiada kredit. Saya dail nombor tukang paip tersebut dan buat temujanji.
Keesokan hari tukang paip datang seperti yang dijanjikan semalam, tapi dia tidak sendirian. Bersamanya ada seorang perempuan berambut perang, bergaun rona pic polos. Matanya bundar kebiruaan, macam minah salleh. Sekali pandang, macam tak padan pula dia dengan tukang paip yang gempal dan rendah, bermisai lebat pula tapi siapalah saya untuk menilai begini, cepat-cepat saya singkir pikiran yang jahat.
Kakak dan ibu keluar beli-belah. Walaupun mereka kata shopping tak lama, saya tahu mereka hanya akan pulang waktu malam. Saya persila tukang paip dan perempuan itu masuk. Dia perkenalkan namanya sebagai Miyo, dan si cantik di sisinya, Momo. Momo tidak fasih berbahasa Melayu kata Miyo tapi dia boleh bertutur dalam Inggeris dan Jepun. Gadis itu tersipu.
Sebelum Miyo memulakan kerja saya tanya berapa kos baiki paip, sambil tinjau singki “Dalam 50 je kot.” Kata seraya Miyo keluarkan rokok dari poket baju, jelas Momo tak suka kelakuan itu. Sebagai menghormati sesama manusia, saya hulur sejag air oren dan 4 potong kek pandan, kemudian beri dia upah seperti yang telah dipersetujui. Miyo minta saya tunggu di ruang tamu, saya ikut saja.
Sambil menunggu singki siap dibaiki, saya mesej kekasih saya. Kami melepas rindu dengan menghantar swafoto masing-masing. Tak lama kami mesej sebab dia kata ada pelanggan dalam kedai. Saya matikan bualan mesej dengan ‘Can’t wait to see you Sabtu nanti!”
Keadaan tenang saja pada permulaan sehinggalah Momo menjerit dalam bahasa yang saya tak faham. “だれが助けてください!” Saya buru-buru tuju dapur dan dapati ada puluhan cendawan di lantai; ia hidup, bermata dan bergigi! Ia cuba menggigit kaki Miyo dan Momo. Fuck, what the hell are these?! Betapa menggelikan! Saya tercegat saja di gerbang dapur, dan kemudian beberapa batang cendawan meluru ke arah saya. “Hey, lompat dan pijak kepalanya!” Jerit Miyo. Mendengar itu, saya lompat dan pijak cendawan yang menyerang saya, mereka penyet dan kemudian lenyap meresap ke dalam lantai – keanaehan apakah ini?!
Di sudut lain, Momo juga melompat-lompat, cuba memijak cendawan hidup yang ada di sekitarnya. Nampaknya cendawan itu keluar dari singki yang tersumbat. Tangan Miyo berdarah-darah digigit cendawan hidup. “Beri aku cecair peluntur, cepat!” teriak Miyo sambil menahan cendawan itu keluar lebih banyak. Momo masih berjuang menghapuskan cendawan yang melata di lantai dapur.
“Baik, kejap aku ambil!” saya menyahut, tak berlengah ke ruang setor belakang dan ambil sebotol peluntur. Air bertakung kini terpercik dan menumpah ke seluruh badan singki dan lantai, bercampur dengan darah Miyo. Saya tolongnya tuang cecair tersebut ke dalam singki dan  kedengaran cendawan-cendawan hidup itu seperti melolong sakit. Perlahan-lahan jumlah cendawan semakin berkurang lepas simbah peluntur.
Tak mudah hapuskan cendawan itu semuanya. Momo ambil posisi di bawah singki membuka perangkap botol, air tersumbat serta-merta mencurah keluar dari saluran paip bersama sisa kotoran yang tersumbat. Dia minta saya besen untuk tadah kotoran yang keluar. Bersama air tersebut, saya dapat lihat gumpalan-gumpalan sisa yang pejal dan berlendir turut keluar. Di dalam dinding perangkap botol, lumut dan kulat mulai tumbuh. Cendawan tak lagi keluar dari singki dan setelah itu barulah Miyo boleh ganti perangkap botol yang baru.
Memandangkan kami semua bertarung di kawasan singki dengan air bertakung, Miyo dan Momo minta izin mandi sebelum mereka pulang, pakaian mereka lencun dan kotor. Saya izinkan mereka guna kamar mandi di tingkat bawah sementara saya juga bersihkan diri di kamar mandi tingkat atas. 15 minit kemudian saya turun dan dapati mereka sudah selesai mandi. Si tukang paip memakai dungaree denim biru dengan baju lengan panjang rona merah di dalam, manakala si cantik Momo, memakai gaun yang lebih kurang sama macam gaun dia pakai sebelum. Imej mereka nampak familiar tapi saya tak dapat recall apa-apa masa itu.
Masalah singki tersumbat telah selesai namun saya masih perlu menuntut penjelasan mengenai keanehan tadi dari mereka. Momo kini membalut luka di tangan Miyo yang tidaklah begitu serius. Miyo ambil beret rona merahnya dan mengipas-ngipas di bahagian kepala, cuba untuk mengeringkan rambut yang sudah rontok di tengah.
Kata Miyo, sambil membiarkan Momo mengurut lengannya, cendewan itu adalah serdadu dari Kota Bentung, sebuah kerajaan di dalam paip pembentungan di Brooklyn. Miyo telah dapat panggilan untuk baiki paip bocor dan beberapa masalah teknikal yang lain. Demi kelangsungan hidup, Miyo cepat terima panggilan tersebut.
Mungkin ia tak masuk akal kalau saya beritahu pelanggannya waktu itu ialah seekor buaya berwarna hijau-kuning yang memakai choker duri besi di sekitar lengan dan lehernya, tapi itulah kebenarannya. Buaya itu boleh bertutur dan perkenalkan dirinya sebagai Kupa. Momo menghisap rokok dan Momo terbatuk-batuk, cuba mengelak asap.
Beberapa pili dan batang paip rosak teruk terutama di bahagian rumah Momo, begitu juga pintu mainhole yang sudah berkarat. Saya ulang-tanya pada Miyo, “Momo?” Miyo angguk dan sambung cerita. Katanya, dulu Momo tinggal disitu, dikawal pergerakannya oleh tentera cendawan. Dia merupakan calon pengantin Kupa. Momo tak gembira mendengar masa lalunya.
Ketika Miyo berjaya buka pintu mainhole yang hampir 3 tahun berkarat, Momo minta izin untuk lihat dunia atas. Kupa berat hati tapi demi pengantinnya, dia izinkan. Momo melihat banyak benda yang tak pernah dia lihat sebelum. Ini buat curiosity-nya naik mendadak, dan perlahan dia bisik pada Miyo, “Bawalah aku mengembara wahai tukang paip,” Miyo cepat terima dan mulai memikirkan cara untuk lolos. Airmata Momo tampak bertakung tapi dia cuba sembunyi dengan pura-pura menguap.
Cinta Miyo dan Momo bersemi dan semakin kuat, pada hari Miyo sepatutnya mendapat upah penuh, Miyo larikan Momo ke dunia atas dan mengunci semua pintu mainhole di Brooklyn. Kerana itu, Kupa dan askarnya tanpa henti cuba buru mereka melalui singki yang tersumbat, kerana Kupa tahu Miyo seorang tukang paip dan tak boleh buat kerja lain.
Saya tekun mendengar cerita Miyo sehingga tak perasan saya belum pelawa mereka snek atau air sejuk. Miyo kata dia harus pergi dengan kadar segara kerana ada kerja lain sedang menunggu. Kami berjabat tangan, saya ucap terima kasih dan selamat buatnya dan si cantik Momo. “さよなら,” pamit Momo dan Miyo serentak, kemudian mereka pergi sehingga belakang mereka tak nampak lagi dari pandangan saya. Saya jenguk dapur dan imbas kembali kejadian tadi, saya senyum sendiri melihat diri saya melawan makhluk-makhluk aneh yang keluar dari singki. Betapa saya ingin ceritakan pada kekasih saya Sabtu nanti.
Satu mesej masuk. “Kami balik lambat, ibu suruh beli makanan sendiri.” Benar jangkaan saya. Selepas balas okay, saya cari duit yang ibu tinggalkan tadi dalam laci di ruang tamu tapi tak jumpa. Tiada lain saya syak melainkan pasangan tadi. Pencuri rupanya!
Pintu kekisi dibuka, ibu dan kakak pulang membawa beg-beg kertas. Sejurus saja ibu duduk di sofa, dia bertanya pada saya kalau singki sudah elok, saya hanya angguk. Ibu minta baki duit yang dia tinggalkan tapi saya hanya dapat beri senyum dan kata tukang paip caj mahal. Ibu tak percaya dan tuduh saya ambil duit. Saya tiada pilihan lain melainkan ganti duit ibu dengan duit yang saya kumpul untuk berjumpa kekasih di Kuala Lumpur.
Saya sudah jelaskan pada ibu dan kakak tentang kejadian cendewan serta cerita buaya. Mereka langsung tak percaya malah gelakkan saya. Kekasih juga minta putus bila saya terangkan sebab tak dapat jumpa pada hari yang dijanjikan. Tiada apa yang saya benci melainkan tukang paip semejak kes ini berlaku!

Comments