Kucingku
tidur terlentang mendedahkan bahagian bawah badannya yang sedang bunting.
Rantai lehernya yang berwarna merah begitu marak di bulunya yang putih gebu. Aku
menghabis sisa helaian novel yang lama tertangguh secara bertiarap. Ekor kucing
yang kontot itu bergerak-gerak mengenai lengan kiriku. Bacaanku selalu diiring
kopi. Ini sudah cangkir ketiga, dan tiba-tiba aku melihat ada seekor berenga
mengensot di lantai marmar. Aku bingkas angkat punggung dan menjauh
serta-merta, hampir novel di tangan aku melayang.
Berenga
buta itu menuju ke arah aku. Dari mana pula datang haiwan jijik ini? Fikirku, tak
ada sampah belum dibuang, juga tak ada sisa makanan yang bisa mengundang lalat
bertelur. Dan kalaupun ada, pasti datangnya ramai, tak mungkin hanya sendirian.
Aku binggung campur geli. Penyapu adalah senjata tunggal yang aku ada. Kucing
buntingku begitu malas untuk bangun lantaran kekenyangan, sedikit pun tak beri
kerjasama untuk menghalau berenga itu. Dengan laju aku membuka pintu dan kekisi
besi, tak peduli aku hanya memakai celana pendek pangkal paha dan singlet tali
halus, berenga itu harus segera kuhapus. Aku cuba menghempas ia guna rambut
penyapu beberapa kali, liat betul dia nak mampus. Sapuan keempat, barulah aku
berjaya halau ia keluar dari rumah ke lantai simen koridor.
Hanya
dia seekor saja di sana, tak ada kawan lain sama jenis. Aku perhati keliling
dan pasti dia datang secara tunggal. Seolah kematian mengalukan kedatangannya,
semut-semut liar pantas mengerumuni badannya yang lembik dan tak bertulang. Ia
menggeliat kiri dan kanan, tanpa lolongan minta tolong, atau mungkin saja
telinga kasarku tak mendengar apa-apa. Tubuhnya meringkuk dalam derita, bila
kufikir semula, kematian jenis apa yang tidak menyakitkan. Perlahan-lahan,
badan putih kuningnya itu semakin mengecil sehingga hanya semut saja yang
kelihatan. Aku perhati dengan mata terbuka luas, semacam suatu penyaksian
dendam terbalas.
Setelah
memastikan berenga tadi benar-benar sudah mati menjadi hidangan sekawan semut,
aku kembali masuk ke dalam rumah, tapi masih dengan hati-hati. Entah setan apa,
aku mulai marah pada kucing buntingku, menuduh dia yang membawa berenga. Aku
periksa badannya. Setiap inci tubuhnya kubelek-belek, malah sampai ke lubang
anusnya juga aku lihat. Tak ada luka, tak ada tanda-tanda yang mengundang lalat
hinggap untuk beranakkan telurnya.
Kejadian
seperti ini, cukup membuat perasaan membaca aku hilang terus, jadi aku tak
sambung membaca. Pintu kekisi diketuk oleh seorang pemuda berkemeja dan seluar
licin. Aku buru-buru ke dalam kamar tidur sarung cardigan, dalam hati, ini tak lain mesti mahu jual produk bukan-bukan.
“Sara, oh Sara!” pemuda itu memanggil yang jelas bukan nama aku. Setelah menutup
tubuh dengan baju yang lebih sopan, aku keluar dan tanya apa dia mahu.
“Mana
Sara?” Aku terkebil-kebil melihatnya yang bertenggek di pintu kekisi. “Mana ada
Sara dalam rumah ni?” Kucing aku cuba mendekatinya, tapi aku jegil mata dan
cakap No!. “Kalau Sara tiada, Mariah ada?” dia nampak seperti tak waras,
entahlah mabuk atau tidak siuman. “Sara atau Mariah, dua-dua nama tu tiada
dalam rumah ni. I tinggal seorang. You nak apa?” aku peluk tubuh dan
kerutkan kening, cuba untuk kelihatan lebih tegas. “Oh you tinggal sendiri. Kalau begitu kita sama. Sendiri, sunyi dan
sepi. You tahu, tadi I nampak lelaki terbang tembus tren!
Lepas tu dia jadi bulan!” sambil tunjuk arah langit dia meyakinkan,
Sah
lah tak betul! Getus saya sendirian. Seekor kucing oren lolos masuk dalam
rumah. Aku tinggalkan lelaki senteng itu dan cepat-cepat masuk bilik. Kucing
oren itu gigit leher si bunting dan seperti tak mahu lepaskannya. Telinganya
aku lastik tapi tak juga dia mahu lepaskan si bunting, jadi aku ke dapur ambil
air dalam mangkuk dan percik-percik ke mukanya. Barulah dia lepaskan gigitan
dan mencicit lari keluar.
Kucing
saya terkencing ketakutan di bawah katil. Tak guna punya jantan!
Lelaki
tak siuman sudah tiada di luar. Baguslah dia sudah beredar pikirku. Geramku belum
lunas. Aku mahu kejar kucing oren tadi dan kurung dia dalam mesin basuh! Kucing
itu berjaya hilangkan diri, sementara aku masih terkial-kial buka kunci gembok.
Ah, sialan punya kunci!
Tapi
bila aku berjaya keluar, aku tak dapat jejak gerangan si kucing oren, mahupun
pemuda senteng tadi. Adapun hanyalah setumpuk tahi di depan rumah jiran sebelah
yang masih baru, tapi ada kesan tapak kasut, tanda sudah terpijak.
Comments
Post a Comment