Kandas dalam tulisan



Mungkin apa yang saya sedang alami ini orang panggil writer's block, keadaan di mana saya tidak ada satu idea atau ilham untuk menulis. Waktu yang sepatutnya saya gunakan untuk menulis saya isi dengan baca komik, majalah, atau cerpen-cerpen lokal dan antarabangsa favurit saya. Hampir setiap hari saya tonton filem lama yang saya suka, terutama sekali anime Hayao Miyazaki. Sekali-sekala saya keluar tonton wayang bersama rakan-rakan tapi kebiasaan saya lebih suka tonton sendiri, saya loner yang tak perlukan sesiapa untuk ke mana-mana.
Semalam saya cuba lagi untuk menulis, tapi telah ditakdirkan untuk tonton siri animasi si botak Saitama menyelamatkan dunia. Entah pukul berapa saya lelap. Hanya selepas tengahari baru saya bangun dari tidur. Sudah jadi rutin, usai bangun dari tidur, saya tidak terus mandi tapi akan ke dapur untuk keluarkan ayam dan ikan dari peti ais, lepas itu letak ia dalam singki.
Sementara tunggu bahan mentah itu nyahbeku, saya masak nasi 2 pot, untuk saya dan Kemboja, kucing betina yang telah dipelihara sejak dari dia pisah susu dengan ibunya,  juga untuk kucing-kucing liar lain yang datang singgah ke rumah. Ibu kata miskin macam mana pun jangan pernah lokek bagi kucing makan sebab kucing bawa rezeki, sebagai anak yang taat, saya turut kata ibu.
Teman serumah saya, Cherry pagi-pagi lagi sudah bangun pergi kerja dan hanya akan pulang petang nanti. Hari ini, sekali lagi saya merenung halaman belakang rumah sambil hisap rokok seludup, berfikir tentang menu tengahari. Fikir menu, fikir manuskrip, ah, serabut! Saya bakar rokok kedua sambil putik daun-daun bunga kertas yang Cherry tanam.
Bulu ari-ari yang semakin panjang saya garu dari luar seluar pendek. Kemboja mendekat dan mengiau, dia gesel di kaki saya yang kurus dan berbulu halus, minta perhatian. Tapi, saya abaikannya dan teruskan merokok. Saya baru teringat kain yang belum berjemur masih bergumpal di dalam mesin basuh, tersentak tapi masih tangguhkannya dan sambung merokok.
Ngeong Kemboja semakin bising, saya tahu dia lapar jadi saya berinya kibbles sedikit untuk alas perut. Saya rebus ikan bersama serai dan bawang untuk singkir bau hanyir ikan. Menu hari ini, setelah saya habis fikir masa merokok tadi ialah ayam masak bawang putih atau orang putih panggil garlic chicken. Saya campur kucai dan lobak merah sekali dalam kuantiti banyak jadi saya tak perlu masak sayur, malas nak masak banyak kali. Jimat gas dan minyak lagipun.
Setelah semuanya selesai, barulah saya mandi. Sambil syampu rambut, otak ligat berfikir tentang apa yang saya nak tulis untuk cerpen seterusnya. Selepas itu, saya mula tonyoh sabun pada badan tanpa bilas rambut terlebih dahulu. Buku sabun jatuh ke dalam kakus. Saya merenung sabun yang pegun dan tak berdaya selamatkan dirinya daripada jatuh ke tempat jijik itu. Walaupun lubang tandas itu bersih dan jernih, namun hakikat ada najis yang pernah ada di situ, saya tak ambilnya semula dan buka kotak sabun baru. Cherry pasti bising kerana saya bazirkan sabun.
Saya bilas badan dan lihat buih-buih luntur dari badan mengalir dan lesap di lubang penapis. Melihat itu, saya tiba-tiba geli, mild tyrophobia menyelinap dalam tubuh dan saya cepat-cepat habiskan mandi. Mandi sudah, masak pun sudah. Hanya belum jemur kain saja. Cherry betul-betul beruntung dapat housemate macam saya, rajin, good-looking dan pandai masak pula, setidaknya saya harap begitulah. Diam-diam saya menaruh hati pada dia.
Meski Cherry tak masuk dalam kategori lawa, dia ada daya pikat tersendiri, misalnya cara dia nikmati teh dengan mata tertutup, atau merapikan fringe di dahi jendulnya, atau dadanya yang sederhana besar. Ah, tidak! Saya tidak harus fikirkan itu. Saya lenyapkan fantasi seksual terhadap Cherry dengan tonton Spongebob Squarepants sambil makan nasi berlaukkan ayam saya masak tadi.
Kemboja sedang nikmati ikan basung digaul nasi di dapur bersama rakan-rakannya yang tidak bernama, nampaknya dia tiada masalah berkongsi. Kemboja datang ke ruang ramu dan duduk atas sofa bertentangan saya selepas kenyang. Kepalanya terangguk-angguk ketika menjilat tangan. Saya panggil namanya, dia pandang dan jeda lihat saya tunjuk wajah kau-nak-apa? Kemudian, dia sambung balik jilat tangan dan seterusnya, bontot.
Saya mute-kan televisyen dan buka komputer riba, berharap dapat menulis sesuatu. Sebelum mula, saya sempat bancuh kopi instan, sediakan kacang Shandong, dan pasang playlist lagu Haruki Murakami’s vinyl collection untuk dapatkan mood menulis. Beberapa idea terbit tetapi tak satu dapat saya kembangkan plot penceritaanya dan saya juga alami masalah mahu mulakan ayat dengan ayat apa.
Lebih parah, saya tidak ada penutup untuk semua cerita yang menari-nari di minda. Idea saya semuanya mainstream dan asyik ulang elemen sama, kucing, tren, mimpi, halusinasi. Adakah sebab saya terlalu banyak baca novel dan cerpen Murakami atau terpengaruh dengan karya Ridhwan Saidi? Atau? Lagu-lagu jazz berkumandang memenuhi rumah dengan volume yang cukup kuat untuk sesiapa pun menari.
Putus asa, saya beralih kepada telefon pintar dan buka aplikasi Facebook, saya lihat ada beberapa kawan kongsi tentang cerpen dan puisi mereka lolos untuk terbit di majalah dan laman sesawang sekian-sekian. Seorang crush lama saya kongsi status sedih, saya tanya dia mengapa, katanya kempunan makan ayam goreng. Teringin juga nak balas “jom makan sama-sama,” tapi memandangkan dia dah kahwin, tak jadi saya berbuat begitu. Bosan, saya buka page National Geography dan tonton video obor-obor. Tanpa sedar, kacang telah habis saya makan dan air pun sudah habis diteguk, namun satu huruf pun tak ada di dalam document words.
Kerana terlalu bosan fikirkan tentang writer's block saya. Lapar, saya repeat makan lagi. Mungkin saya tak alaminya, mungkin saya hanya beralasan begitu sebab saya malas. Saya pujuk diri sendiri untuk rehat dan turut-serta Kemboja tidur dan jisim dalam kepala rasa ringan. Petang itu, saya bermimpi berjalan di ladang gandum yang sedang masak, persis macam lukisan van Gogh, cuma ia tiada kawanan gagak.
Jam dinding papar pukul 7, sebentar lagi Cherry akan pulang. Oh, shit! Baju belum jemur, pasti dia bising. Bingkas saya bangkit dan punggah kain dari dalam mesin ke dalam raga plastik. Meski dalam kalut, saya sempat hidu coli dan undies Cherry, mujur belum hapak dan pelembut fabrik Downy benar-benar tunaikan janji haruman kekal lama - syukur! Tidak lama kemudian kekisi pintu ditarik, tombol pintu dipulas, Cherry sudah balik dan Kemboja berlari ke arahnya. "Tadaima!" sapa Cherry untuk kata dia sudah pulang dalam bahasa Jepun seraya dukung Kemboja dan cium hidungnya. "Okaerinasai!" saya sahut dari jauh, begitulah yang dia ajar untuk balas selamat pulang.
Dia tidak terus ke bilik dan mandi macam selalu tapi duduk di ruang tamu dan bertanya kalau saya ada kenal mana-mana tukang paip sebab singki rumah kawannya tersumbat. Saya periksa senarai contact dan Cherry atau kawannya bernasib baik, saya ada simpan nombor tukang paip yang pernah baiki dapur rumah dulu. Melalui whatsapp saya hantar detail contact and Cherry forward saja pada temannya.
Saya kembali ke komputer riba, mencuba untuk menulis cerpen lagi setelah begitu lama terkandas. Tiba-tiba terbit ilham dari bau pakaian dalam Cherry tadi tetapi aneh, saya menemukan sebuah cerpen yang sudah siap dan anda sedang membacanya.

Comments