Hujan lebat dijangka akan berterusan sepanjang minggu



Ibu pernah cakap, masa saya kecil dahulu saya suka bercakap seorang diri, atau lebih tepat bercakap dengan rakan imaginasi. Saya sendiri kurang pasti sebab memori paling awal saya dapat ingat ialah sewaktu saya masuk tadika, itu pun hanya saya di dalam kelas berbaju hijau sedang makan bihun atas talam pakai tangan.

Menurut ibu, saya sering bersembang tentang bagaimana melukis itu dan ini pada rakan imaginasi terutama ketika menconteng dinding rumah atau ketika tonton TV. Kadang-kadang saya ketawa dan tiba-tiba merajuk pula. Hanya satu ruang dinding saya boleh conteng dan itu pun ibu sudah cat semula beberapa kali. Saya sendiri tak berapa ingat peristiwa ini. Dan rakan itu pun entah bila sudah tak kunjung lagi setelah saya dewasa. Jadi saya sempat meragui cerita ibu itu.

Hujan turun lebat sejak dua tiga hari lepas. Bandar saya duduki selalu ditenggelami air. Trafik sesak dan saya sering sampai lambat ke rumah. Semalam saya sampai pukul 8 malam. Kucing saya mengiau cukup kuat sebab biskut di dalam mangkuknya sudah habis. Definisi habis bermaksud biskut sudah masuk angin dan ia tak mahu jamah lagi, jadi saya kena tukar baru.

Selepas selesai makan mi dan ayam goreng segera, saya tonton TV. Tak ada rancangan yang menarik sangat pun, jadi saya cuba ajak kawan untuk keluar sebab rasa nak ada seseorang waktu sejuk-sejuk begini. Mungkin cuaca dingin buat saya sunyi. Tapi kawan saya kata dia letih untuk keluar. Saya pun kata tak apa, esok-esok sajalah kalau begitu.

Saya keluar juga malam itu. Entah kenapa saya mahu keluar, saya tak mahu sunyi seorang diri di rumah. Lopak-lopak air bertakung dan jalanraya lembap. Saya pandu kereta ke kawasan komersial yang jauh sedikit dari tempat tinggal saya. Tidak ada tujuan khusus. Pusing punya pusing, saya singgah di kedai serbaneka 24 jam untuk beli air tin cola. 

Ketika keluar dari kedai, saya nampak seorang budak duduk bertinggung di tepi kereta saya sedang panggil kucing dari bawah kereta. Saya menolongnya sebab takut kucing itu cedera kalau saya hidupkan enjin. Kucing itu keluar lepas saya belikan makanan paket dari kedai yang sama saya beli cola. Mata kucing itu seperti memakai topeng Zorro, ia comel meski sedikit kurus dan berdebu.

Saya tanya jika kucing itu milik budak tersebut, tapi budak itu geleng. Dia kata ini kucing saya. Sedikit hairan dengan jawapannya tapi saya pun tak tanya mengapa dia kata begitu. Rakus betul kucing itu makan seperti sudah berhari-hari lapar. Kesian. Serta-merta saya jadi ingat kucing saya di rumah.

Budak tadi mengusap-usap kucing, dalam hati saya tertanya-tanya di manakah ibubapanya? Adakah dia anak peniaga dekat-dekat sini? Tak nampak macam begitu pula sebab cuma ada satu warung burger dikendali dua orang lelaki muda. Jadi saya tanya jika dia nak saya hantar dia balik. Dia kata ya tapi minta izin bawa kucing itu sekali. Saya angguk dan ajak dia naik kereta.

Saya tak perlu tanya arah mana saya patut pergi sebab budak itu arahkan dahulu arah mana saya patut belok. Dia putar radio dan tukar-tukar butang frekuensi. Saya tak marah sebab memang lagu-lagu yang diputar radio semua tak sedap. Dia berhenti pada segmen berita radio. Hujan lebat dijangka akan berterusan sepanjang minggu kata penyampai radio bersuara dalam. Saya mengeluh panjang.

Belum pun sampai hantar budak tadi, telefon berdering dan saya angkat. Kawan yang tolak saya ajak keluar tadi mengadu rumahnya putus bekalan elektrik sebab cuaca agak buruk di tempatnya. Dia tak boleh tidur kalau tiada kipas meski cuaca sedang sejuk, jadi dia tanya jika dia boleh bermalam di rumah saya. Tentu saja saya setuju. Saya tanya budak tadi jika saya boleh ambil kawan dulu sebelum hantar dia balik, dia kata dia tak kisah. 

Kawan saya sudah pun tunggu di luar dengan beg pek dan payung corak pelangi ketika saya sampai. Saya silakan dia masuk di bahagian belakang sebab budak itu sudah duduk di depan, bukan apa lebih senang dia tunjuk arah tempat tinggalnya nanti. 

Ucapan pertama kawan saya ketika masuk dalam kereta adalah minta maaf kerana susahkan saya pada waktu lewat begini. Saya kata tiada masalah tapi saya perlu hantar budak ini ke rumahnya dulu. Kawan saya angguk saja tak banyak soal. Perjalanan diteruskan tetapi saya dan kawan tidak berbual sebab dia tertidur sepanjang perjalanan sebaik masuk kereta. Saya teruskan dengar berita radio; tindakan boikot Belgium tak jejas pasaran Sawit Malaysia. 

Saya turunkan budak tadi di perumahan strata yang tidaklah jauh sangat dengan kedai tempat saya jumpanya tadi. Sebetulnya saya boleh saja hantar dia terus tapi saya malas buat pusingan U yang ternyata lebih jauh. Budak itu kata terima kasih. Dari jauh, dia sempat melambai dan thumbs up sebelum mengecil perlahan-lahan dan hilang. Kawan saya pula tidur nyenyak di belakang.

Sampai di rumah, saya kejut kawan saya dan dia tunggu saya jemput masuk. Saya silakan dia masuk rumah dan duduk di sofa ruang tamu. Kucing saya menyorok di dalam bilik sebab takut orang asing, jadi tak dapatlah saya biar kawan saya gunakan bilik saya. Tidur di ruang tamu pun ok, lebih sejuk kata kawan saya.

Untuk lebih selesa, saya pinjamkan dia tilam nipis, bantal dan selimut. Sebelum masuk tidur, kami sempat berbual-bual di depan TV. Kantuknya hilang jadi dia minta izin saya untuk belek-belek buku yang ada di rak TV. Ketika itulah dia jumpa album lama yang sendiri sudah tak perasan ia wujud. Dia kata nak tengok. Saya ok dan kata sebentar, nak bancuh kopi. Dia kata kalau ada koko lebih baik sebab kopi nanti susah nak tidur. 

Sambil-sambil itu, saya tanya jika dia mahu makan apa-apa walaupun di rumah ini tidak ada apa makanan sangat pun. Mujur dia kata tak nak. Saya bawa minuman koko dua cawan ke ruang tamu. Saya turut serta dia membelek foto, ia bawa saya berjalan mengenang masa lalu dengan tanya itu dan ini mengenai gambar-gambar lama, kebanyakan waktu saya kecil tapi banyak yang saya tak ingat. Saya hidupkan TV sebab tak mahu rasa sunyi sangat.

Bersiaran di saluran 1 - klip video 90-an; Shah Reza, Uji Rashid, Herman Tino dan seorang penyanyi yang saya tak kenal siapa sedang menyanyi dalam studio RTM. Saya dan kawan gelak-gelak lihat fesyen dan gaya rambut jadul mereka. Riang saya terhenti bila melihat foto sendiri bergambar dengan kucing di depan rumah kedai lama. Ia mirip dengan budak tadi. kucing itu juga ada corak tompok yang sama. 

Saya tunjuk foto tersebut pada kawan saya dan dia hairan. Kata dia, dia tidak nampak orang lain dalam kereta semasa naik tadi. Jadi saya tanya kenapa dia duduk di belakang. Dia kata, ada kucing dalam kereta. Kucing, ulang saya. Saya tunjuk sosok kucing yang duduk di sebelah saya dalam foto itu. Dia kata, bukan. Tapi dia sendiri tak pasti sebab dia tertidur dalam perjalanan tetapi perasan yang saya sempat singgah di satu tempat dan turunkan kucing itu di sana. Saya yakin, saya tumpangkan budak kata saya pada kawan.

Tidak puas hati, saya ajak kawan saya untuk patah balik ke kawasan perumahan tempat saya turunkan budak tadi. Dia cadang esok saja sebab dia letih dan mahu rehat, kantuknya sudah kembali. Kusut, saya cuba telefon ibu tapi hanya mesin peti suara yang kedengaran. Saya hampir tak dapat tidur tetapi entah pukul berapa saya terlelap juga dan bila bangun, hari sudah siang. 

Saya dan kawan bersiap-siap untuk pergi ke kawasan rumah budak semalam. Sebelum sempat keluar, ibu saya telefon dan tanya ada apa telefon semalam. Saya ceritakan semuanya, termasuk budak itu mirip dengan foto saya semasa kecil dan bagaimana budak itu seperti halimunan sebab kawan yang tumpang kereta saya tak nampak. Ibu saya tanya, ada kawan tumpang di rumah? Lelaki atau perempuan. Saya matikan telefon tanpa tinggalkan jawapan. 

Kawan saya tanya siapa yang telefon, saya kata ibu. Saya tak beri dia peluang tanya lebih lanjut sebab malas nak menjawab. Terus saja saya bergegas ke kereta dan tuju flat semalam tempat saya turunkan budak dan kucingnya. Mujur saya masih ingat jalan. Apabila sampai, saya bertanya beberapa orang di sekitar ruang legar jika mereka tahu rumah budak itu. Mereka kata di blok sana, tingkat dan unit sekian. Tanpa lengah, saya tuju ke tempat mereka katakan itu. Saya yakin, saya tidak mengarut.

Rumah budak itu terletak di tingkat paling atas dan unit korner. Saya harus daki tangga pula. Di hadapan rumahnya ada beberapa pot pasu bunga dan palet kayu empat segi sebagai kerusi. Unit ini menghadap laluan LRT Gombak - Kelana Jaya. Saya mengetuk pintu beberapa kali dan hanya dibuka setelah ketukan ketiga. Budak itu membuka pintu dan kemudian berlari semula ke dalam. Dia melambai saya suruh masuk. 

Ruang rumah sunyi, TV tidak menyala. Hanya deru kipas angin kedengaran. Rumah ini berbau sup daging. Budak itu sedang menconteng corak sebuah kereta. Di dalam, ada seorang lelaki sedang memutar-mutar frekuensi radio, ada seekor kucing mundar-mandir dari tempat duduk hadapan ke belakang dan ke hadapan semula. Saya tidak tahu kenapa gambar itu bergerak seperti imej gif.

Aroma sup makin kuat. Dari dapur, muncul sosok seorang wanita membawa semangkuk sup ke atas meja makan. Budak itu kata, itu ibu dia. Dia minta izin makan dahulu dan kemudian minta saya ajar cara lukis keretapi pula. Dia suruh ibu dia lambai pada saya tetapi cara ibunya lambai sangat pura-pura kerana dia melambai pada arah salah. Ibunya pesan pada dia suruh dia cakap pada saya untuk pulang dan datang kemudian sebab sekarang waktu makan. Saya rasa ibunya tidak nampak saya sebab siapa yang akan benarkan orang asing masuk rumah.

Saya hampir lupa tentang kawan saya. Saya keluar dari rumah itu meski belum dapat jawapan pasti. Budak itu melambai saya dan cakap bye-bye, ibunya menggeleng kepala dan kata dia terlalu banyak tengok kartun. Saya berlari ke kereta semula hanya untuk menemui kereta kosong.  Tiada kelibat kawan di sekitar kawasan atau pun pesanan apa-apa. Saya telefon kawan saya dan tanya mana dia. Dia kata dari semalam dia di rumahnya sebab hujan lebat tidak mengizin dia ke mana-mana Dia bertanya kenapa tetapi saya matikan telefon shut down terus. Kepala makin kusut.

Saya toleh pandang semula ke kawasan flat dan di situ hanyalah ada kedai serbaneka 24 jam. Ada tin cola di tangan saya yang masih berbaki separuh tetapi sudah tak sejuk lagi. Saya masuk kereta dan buka radio; hujan lebat dijangka akan berterusan sepanjang minggu, tindakan boikot Belgium tak jejas pasaran Sawit Malaysia, harga ayam dijangka naik menjelang Aidil Fitri diakhiri berita 6 kelab bola sepak Inggeris menolak Liga Super Erpoah. Saya menekup wajah pada stereng kereta. Di belakang tempat duduk kereta ada budak tadi dan kawan saya serta kucing dalam pelukannya kebasahan dalam hujan dan minta tumpang rumah saya untuk semalam dua lagi.

Comments