Ayam Goreng Pedas


Junaidah gelisah menanti Solaiman yang belum juga pulang walapun hari sudah malam. Sebenarnya, dia lebih gelisah kerana tiada makanan di dalam peti ais yang dapat dia masak dan Solaiman telah berjanji akan membawa ayam goreng pedas hari ini. Memikirkannya pun sudah cukup buat air liur Junaidah tiris. Dia menuntup mata dan berangan mengunyah ayam goreng disulami kentang shoestring yang panas dan rangup.

Hujan turun sejak senja dan belum nampak tanda akan berhenti. Junaidah mundar-mandir kebosanan. Dia mengusap-gusap perutnya yang semakin buncit. Kebiasaan, dia membunuh masa dengan menonton televisyen tapi memandangkan hujan, semua siaran tergendala. Mulutnya kumat-kamit mengutuk siaran berbayar itu seraya menghumban alat kawalan jauh ke atas sofa.

Telefon Junaidah senyap dan sepi. Masih tiada balasan dari Solaiman. Perutnya berbunyi sudah tak terkira, Junaidah menangis lapar di birai katil di dalam kamar sambil menyebut nama Solaiman berselang ayam gorengnya. Menangis hanya buat Junaidah jadi tambah lapar, peti ais di-tutup-buka-tutup tapi isinya tetap sama. Tiada daging yang boleh diratah. Junaidah mahu memesan melalui atas talian tapi tiada servis dijalankan memandangkan cuaca sedang buruk.

Penungguannya berakhir bila terdengar ketukan di pintu dan bila dibuka susuk Solaiman yang dirindukan itu jelma. Giranglah hati Junaidah. Solaiman lencun dek hujan, kasutnya bertakung air. Dia meminta Junaidah ambilkan tuala sementara melucutkan pakaian di muka pintu, tak mahu lantai ruang tamu basah. Solaiman hampir terpijak najis kucing yang telah kering di hadapan pintu masuk rumahnya.

Ini bukan perkara baru, kucing begitu suka buang najis di situ. Telah bermacam cara dia bikin untuk meyirnakan kesan supaya kucing tak lagi buat sarang jamban namun satu pun tak berjaya. Hampir setiap pagi ketika dia buka pintu utama, najis itu yang akan menyapanya terlebih dulu. Solaiman sabar saja kerana dia seorang ailurophile, sayang punya pasal najis pun tak apa lah.

Junaidah mempersila Solaiman duduk dan menjamunya air teh perisa mawar. Mata Junaidah merayap di sekitar Solaiman, mencari bungkusan yang dikirim. Dengan senyum dan penuh harap dia bertanya di mana makanan yang dikirimnya sejak dari petang tadi. Sudah tak sabar betul Junaidah nak ratah ayam goreng pedas rangup kurang minyak itu, kecur liurnya, degup jantungnya deras memikirkan keenakan ayam goreng.

Namun persoalan Junaidah dijawab negatif oleh Solaiman. Wajah Junaidah serta-merta bertukar hiba, bibirnya mencebik dan matanya berkaca. Bukan itu jawapan yang Junaidah inginkan. Dia larikan diri merajuk di dapur. Solaiman tahu benar, isterinya terlalu suka ayam goreng sampai beratnya naik mendadak. Mana tidaknya, hari-hari mahu dibelikan ayam goreng. Solaiman ingin suruh isterinya diet tapi tak sampai hati mengatakan itu, dia sendiri suka lihat isterinya gembira makan juadah kegemaran, tapi terbit juga hatinya mahu isteri yang kurus, setidaknya sama berat dengannya.

Junaidah merawat sedihnya di balkoni, tempat menjemur pakaian. Di sudut itulah dia teresak-esak menangis menahan lapar, ditegukkan air masak dan rasa itu tak berubah menjadi rasa yang diidamkannya. Kebetulan waktu itu, jirannya ada di balkoni juga. Junaidah dapat dengar perbualan jirannya dan ngiauan kucing peliharaanya. Junaidah tak menegur tapi membuat perkongsian status di laman Facebook dengan emoji menangis – feeling sad. Ramailah rakannya react sedih tapi hanya seorang yang tanya mengapa. Junaidah membalas kempunan ayam goreng.

Suaminya, Solaiman terlalu letih untuk memujuk. Dia tertidur di atas sofa dengan hanya bertuala. Si isteri yang mengintai dari dapur, mengharap dipujuk menjadi lebih duka melihat suaminya yang langsung tak endah.

Ketika itulah seekor kucing putih lolos masuk ke balkoninya. Dijenguk kepala untuk lihat kalau ada tuannya tapi tak kelihatan. Junaidah peluk dan angkat kucing itu. Dia belai-belai, dan bergomol seketika. Kucing itu begitu gemuk, bunting barangkali, pikir Junaidah. Dia mengusap bulu kucing di bahagian punggung, mirip dengan punggungya gumam Junaidah, sama-sama gemuk.

Makin lama dibelai kucing itu, makin kurang sedihnya. Tapi setelah sedihnya beransur, laparnya datang semula. Perutnya berbunyi minta isi. Solaiman sudah bermimpi ke bulan, tak sedar guruh diluar berdentum menghentam bumi. Junaidah menatap wajah kucing putih yang tidur lena di pangkuannya. Dibuka rantai leher berwarna merah itu, diselit bawah tilam.

Kucing itu dibawa ke kamar mandi, dan di sanalah Junaidah melemaskan haiwan gebu itu. Ia mengiau minta dilepaskan tapi bunyi guruh menenggelamkan suaranya. Hanya beberapa minit, ia tak lagi bernyawa. Setelah Junaidah mengelar leher kucing itu, dia sangkut di tiang pancur dengan tali, darah menitik dan mewarnai bulunya yang putih. Junaidah ingin darah itu kering tapi sabarnya lekas hilang.

Dia masukkan kucing itu di dalam air yang mendidih. Kucing itu direbus dan kemudian Junaidah menyiat kulit dan bulunya, seterusnya menetak tubuh kucing itu menjadi ketulan kecil yang mudah dijamah. Api dalam matanya membara, mengenang ayam goreng yang dipesan tak diadakan Solaiman.

Setelah habis siang, Junaidah basuh potongan daging itu dengan tepung gandum berharap hilang hanyirnya. Kemudian dia salut ayam dengan serbuk kari, serbuk cili, bawang putih yang sudah dilumatkan, garam dan juga soda bikarbonat. Sementara tunggu perapan meresap dalam daging, Junaidah sedia pula bahan salut. Keringat di dahinya mencurah, Junaidah mengelap keringat yang hampir jatuh dalam adunan.

Sekarang tugasnya hampir selesai. Sementara Solaiman masih tidur, Junaidah membersihkan tandas yang bersisa darah. Kulit dan organ dalaman yang tak diperlukan disumbat dalam bakul plastik sampah. Junaidah buru-buru buang semuanya melalui refuse chamber yang ada di setiap tingkat berdekatan lif.

Malam semakin larut, hujan sudah seriat. Air pancur membasahi rambut Junaidah, kemudian perlahan-lahan ke seluruh tubuh. Setelah siap mandi, barulah dia ke dapur dan mengoreng. Reaksi minyak yang meletup-letup buat Junaidah ketawa seorang diri di dapur. Bunyi itu mengejutkan Solaiman.

Tapi mungkin Solaiman masih mamai baru bangun tak mengesyaki apa-apa, Junaidah hidang gorengannya pada Solaiman dan Solaiman kata sedap sehingga makan dua tiga ketul. Mereka makan dengan selera dan Junaidah tak lagi marah pada suaminya.

Esoknya, kelihatan jirannya tak tentu arah mencari kucing peliharaannya. Junaidah tak merasa kesal kerana pagi itu, tiada lagi najis menyapa di depan pintu utama mereka.

Comments

  1. kenapa Junaidah??? kenapa??? Mula2 baca aku senyum makin hujung cerita jadi seram..





    ReplyDelete
    Replies
    1. sekadar berimaginasi. jangan cederakan haiwan ya.

      Delete

Post a Comment